4 Aug 2009

Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan

Berikut petikan kata-kata yang mencuri tumpuan saya dalam buku atur cara majlis Malam Semarak Perpaduan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia, Gabungan Dewan Perhimpunan Cina Malaysia dan Persatuan Penulis-penulis Aliran Cina Malaysia di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2009.


“Perpaduan Melalui Bahasa Kebangsaan.”
- Tema Malam Semarak Perpaduan; seperti dicetak di muka hadapan.


“Malam Semarak Perpaduan yang menjadi inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bertujuan untuk memupuk perpaduan melalui Bahasa Kebangsaan, bahasa yang telah berperanan besar menyatukan pelbagai kaum di Malaysia ini sejak merdeka.”

- Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, Penaung Malam Semarak Perpaduan


“Syabas diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka terutamanya Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum kerana berusaha mengadakan Malam Semarak Perpaduan sebagai sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.”

- Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia


“Saya amat menyokong usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mengadakan Malam Semarak Perpaduan yang antara tujuannya adalah untuk menyemarakkan kerjasama dan kesalingfahaman antara pemimpin pelbagai kaum di negara ini, khususnya dalam usaha untuk sama-sama terus memantapkan pembelajaran dan penggunaan Bahasa Kebangsaan kita.”

- Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri


“Perpaduan kaum boleh kita capai melalui penggunaan bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengikat antara kita di negara ini seperti yang telah terbukti sejak puluhan tahun yang lalu.”

- Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


“Program yang dianjurkan ini merupakan antara program yang dirancangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyemarakkan kerjasama dan kesalingfahaman antara pelbagai kaum di negara ini, khususnya berteraskan bahasa kebangsaan kita. … Dalam Fesival Bahasa dan Sastera (yang akan dilaksanakan) pelbagai program kebahasaan dan kesusasteraan telah diaturkan yang matlamat akhirnya adalah untuk memahirkan dan menanamkan rasa sayang murid-murid kita terhadap bahasa kebangsaan dan membenihkan perpaduan yang kental.”

- Dato’ Haji Termuzi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka


“Berdasarkan pengamatan sejarah, bahasa Kebangsaan berfungsi sebagai bahasa perpaduan di negara ini.”

- Penerangan mengenai Malam Semarak Perpaduan di halaman 12 buku atur cara