28 Sept 2012

Kavyan sambut baik cadangan martabat BM

[Kumpulan tersebut turut menawarkan khidmatnya kepada Kementerian Pelajaran dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah Cina dan Tamil.]
 
PETALING JAYA: Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menyambut baik cadangan kerajaan melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama di Sekolah Kebangsaaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
 
“Kavyan berpendapat bahawa belum terlewat untuk menyelaraskan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia di SK, SJKT dan SJKC.
 
“Hal ini memandangkan jurang antara ketiga-tiga aliran itu perlu dikurangkan dan cara paling mudah adalah dengan menyamakan standard mata pelajaran Bahasa Malaysia.
 
“Buat masa ini, UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia juga dilaksanakan dalam tiga tahap berbeza bagi murid SK, SJKC dan SJKT.
 
“Kavyan berpendapat bahawa amalan itu perlu dihentikan kerana secara tidak langsung, hak kanak-kanak pelbagai kaum di sekolah berlainan aliran untuk menguasai Bahasa Malaysia seperti dinafikan menerusi sistem pendidikan yang berbeza,” kata presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB.
 
Beliau memberi kenyataan media sebagai reaksi terhadap pengumuman oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Semasa majlis perasmian penutupan Festival Bahasa dan Sastera, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan bercadang melaksanakan kurikulum Bahasa Malaysia yang sama di SK, SJKC dan SJKT, bermula dengan murid Tahun Empat pada 2014.
 
“Tidak ada alasan”
 
Muhyiddin dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, dengan peningkatan penguasaan Bahasa Malaysia dalam kalangan murid SJKC dan SJKT akan membolehkan pemansuhan kelas-kelas peralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di seluruh negara menjelang 2017.
 
Berkenaan dengan pemansuhan kelas-kelas peralihan, Uthaya berkata: “Tidak ada alasan mengapa murid yang belajar di Malaysia perlu memberi – atau diberi – alasan belum menguasai Bahasa Malaysia dan perlu mengikuti kelas peralihan selama setahun sebelum masuk ke Tingkatan Satu di SMK.

 
“Kavyan juga bersetuju dengan cadangan Menteri Pelajaran iaitu murid-murid SJKC dan SJKT yang mempunyai masalah dalam pembelajaran Bahasa Malaysia diberi sokongan yang secukupnya melalui kelas-kelas pemulihan yang diadakan sehingga lima jam seminggu,” katanya.
 
Beliau turut menyatakan kesediaan Kavyan untuk membantu Kementerian Pelajaran dalam usaha memartabatkan Bahasa Malaysia menerusi program latihan dalam perkhidmatan untuk para guru yang terbabit.
 
“Kavyan juga berharap, guru-guru Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT diberikan latihan tambahan sebagai persediaan untuk memblehkan mereka mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara benar-benar berkesan, selaras hasrat kerajaan memartabatkan Bahasa Malaysia di sekolah beraliran bahasa ibunda,” kata Uthaya.
 
(Pragalath, Free Malaysia Today, 28 September 2012)