Pada 11 Oktober 2017,
saya membantu penduduk setempat mengemukakan aduan mengenai hampir 10 kereta
yang tersadai di tepi Jalan Hikmat 25/82, Taman Sri Muda, Shah Alam.
Kes dicatatkan dalam sistem aduan Majlis Bandaraya Shah Alam
(MBSA) sebagai “selesai” pada 26
November 2017 dan “ditutup” pada 7
Disember 2017 tanpa sebarang tindakan.
Kereta-kerata berkenaan masih tersadai d tempat sama sewaktu
saya melaporkan semula di Facebook
pada 10 Januari 2018 – lihat di sini. Malah, sudah menjadi
semacam “kubur” kereta atau bengkel membaiki kereta secara haram! MBSA tentu
maklum bahawa ini kawasan perumahan, bukan lokasi bengkel membaiki kereta.
“Jangan terkejut jika kereta yang rosak dan ditakungi air
menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes; lalu kes denggi demakin menular,” saya
menulis kerana Taman Sri Muda memang salah satu kawasan penyakit denggi sejak
beberapa tahun lalu.
Dalam catatan itu, saya turut meminta Ahli Majlis Taman Sri
Muda, Puan Ruthira Surasan membantu
penduduk dalam memanjangkan isu berkenaan kepada pihak MBSA.
Ternyata Puan Ruthira telah menarik perhatian pihak MBSA
terhadap isu itu. Beliau mencatatkan jawapan yang diterima daripada pegawai
penguatkuasa MBSA – “Kenderaan buruk itu kami sudah notiskan. Cuma tunggu tindakan
penundaan sahaja. Maksud ‘selesai’ itu, bukan selesai di tapak, Cuma selesai
dalam sistem sahaja, untuk memberi maklum balas pada sistem.”
Saya terasa amat hairan kerana dalam sistem aduan MBSA,
bukan hanya ditulis “selesai” tetapi “ditutup”, dengan erti kata kes sudah
ditutup. Kalau kes sudah ditutup, macam mana mereka (MBSA) mahu ambil tindakan
lanjut?
“Nampak sangat ada yang tidak kena pada penguatkuasaan MBSA
dalam hal ini,” saya berterus-terang dalam komen saya di Facebook.
Pada 11 Januari 2018,
saya paparkan foto-foto yang diambil penduduk pada pukul 9:00 pagi.
Kereta-kereta terbabit ternyata bukan diletak (parking), tetapi sudah tersadai di tepi Jalan Hikmat 25/82, Taman
Sri Muda, Shah Alam sejak beberapa bulan terdahulu – lihat di sini.
Perhatikan keadaan fizikal kereta, khasnya tayar tanpa
angin. Penguatkuasa MBSA mungkin terlepas pandang? Notis MBSA yang dimaksudkan
juga tidak kelihatan. Mungkinkah sudah tertanggal akibat hujan? Tetapi saya
sendiri yang saban hari menggunakan jalan ini tidak penah nampak notis ditampal
sejak Oktober 2017.
Sejurus selepas paparan foto-foto berkenaan, sekitar pukul
9:45 pagi (11 Januari 2018), pihak
MBSA tiba di lokasi – lihat di sini. Beberapa rakan memuji MBSA
apabila saya menyatakan perkembangan itu menerusi Facebook.
Akan tetapi, “drama MBSA” tidak lama. Isu tidak diselesaikan
kerana nampaknya MBSA akur kepada permintaan pemilik supaya diberi tempoh
sehingga hujung bulan Januari 2018.
Seperti kata mesej daripada pegawai penguatkuasa MBSA yang
dikongsi oleh Puan Ruthira – “Untuk makluman puan, owner
kenderaan minta tangguh sehingga hujung bulan.”
Memang menghairankan kerana aduan dibuat pada Oktober 2017 dan MBSA mengaku telah
mengeluarkan notis pada awal Disember
2017. Maka, pelik pula mengapa pemilik terus diberikan peluang.
Ternyata ada sesuatu yang tidak kena! Integriti boleh
dipersoalkan!
Dalam isu kenderaan yang tersadai dan sudah menjadi bengkel
membaiki secara haram, MBSA terus memberikan peluang demi peluang, dan
penangguhan demi penangguhan. Tetapi, seperti dinyatakan oleh seorang penduduk
yang memelihara anjing terbuang – “Kalau dalam isu anjing, tiada penangguhan pun.”
Nampaknya MBSA gagal lagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara
adil dan penuh integriti. Tinjauan yang saya lakukan sendiri di
lokasi menunjukkan kesemua kenderaan masih tersadai di tempat sama, dan para
penguatkuasa MBSA sudah tiada.
Kalau kenderaan masih tersadai sehingga hujung bulan, dan
MBSA masih membisu seribu bahasa, apakah tindakan yang wajar? Perlukah isu ini
dibawa kepada perhatian media seperti TV3 dan Utusan Malaysia?
Tinjauan pada 23
Januari 2018 dan 30 Januari 2018
menunjukkan bahawa kereta-kereta berkenaan masih tersadai tanpa sebarang tanda
pemilik bercadang melakukan apa-apa – lihat di sini.
Apakah MBSA akan terus memanjakan pemilik kereta-kereta itu
sehingga hujung tahun 2018? Atau sehingga Kerajaan Negeri bertukar tangan?
Sama-sama kita nantikan sehingga “hujung bulan” seperti
dijanjikan MBSA.
Kemas kini: Encik Zaidi dari MBSA menelefon saya pada 2 Februari 2018 dan memaklumkan bahawa pemilik kereta-kereta sudah bertemu dengan Puan Ruthira, lalu mencapai persetujuan supaya diberi tempoh sehingga 15 Februari 2018. Bagaimanapun, Puan Ruthira menafikan sebarang pertemuan dengan pemilik kereta terbabit.
Terkini: Akhirnya, kereta-kereta berkenaan ditunda MBSA pada 20 Februari 2018, selepas cadangan mengundang Ahli Parlimen dan ADUN berdoa. [FOTO DI SINI] TETAPI, menjelang Mei 2019, bengkel haram masih beroperasi, malah sudah berkembang dan lebih banyak kereta rosak tersadai sepanjang Jalan Hikmat 25/82, Taman Sri Muda. MBSA tutup mata!
[Rujuk - Doa Sudah Makbul]
Kemas kini: Encik Zaidi dari MBSA menelefon saya pada 2 Februari 2018 dan memaklumkan bahawa pemilik kereta-kereta sudah bertemu dengan Puan Ruthira, lalu mencapai persetujuan supaya diberi tempoh sehingga 15 Februari 2018. Bagaimanapun, Puan Ruthira menafikan sebarang pertemuan dengan pemilik kereta terbabit.
Terkini: Akhirnya, kereta-kereta berkenaan ditunda MBSA pada 20 Februari 2018, selepas cadangan mengundang Ahli Parlimen dan ADUN berdoa. [FOTO DI SINI] TETAPI, menjelang Mei 2019, bengkel haram masih beroperasi, malah sudah berkembang dan lebih banyak kereta rosak tersadai sepanjang Jalan Hikmat 25/82, Taman Sri Muda. MBSA tutup mata!
Sila hubungi saya menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my atau www.facebook.com/uthaya
jika anda ada sebarang maklumat untuk dikongsikan berkenaan isu ini, atau
isu-isu lain seperti ini. Jangan lupa untuk menyertakan maklumat diri
bersama-sama mesej yang dikirim.