Minat serta impiannya adalah bermain badminton pada
peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Akan tetapi, Mogana a/p Thiaggu (15 tahun) terpaksa memendam
keinginan itu kerana masalah dokumen pengenalan diri.
“Saya hanya boleh bermain badminton pada peringkat sekolah
kerana untuk peringkat daerah, perlu isi nombor kad pengenalan pada borang
pendaftaran,” remaja itu menceritakan pada Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan
Diri di ibu pejabat DHRRA Malaysia pada 30 Ogos 2016.
Ibunya, Malah a/p Karuppayah mengakui, susulan masalah sijil
kelahiran, anaknya turut menghadapi masalah memohon kad pengenalan pada usia 12
tahun.
“Saya sedih melihat keadaan Mogana yang terpaksa menghadapi
pelbagai masalah berikutan ketiadaan sijil kelahiran dan kad pengenalan. Ada
beberapa pihak yang berjanji mahu membantu, tetapi tidak ada apa-apa tindakan
dibuat,” suri rumah itu menceritakan.
Mujurlah, atas usaha dan bantuan DHRRA Malaysia, Mogana
sudah memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, tepat pada masa untuk
membolehkannya mendaftar bagi menduduki PT3 pada tahun ini.
Mengimbas proses membuat permohonan di Jabatan Pendaftaran
Negara (JPN), ibu dan anak ini menceritakan mengenai akuan bersumpah serta
ujian DNA yang dibuat dengan bantuan dan tunjuk ajar pegawai DHRRA Malaysia.
Kini, mereka gembira dan bersyukur kerana masa depan Mogana
tidak lagi menjadi tanda tanya.
“Saya sudah ada keyakinan diri serta merasakan nikmat
sebenar kemerdekaan negara. Peluang dalam bidang badminton yang terlepas selama
ini, saya harap dapat diperolehi semula selepas ini,” kata remaja dari Klang,
Selangor itu dengan penuh harapan.
Sekiranya anda
mengenali sesiapa yang menghadapi masalah dokumen pengenalan diri – seperti
sijil kelahiran, kad pengenalan, sijil kewarganegaraan, sijil anak angkat, atau
pendaftaran perkahwinan – sila hubungi DHRRA Malaysia untuk nasihat dan bantuan.
Anda juga boleh
menghubungi saya menerusi uthayasb@yahoo.com.my atau 016-3288142 atau www.facebook.com/uthaya untuk menyalurkan maklumat.
Paparan ini adalah di bawah program #MerdekaPertamaKu
yang meraikan individu yang baharu menerima dokumen pengenalan diri. Baca juga – Mereka
Telah Merdeka.