19 Sept 2008

Piala Peringatan Arumugam

Bekas penjaga gol tersohor negara, mendiang R. Arumugam pernah bermain untuk Selangor dari 1971 hingga 1988; serta mewakili negara sebanyak 196 kali dari 1973 hingga 1986.

Sebagai memperingati beliau, satu kejohanan bola sepak sembilan sebelah dalam kalangan pemain veteran akan diadakan pada 28 September ini.

Kejohanan itu untuk merebut "Piala Peringatan Arumugam" dianjurkan oleh Star-brite Football Club dari Pelabuhan Klang, iaitu tempat Arumugam dilahirkan.

Mendiang Arumugam turut diberi gelaran "Spiderman” kerana kecekapannya menangkap bola semasa mewakili pasukan Selangor dalam liga tempatan dan Malaysia ketika menentang pasukan antarabangsa.

Beliau meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan pada 18 Disember 1988, pada usia 40 tahun.

Pengerusi penganjur kejohanan, M. Arokiasamy berkata kejohanan tersebut akan diadakan di padang "Veteran Marines", Pelabuhan Klang, iaitu padang yang pernah digunakan oleh mendiang Arumugam untuk berlatih.

Pasukan yang berminat untuk menyertai kejohanan bola sepak ini boleh menghubungi talian 019-2826441.