28 Oct 2014

Polis Bukan Monyet

Baru-baru ini timbul isu seorang individu memaparkan foto polis trafik menyaman pemandu kereta berserta panggilan “monyet”.

Di pihak yang satu lagi, kita selalu bertemu orang awam yang suka menggunakan kata ganti diri kedua “Datuk” dan “tuan” apabila bertemu polis, walaupun hanya konstabel atau lans koperal.

Antara pengalaman awal saya berdepan dengan anggota polis adalah sekitar pertengahan 1993, iaitu hampir dua tahun selepas saya sekeluarga berpindah dari Taiping, Perak ke Klang, Selangor.

Saya sedang menunggang motosikal dari Kuala Lumpur menuju ke Klang apabila ditahan polis di suatu sekatan jalan raya di lorong motosikal Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Angkasapuri. (MidValley Megamall belum wujud pada waktu itu.)

Saya tidak pasti sama ada sekatan jalan itu melibatkan kumpulan polis biasa atau polis trafik. Tambahan pula ini kejadian lebih dua dekad lalu dan saya sesungguhnya tidak memiliki daya ingatan yang baik sejak kemalangan pada 26 Februari 1994.

Polis yang menahan saya menyemak lesen dan cukai jalan. Saya hanya menggunakan gelaran “encik” apabila bercakap dengan beliau.

Saya berterus-terang memberitahunya bahawa saya berasa gembira kerana itulah kali pertama saya ditahan polis sejak saya mendapat lesen.

Pegawai polis itu mengelilingi motosikal saya sebelum mengumumkan bahawa plat nombor di bahagian belakang pecah.

Saya mendapati apa yang dikatakannya memang benar; saya baru menyedarinya.

Dipendekkan cerita, saya ditanya apa yang mahu saya lakukan dan saya mengatakan bahawa saya akan menukar plat yang pecah itu.

Memandangkan saya memang tidak ada sebarang pengalaman, saya turut meminta nasihat polis itu sendiri.

Kata pegawai polis berkenaan, kalau saya disaman, saya perlu pergi membayar saman di balai. Tetapi polis itu berbesar hati menawarkan saya peluang memudahkan urusan.

“Boleh settle di sini,” katanya dengan selamba. “Bayar lima puluh (ringgit).”

[Makalah ini ditulis pada 25 Oktober 2014 dan disiarkan di The Malay Mail Online pada 27 Oktober 2014. Sila KLIK DI SINI untuk membaca makalah penuh. © Uthaya Sankar SB 2014. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan di Blog Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]