23 Jun 2009

Catatan 22 Jun 2009

Aktiviti saya pada Isnin, 22 Jun 2009 agak padat sehingga saya tidak sempat menjawab entah berapa panggilan telefon.

(Tidak mengapa. Kalau tujuan panggilan itu amat penting, maka si pemanggil pasti akan menghubungi saya semula.)

Pukul 9:30 pagi, saya mengiringi Puan Haslina dan Encik Rahim untuk bertemu Dato’ Hussamuddin di pejabat beliau di Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Perbincangan utama adalah mengenai usaha “memperkenalkan semula” Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ Usman Awang; khususnya kepada generasi muda.

Agak lucu juga apabila tokoh yang saya segani itu merujuk kepada saya sebagai “my friend”. Nampaknya si bapa dan si anak (Faiz; bekas pelajar saya) kini sama-sama menjadi “sahabat” saya.

Pada sekitar 11:00 pagi, saya membawa Puan Haslina dan Encik Rahim ke pejabat Alaf21 untuk bertemu Encik Norden dan Kak Wan. Perbincangan kali ini lebih menjurus pada usaha-usaha menerbitkan semula karya-karya Dato’ Usman Awang.

Pukul 12:05 tengah hari, saya terpaksa meminta diri. Saya menaiki Komuter dari Shah Alam ke KL Sentral.

Pukul 1:00 tengah hari, pertemuan dengan Puan Lee Yoke Chan dari One Nusantara Sdn Bhd. Beliau menghadiahkan satu set “Siri Cerita Klasik China” yang dilancarkan di Perpustakaan Negara Malaysia pada 18 Jun 2009.

Kami berbincang mengenai aktiviti yang dirancang bagi Julai dan Ogos 2009. Kami turut merancang mengadakan siri “Baca Cerita Klasik China” dan “Baca Puisi Lim Swee Tin”.

Pada pukul 3:00 petang, di tempat yang sama, saya bertemu Bissme, wartawan akhbar theSun yang menyediakan beberapa soalan penuh kontroversi bagi ruangan “Conversation” akhbar berkenaan.

Antara soalan yang ditanya adalah berhubung isu istilah “Bahasa Malaysia”, pandangan saya mengenai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), nasib Sasterawan Negara, mengapa saya menyokong Dr Lim Swee Tin sebagai calon Sasterawan Negara, mengapa saya tidak lagi muncul di kaca televisyen untuk membuat ulasan akhbar dan membaca berita, pemahaman saya terhadap konsep “Satu Malaysia”, mengapa saya melepaskan jawatan penyunting berita di RTM pada April 2008, mengapa saya tidak menulis cerpen Bahasa Inggeris dan bermacam-macam lagi.

Apabila disiarkan nanti, “Conversation” berkenaan pasti akan menambah koleksi “musuh”!

Apapun, seperti yang saya beritahu Bissme dengan memetik kata-kata Mahatma Gandhi: “Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperkatakan kebenaran” dan “Andalah yang harus menjadi perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini”.

Pukul 5:00 petang, saya menaiki Komuter ke stesen Angkasapuri. Hemantha Kumar yang baru sahaja tamat waktu bertugas di RTM menumpangkan saya ke stesen Komuter Shah Alam.