27 Aug 2012

Tuhan Masih Pidato

[Penulis esei dari Makassar ini ternyata mampu memperkatakan apa sahaja isu dengan penuh bergaya.]

Salah satu daripada keistimewaan Asdar Muis RMS adalah kemampuannya memperkatakan apa sahaja topik (politik, sosial, agama, seni, budaya, sejarah dan sebagainya) secara amat bersahaja tetapi sangat bermakna.

Demikian kesan pertama yang saya terima semasa dalam proses membaca kumpulan esei terbaru beliau berjudul Tuhan Masih Pidato (2011). Buku setebal 416 halaman itu diterbitkan di Yogyakarta, Indonesia serta memuatkan esei-esei yang ditulis antara pertengahan 2003 dan Februari 2007.

Saya menerima senaskhah buku ini daripada Asdar apabila beliau mengajak saya bersama-sama Luna Vidya dan Rini Irmayasari makan ikan bakar di Paotere, Makassar, Sulawesi Selatan pada 14 Jun 2012. Saya ke sana sempena Makassar International Writers Festival anjuran Rumata.

Semasa membelek-belek halaman buku berkenaan dan membaca beberapa esei pendek di dalamnya, saya nampak dengan jelas betapa pengarang ini yang lahir pada 13 Ogos 1963 mempunyai bakat penulisan yang sangat menakjubkan.

Apatah lagi, pada 19 Jun 2012, saya berpeluang mendengar serta menonton rakaman beliau membaca beberapa esei dengan penuh penghayatan (umpama persembahan teater!) dan penuh seni. Malah, suara Asdar membaca esei dengan iringan muzik berkumandang di stesen radio Suara Celebes menerusi slot “Kolom Udara” setiap hari.

Ketajaman pemikiran beliau memperkatakan pelbagai topik yang dekat dengan hati rakyat menerusi kumpulan esei Sepatu Tuhan (2003) diteruskan dalam Tuhan Masih Pidato.

Kumpulan esei ini yang menggunakan Bahasa Indonesia dibahagikan kepada lima bahagian; iaitu “Ketuhanan dan Religiositas”, “Humanisme dan Peradaban”, “Nasionalisme dan Pluralisme”, “Demokrasi dan Kleptokrasi” serta “Adil Makmur dan Rule of the Game”.

Walaupun rata-rata topik yang diperkatakan adalah berkisar tentang isu-isu yang berlaku di Indonesia – khususnya di Sulawesi Selatan – esei-esei dalam buku ini tetap bersifat universal; atau sekurang-kurangnya sesuai dengan situasi di Malaysia.

Salah satu kebijaksanaan Asdar adalah memperkatakan isu-isu semasa dengan mengaitkan serta menghubung-jalinkan bersama sejarah dan kritikan yang menyentuh minda serta jiwa. Walaupun tulisannya ringkas – sekitar tiga halaman sahaja – namun makna yang terkandung di dalamnya amat mendalam.

Pengalaman luas Asdar dalam bidang kewartawanan ternyata mempengaruhi gaya penulisan dan kemampuannya menyajikan esei yang ringkas-padat dan bersifat holistik. Penglibatan dalam bidang seni persembahan pula menjadikannya mampu menuangkan kreativiti ke dalam setiap baris ayat yang ditulis.

Topik-topik yang diangkat oleh penulis ini mungkin sahaja kelihatan “kecil” dan “biasa” tetapi apabila diperhatikan, isu-isu berkenaan sebenarnya “besar” dan “penting” dalam kehidupan seharian kita. Malah, topik-topik berkenaan boleh mengubah pemikiran kita berhubung pelbagai isu besar yang berlaku di sekeliling kita.

Tajuk-tajuk yang dipilih bagi setiap esei juga amat menarik dan mengundang rasa ingin tahu pembaca; misalnya “Tak ada Tuhan di langit”, “Lelaki sifilis di depan masjid”, “Kematian itu indah”, “Bila senior berhak cabut nyawa”, “Mengapa harus ganyang Malaysia”, “Dari Menara KL melihat mandala” dan “Mencari pemimpin yang pemimpin”.

Antara tajuk lain termasuk “Kita adalah keldai jatuh”, “Kucing kurus menunggu koruptor”, “Merindui polisi bermartabat”, “Lempar tangan sembunyi batu”, “Rakyat tahu memilih yang terbaik” dan “Otak orang Indonesia memang mahal”.

Asdar ternyata berani menyentuh apa sahaja topik dan isu yang mahu diperkatakannya. Beliau tidak memuji-muji sesiapa; sebaliknya tampil menyajikan kebenaran, walau sepahit mana pun sajian itu.

Pengarang ini yang menubuhkan “Komunitas Sapi Berbunyi” di Makassar memblog di www.asdarmuis.wordpress.com selain aktif di Facebook dengan siri catatan/esei “Malu” yang juga amat menarik.

Buku-buku Asdar tidak dijual di kedai-kedai buku kerana beliau lebih selesa memilih untuk menjualnya secara langsung kepada sesiapa yang berminat. Agak menarik juga bahawa beliau biasanya menerima tempahan penuh sebelum buku dicetak.

(Ulasan buku ini ditulis pada 26 Jun 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 29 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)