14 Dec 2011

Palanivel: Interlok Sudah Dimurnikan

Akhbar Makkal Osai pada 10 Disember 2011 melaporkan kenyataan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel bahawa segala perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel Interlok Edisi Murid sudah dibetulkan.

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan kepada beberapa kuil dan badan bukan kerajaan (NGO) di Kota Damansara pada malam sebelumnya.


Saya menghubungi beberapa rakan media yang menghadiri majlis itu dan mereka mengesahkan bahawa Senator itu memang mengaku menandatangani surat kebenaran/izin pada akhir Julai 2011 sebelum novel teks Komsas itu dicetak semula.


Malah, katanya, wakil kaum India yang dilantik menganggotai Panel Bebas Meminda Novel Interlok Edisi Murid juga sudah meneliti edisi yang dimurnikan dan menandatangani dokumen sebagai tanda bersetuju dengan pindaan yang dilakukan.


Untuk rekod, saya (Uthaya Sankar SB) bukan salah seorang daripada “wakil kaum India dalam Panel Bebas” yang bersetuju dengan sekadar 20 peratus daripada jumlah sebenar pindaan yang diperakukan.


Saya juga tidak pernah menandatangani sebarang dokumen mengizinkan novel itu dicetak dalam versi Interlok Kulit Biru seperti yang ada sekarang.


Untuk rekod, dua lagi wakil kaum India dalam Panel Bebas ialah Profesor Dr NS Rajendran dan G Krishnabahawan.


Seperti yang dinyatakan dalam Kenyataan Rasmi Kavyan [BACA DI SINI] pada 29 November 2011, hanya sekitar 20 peratus daripada pindaan yang diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas (4 Mac 2011), dipersetujui oleh Menteri Pelajaran (23 Mac 2011) dan diumumkan di Dewan Rakyat (24 Mac 2011) dilakukan pada edisi yang dicetak semula.


Datuk Palanivel khabarnya memberitahu wakil media pada 9 Disember lalu bahawa MIC dan wakil kaum India dalam Panel Bebas berpuas hati kerana Interlok Kulit Biru tidak lagi mengandungi apa-apa perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India.


“Saya menandatangani surat izin itu selepas kami meneliti draf pindaan. Kami puas hati bahawa apa-apa yang sensitif sudah dikeluarkan,” katanya kepada wakil media.


Rakan-rakan media yang saya hubungi pada 10 Disember 2011 turut mengesahkan bahawa presiden MIC itu ada berkata, sekiranya orang ramai merasakan masih ada perkara dalam novel Interlok Kulit Biru yang menyentuh sensitiviti kaum India, maka mereka perlu menghubungi MIC dan parti politik itu akan membawa perkara berkenaan kepada Kementerian Pelajaran supaya pindaan susulan dapat dibuat.


Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berpeluang meneliti naskhah Interlok Kulit Biru pada 25-28 November 2011 sebelum mengeluarkan Kenyataan Rasmi pada 29 November 2011.


Pandangan saya berhubung laporan di akhbar Makkal Osai (10 Disember 2011) disiarkan di Free Malaysia Today pada 12 Disember 2011 dan pandangan itu boleh dibaca DI SINI.


Sila KLIK DI SINI untuk koleksi dokumentasi berkaitan kontroversi novel Interlok Edisi Murid sejak Disember 2010.