3 May 2009

Retorik Satu Malaysia

Membaca akhbar-akhbar harian secara dalam talian, saya mendapat gambaran jelas bahawa konsep “Satu Malaysia” (atau saya menggelarnya “Bangsa Malaysia”) masih kurang jelas dalam kalangan Rakyat dan pemimpin (wakil kerajaan).

Masing-masing melakukan serkap jarang dan percakapan retorik.

Semua pihak digesa memberi sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengilhamkan konsep Satu Malaysia kerana konsep itu dikatakan menuntut kerjasama dan penglibatan seluruh rakyat Malaysia.

Ada pula pertubuhan tertentu yang mahu menemui Perdana Menteri berhubung isu Satu Malaysia kerana bagi mereka, isu-isu berkaitan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak harus dipertikaikan.

Di sisi yang lain, tidak lama lagi akan diperkenalkan konsep “Satu Belia” bagi membantu mempercepatkan pelaksanaan gagasan Satu Malaysia!

Rasional yang diberikan adalah bahawa konsep Satu Malaysia tidak akan dapat dibina dalam tempoh yang singkat sekiranya golongan belia di negara ini yang berjumlah kira-kira 12 juta daripada 27 juta penduduk negara tidak disatukan.

Pada waktu yang sama, semua stesen televisyen di Malaysia digesa menerbitkan lebih banyak drama dan program yang berwajahkan Satu Malaysia; di mana stesen televisyen dikatakan perlu memastikan masyarakat sentiasa merasakan mereka juga sebahagian daripada program yang ditayangkan.

Kerajaan – atau wakil kerajaan – juga ketara tampil mengingatkan Rakyat supaya tidak terpengaruh dengan usaha beberapa pihak yang khabarnya cuba mengelirukan dan memutarbelitkan konsep Satu Malaysia.

Malah, khabarnya, ramai penulis blog mengemukakan pelbagai pandangan yang kadangkala berunsur negatif serta mampu menggugat kefahaman Rakyat terhadap konsep Satu Malaysia.

Wakil kerajaan jugalah yang melaung-laungkan bahawa konsep Satu Malaysia diperkenalkan kepada Rakyat sebagai satu strategi baru kerajaan untuk mengeratkan hubungan kaum bagi jangka masa panjang.

Konsep Satu Malaysia dilihat sebagai langkah yang terbaik dan paling relevan bagi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Perdana Menteri juga banyak kali menegaskan, gagasan Satu Malaysia adalah konsep yang mempunyai pengisian jitu dan bukannya kenyataan retorik politik semata-mata.

Beliau juga berjanji, konsep berkenaan akan diterjemahkan secara evolusi melalui proses tertentu dan tidak berlaku dalam satu malam sahaja.

Paling penting, semua pihak menerima idea Satu Bangsa (Satu Malaysia; Bangsa Malaysia) yang merupakan intipati konsep berkenaan tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan.

Bagi meningkatkan kefahaman terhadap istilah Satu Bangsa (Satu Malaysia; Bangsa Malaysia), maka Rakyat perlu mempunyai keyakinan terhadap sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima antara satu sama lain.

Pada masa yang sama, dicadangkan pula supaya semacam “bank idea rakyat” diperkenalkan bagi mengumpulkan cadangan dan pandangan Rakyat dalam memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara berkesan dan memenuhi cita rasa akar umbi.

Cadangan itu dilihat sebagai sejajar dengan gagasan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan” yang sedang giat diterapkan di seluruh negara.

Membaca segala laporan media berhubung tindakan dan kata-kata (gesaan, saranan, cadangan) wakil Kerajaan, ternyata konsep serkap jarang dan retorik berbahasa masih menjadi amalan.

Siapa yang boleh membantu saya menjelaskan secara tuntas mengenai Satu Malaysia yang dicadangkan oleh Perdana Menteri?
.