16 Feb 2023

Perpustakaan Manusia

The Human Library®™ (“Menneskebiblioteket”) atau Perpustakaan Manusia diasaskan di Copenhagen, Denmark pada tahun 2000.

Human Library Organisation (HLO) sebuah pertubuhan antarabangsa yang berdaftar dan terlibat dalam aktiviti di lebih 80 buah negara. Nama dan logo The Human Library adalah jenama berdaftar milik HLO.

Jika perpustakaan konvensional biasanya menyediakan bahan bacaan dan audio-visual untuk pengguna, Perpustakaan Manusia pula tempat kita pergi untuk “membaca” manusia.

Atau lebih tepat lagi, untuk kita duduk berbual, mendengar, dan berbincang dengan individu (manusia) yang menjadi narasumber (source person) bagi pelbagai maklumat berdasarkan pengalaman dan pengetahuan peribadi mereka.

The Human Library mengetengahkan “buku” (narasumber) mewakili golongan yang biasanya diselubungi stigma, dipinggirkan, atau sering disalah anggap. Contohnya, pelarian (refugee).

Saya tidak tahu jika wujud Perpustakaan Manusia di Malaysia – walaupun sering juga saya sendiri bertemu tokoh narasumber dalam bidang bahasa, sastera, seni, budaya, agama, dan sebagainya untuk menimba ilmu menerusi perbualan santai secara bersemuka.

Di bawah konsep The Human Library, biasanya “pembaca” (individu atau berkumpulan) akan pergi ke “perpustakaan” untuk “membaca” narasumber.

Jika sesiapa mahu “membaca” saya, maka bolehlah membuat janji temu. Sesi secara bersemuka atau menerusi Google Meet.

Jika secara bersemuka, anda (“pembaca”) perlu menampung kos seperti pengangkutan dan makan-minum. Jika menerusi Google Meet, tidak melibatkan kos.

Setiap sesi “membaca” selama satu jam (60 minit) sahaja.

Sesi “membaca” menggunakan Bahasa Malaysia, Inggeris, atau Tamil.

Hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp +6011-11411952 jika berminat.