19 Feb 2012

Kutiyattam di Semporna – Bahagian 1

[Kisah ini mengenai seorang gadis etnik Simunul dari Sabah yang mencari eskapisme menerusi teater tradisional India.]

Sejak mula, saya memilih untuk tidak mendedahkan terlalu banyak maklumat mengenai diri saya.

“Mengapakah kamu begitu berminat untuk tahu mengenai drama tari ini?”

Demikian antara soalan pertama yang dikemukakan oleh Encik Kutty apabila Hassan Jaidin memperkenalkan saya kepadanya, dua minggu lalu.

“Saya pernah membaca mengenainya menerusi sebuah rencana di sebuah majalah lama semasa berumur dua belas tahun,” saya berterus-terang kepada lelaki berumur sekitar 50 tahun itu.

Nama sebenarnya Krishna Kutty tetapi penduduk Siru Kambam khabarnya memanggil lelaki keturunan Malayali itu sebagai “Kutty” sahaja sejak kecil.

Secara kebetulan, beliau meminati kutiyattam iaitu satu bentuk teater Sanskrit yang berasal dari negeri Kerala, India dan diiktiraf secara rasmi oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Saya pertama sekali membaca mengenai kutiyattam semasa membelek-belek majalah lama di Perpustakaan Awam Cawangan Semporna pada tahun 2004.

Struktur persembahan drama tari kutiyattam terbahagi kepada empat bahagian iaitu Talavilkettuka, Arannuvitanam, Purappad dan Nirvahana.

Bahagian Talavilkettuka, iaitu upacara memasang lampu pertama, dilakukan di belakang tirai bagi memuja Ganesha, dewa berkepala gajah. Upacara itu dilakukan bagi mendapatkan restu Ganesha yang dianggap dewa utama dalam agama Hindu.

Pada bahagian Arannuvitanam pula, pentas direnjis dengan air suci, ditaburkan bunga serta dihias daun kelapa muda dan daun pokok mangga. Semua ini dilakukan dengan andaian dan kepercayaan bahawa dewa-dewi akan datang untuk turut menonton persembahan yang diadakan.

Sebenarnya, saya tidaklah tergila-gila akan drama tari itu yang pada asalnya berkait erat dengan upacara keagamaan Hindu di kuil. Sebaliknya, saya sekadar tertarik pada keunikan seni persembahan masyarakat India.

Hal ini mungkin kerana agak mustahil untuk menemui orang India di kampung asal saya. Begitu juga sepanjang saya belajar di sekolah rendah dan menengah.

Pengalaman sebenar saya bergaul dengan rakan-rakan kaum India hanya berlaku apabila saya memulakan pengajian di Kolej Siru Kambam, tahun lalu.

Apabila Hassan menceritakan kepada saya mengenai keunikan Siru Kambam, saya langsung tertarik untuk mengenalinya secara lebih dekat. Apatah lagi apabila saya mendapat tahu bahawa ada seorang peminat kutiyattam di kampung berkenaan.

“Dulu ada juga pelajar dari kolej tu datang berjumpa Encik Menon untuk belajar tentang kathakali,” Encik Kutty menceritakan sambil menyangkut baju yang baru diseterika.

Saya mengangguk kerana memang ada mendengar mengenai warga emas itu yang berasal dari Kerala. Beliau pernah menjadi kangani di Ladang Tebu Siru Kambam. Kemudian, beliau menjadi penjaga rumah tumpangan di kampung berkenaan.

Buku Unknown Facts About Little Known Siru Kambam menyenaraikan Encik Menon sebagai salah seorang tokoh tempatan. Sayang sekali, beliau sudah meninggal dunia sekitar lima tahun lalu. Kalau tidak, tentu banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada beliau.

“Bagaimana dengan budaya etnik kamu sendiri? Tentu kaya, bukan?”

Pertanyaan Kutty sebentar tadi membuatkan saya menghela nafas dalam-dalam.

Sejak dua minggu lalu, saya menceritakan kepada beliau mengenai tarian sumazau orang Kadazan, ambuyat, siga dan kehebatan lelaki etnik Bajau menunggang kuda.

“Memang ternyata kita kurang saling mengenali. Apa-apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak masih asing bagi kami di sini,” lelaki itu mengakui.

“Begitulah juga sebaliknya.”

Encik Kutty ketawa berdekah. Kemudian beliau duduk di kerusi. Mungkin beliau sudah bersedia untuk menjawab pertanyaan saya mengenai drama tari kutiyattam. - bersambung ... [MAKLUMAT DI SINI]

(Uthaya Sankar SB mendapat idea bagi kisah ini hasil kunjungan ke beberapa tempat di Sabah bagi mengendalikan bengkel penulisan cerpen dan kursus galakan membaca sejak 2009. Faksyen ini ditulis pada 30 Januari 2012 dan Bahagian 1 disiarkan di Free Malaysia Today pada 6 Februari 2012. Bandingkan dengan faksyen Laksamana Arjuna. Sila KLIK DI SINI untuk senarai cerpen.)