11 Nov 2014

Maniam Kecewa Niatnya Diragui

[Penulis bertemu Ketua Bahagian MIC Kota Raja untuk berbual tentang isu hangat dalam parti politik itu pada Mei 2013.]

Isu dalaman MIC memang sedang hangat sekarang. Bernama (27 Mei 2013) melaporkan kemungkinan timbalan presiden, Dr S Subramaniam bertanding merebut jawatan presiden daripada G Palanivel; manakala The Star (30 Mei 2013) melaporkan ketegasan M Saravanan bertanding jawatan timbalan presiden.

Dalam pada itu, saya lebih tertarik untuk mengikuti perkembangan yang lebih dekat dengan saya, iaitu berkaitan Ketua Bahagian MIC Kota Raja, RS Maniam yang juga Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kota Raja.

Saya berpeluang mengenali beliau pada Mei 2011 semasa isu sekumpulan ibu bapa mengadakan perhimpunan aman membantah pengetua rasis di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam.

Kemudian, pada 24 September 2011 apabila sekumpulan penduduk dan peniaga mengemukakan aduan berhubung tindakan Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA) mengubah haluan jalan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

Pada pagi 31 Mei 2013 pula, saya bertemu beliau di Taman Sri Muda dengan harapan dapat meneliti surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin MIC, KS Nijhar, dua hari lalu.

“Saya sendiri hanya mendapat tahu mengenai hal itu menerusi laporan di portal berita Free Malaysia Today pada 29 Mei 2013. Saya sedang bermain golf sewaktu dihubungi rakan-rakan yang bertanya benarkan saya digantung. Saya sangat terkejut.

“Saya adalah ahli MIC sejak 32 tahun lalu. Saya tidak tahu apakah punca atau alasan saya mahu digantung. Sehingga saat ini, saya masih belum menerima sebarang surat tunjuk sebab daripada jawatankuasa disiplin,” kata politikus kelahiran Kuala Lumpur itu.

Mengikut prosedur biasa – setahu saya – jawatankuasa kerja pusat (CWC) akan menerima aduan dan kemudian mengarahkan jawatankuasa disiplin melakukan siasatan.

Lazimnya, individu terbabit akan dihubungi menerusi surat tunjuk sebab dan diminta memberikan alasan mengapa tindakan disiplin tidak boleh dikenakan terhadapnya.

Jawatankuasa disiplin pula akan mengemukakan laporan dan saranan kepada CWC. Keputusan akhir terletak pada CWC, sama ada mahu menerima saranan jawatankuasa disiplin atau mengetepikanya.

Dalam hal ini pula, Maniam mengesahkan tidak menerima sebarang surat tunjuk sebab mengikut prosedur dan perlembagaan parti. Maka tentulah beliau terkejut apabila dihubungi rakan-rakan dan wartawan yang lebih dahulu mendapat berita berikutan sidang media oleh Nijhar di ibu pejabat MIC, Kuala Lumpur.

Beri peluang pertahankan diri, beri penjelasan

Saya ada membaca kenyataan Maniam yang disiarkan di Free Malaysia Today (18 Mei 2013) di mana beliau menyokong gesaan Saravanan agar pemilihan parti diadakan segera sebelum berdepan risiko tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Malangnya, Ketua Penerangan MIC Selangor, L Subramaniam didapati “memanipulasi berita tersebut serta menyatakan ia mencemarkan nama baik parti”. Maniam mempertahankan dirinya menerusi kenyataan balas dalam Malaysia Edition (21 Mei 2013).

Salah satu tujuan saya bertemu politikus berumur 59 tahun ini adalah untuk memberi peluang kepada beliau mempertahankan diri. Sekurang-kurangnya orang ramai berpeluang mendapatkan maklumat daripada kedua-dua pihak sebelum membuat penilaian sendiri.

“Berita-berita yang keluar sejak belakangan ini mungkin membuatkan orang fikir saya mensabotaj BN. Saya berani katakan bahawa saya lebih mencintai BN berbanding mereka yang menuduh saya macam-macam.

“Walaupun saya tidak dipilih menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya tetap setia bersama MIC dan BN. Malah, saya menyertai 38 ceramah bagi calon Parlimen Kota Raja, T Murugesan dan calon DUN Seri Andalas, T Mohan,” kata Maniam yang tinggal di Klang.

Ahli politik ini yang memang terkenal dalam kalangan penduduk di kawasan Palimen Kota Raja menceritakan bahawa ramai yang bertanya kepada beliau, apakah beliau sudah digantung (suspended). Hal ini berlaku selepas mereka membaca berita mengenai sidang media oleh Nijhar.

“Berita yang disiarkan itu sedikit-sebanyak memberi kesan buruk pada imej saya sebagai seorang ketua keluarga, politikus dan pemimpin masyarakat. Maka saya berhak untuk berasa sedih. Orang ramai mungkin beranggapan saya telah melakukan sesuatu untuk mensabotaj MIC dan BN dalam PRU-13 sehingga menyebabkan semua ini berlaku,” katanya dengan nada kecewa.

Maniam menceritakan bahawa Murugesan dan Mohan turut menghubunginya kelmarin dan menyatakan sokongan. Secara logik, jika benar Maniam telah melakukan sabotaj sehingga menyebabkan kedua-dua calon itu kalah dalam PRU-13, masakan mereka akan menelefon Maniam untuk menyatakan sokongan sebaik keluar berita mengenai keputusan Jawatankuasa Disiplin MIC.

Dalam perbualan kami, Maniam turut menceritakan bahawa pada 15 Mei 2013, beliau menerima SMS mengenai mesyuarat khas MIC Selangor pada keesokan hari di ibu pejabat MIC.

“Kebetulan, akhbar Malaysia Nanban pada 16 Mei menyiarkan berita utama bahawa perubahan besar dijangka berlaku dalam MIC Selangor. Saya berasa gembira kerana memang mahukan perubahan positif demi menguatkan parti.

“Malangnya tidak banyak diperkatakan mengenai perubahan dan transformasi. Sebaliknya mesyuarat lebih menumpukan pada cadangan tidak harus ada pertandingan bagi jawatan presiden parti pada pemilihan akan datang,” beliau menghuraikan tanpa berselindung.

“Komen saya demi memperkasakan parti”

Pandangan Maniam berhubung perkara itu turut disiarkan di Free Malaysia Today (18 Mei 2013). Beliau antara lain menyatakan dengan berani bahawa pencapaian MIC dalam PRU-13 adalah lebih buruk berbanding PRU-12. Malah, katanya, MIC lebih baik di bawah kepimpinan S Samy Vellu.

“Selepas PRU-13, saya mengirim SMS panjang kepada Palanivel untuk mengucapkan tahniah. Saya juga mencadangkan supaya beliau mengadakan sesi percambahan minda (brainstorming) melibatkan antara 150 hingga 200 pemimpin MIC pelbagai peringkat seluruh negara,” katanya sambil menunjukkan salinan SMS yang masih dalam simpanan.

Lalu saya mula tertanya-tanya apakah mungkin segala kenyataan, cadangan dan kritikan beliau yang sebenarnya berniat baik itu disalah tafsir pihak tertentu dan akhirnya menjadi punca segala masalah yang sedang dihadapinya sekarang?

Misalnya, seperti dilaporkan di Malaysia Edition (21 Mei 2013), Maniam menekankan pendiriannya bahawa MIC adalah parti tunjang yang memperkasa hak kaum India di Malaysia. Beliau juga meletakkan kepercayaan terhadap sistem yang dimiliki MIC di mana 3,700 cawangan, bahagian, badan perhubungan negeri dan kebangsaan mampu mentransformasikan parti ke arah yang lebih progresif.

“Saya kecewa kerana Subramaniam (Ketua Penerangan MIC Selangor) menghentam saya di akhbar-akhbar Tamil dengan menuduh saya sebagai punca kekalahan Murugesan dan Mohan.

“Dalam mesyuarat MIC Selangor pada 16 Mei 2013, saya menekankan pentingnya kita menumpukan perhatian pada isu-isu yang penting berhubung kekalahan dalam PRU-13. Saya cadangkan supaya kita kenal pasti punca sebenar dan punca-punca asas,” katanya.

Pada pandangan Maniam, ketua-ketua cawangan perlu mampu memberikan penjelasan dan penerangan kerana mereka lebih dekat dengan ahli dan penyokong pada peringkat akar-umbi.

“Saya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan atau kritikan yang boleh menjejaskan imej parti. Segala komen saya berniat baik demi memperkasakan parti. Saya turut menekankan bahawa kita bukan hanya pemimpin dalam MIC tetapi juga pemimpin bagi masyarakat setempat.

“Seperti dikatakan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, apa gunanya menjadi seorang pemimpin dalam parti jika masyarakat awam sudah tidak menghormati individu itu. Jika MIC mahu terus kekal sebagai parti paling unggul bagi kaum India, maka tindakan sewajarnya perlu diambil bagi membela masyarakat,” kata Maniam yang setiasa sibuk kerana dikunjungi orang ramai di pejabatnya di Taman Sentosa, Klang dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

[Makalah ini ditulis pada 31 Mei 2013 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 1 Jun 2013. © Uthaya Sankar SB 2013. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]