17 Sept 2005

Bengkel Penulisan Kreatif NGO

Sekitar 25 penulis baru dan lama pelbagai kaum telah menyertai Bengkel Penulisan Karya Kreatif Badan Bukan Kerajaan (NGO) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung pada 27-28 Ogos 2005 di Bandar Baru Bangi.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Hajah Zalila Sharif dalam ucapan beliau berkata, objektif program ini adalah untuk memberi peluang kepada para peserta yang berminat dalam bidang penulisan kreatif belajar berkarya dengan cara yang betul berdasarkan pengalaman tenaga pengajar yang terdiri daripada penulis veteran.

Zaharah Nawawi mengendalikan bengkel penulisan cerpen dengan berkongsi pengalaman beliau menulis serta membimbing bakat-bakat baru sejak tahun 1970-an. Beliau berkali-kali menekankan bahawa “penulis adalah pemikir” serta menghuraikan empat sifat karya kreatif dan beberapa cara mengakhiri cerpen.

Bahagian kedua bengkel adalah berkaitan puisi dan dibimbing oleh Abdul Ghafar Ibrahim (AGI). Beliau menunjuk ajar teknik menghasilkan puisi tradisional seperti pantun dan syair; serta sajak moden dan sajak visual. Contoh-contoh karya daripada koleksi peribadi menjadikan sesi bimbingan beliau lebih bermakna.

Bengkel pada hari kedua tertumpu pada penulisan novel di bawah tunjuk ajar Sasterawan Negara S. Othman Kelantan. Beliau menceritakan bagaimana penulis boleh mengambil kisah dari realiti untuk diolah secara kreatif dalam menghasilkan cerpen dan novel.

Beliau turut menggalakkan para peserta bengkel berkenaan supaya berfikir secara kreatif dan kritikal dalam menginterpretasi pelbagai kejadian dalam kehidupan seharian untuk dijadikan bahan karya yang menarik. Penulis juga digalakkan menginterpretasi karya klasik seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Ramayana dan Mahabharata.
.
Bacaria, 17 September 2005