21 May 2009

Melayu+India+Cina=1Malaysia?

Peraduan Foto Satu Malaysia bertema “Perpaduan Melalui Kepelbagaian” menyaksikan pemenang bertemu Perdana Menteri di pejabat beliau di Putrajaya pada 20 Mei 2009 untuk menerima hadiah. Laporannya boleh dibaca di blog 1Malaysia.

Foto oleh Henry Liew menampilkan beberapa kanak-kanak riang memegang Jalur Gemilang mini. Azrul merakamkan beberapa kanak-kanak riang makan di kantin sekolah. Foto oleh Diyana menampilkan tiga remaja – tentu sahaja seorang Melayu, seorang India dan seorang Cina! – memegang Jalur Gemilang.

Maka, itukah yang dimaksudkan dengan “Satu Malaysia”? Hal ini memandangkan Perdana Menteri sendiri di blog 1Malaysia menyatakan, “tiga penyertaan teratas yang memenangi peraduan ini, pada hemat saya, paling menyerlah dalam menjelaskan semangat 1Malaysia.”

Maknanya, Satu Malaysia melihat pada kepelbagaian kaum, perpaduan dan kesetiaan pada negara.

Lalu, apa bezanya dengan Bangsa Malaysia?

Dalam pada itu, nilai kelapan dalam Satu Malaysia “didedahkan” kepada umum melalui blog 1Malaysia pada 6 Mei 2009. Seperti yang telah saya nyatakan semasa membentangkan kertas kerja pada Konvensyen Belia Negara 2009 Peringkat Negeri Sembilan pada 9 Mei 2009, kesemua nilai yang dikemukakan itu bukan sesuatu yang baru; sebaliknya sudah menjadi amalan sejak dahulu.

Ternyata, konsep Satu Malaysia bukan sesuatu yang baru – walau apapun cuba dikatakan oleh para pemimpin. (Dan jangan lupa bahawa para pemimpin sendiri masih menunggu draf teks/panduan daripada Jakim!)
Berbanggalah kerana kita semua memang sudah sedia mengamalkan konsep "Satu Malaysia" sebelum Perdana Menteri memulakan blog 1Malaysia. [Sila KLIK DI SINI untuk huraian lanjut berkaitan topik ini.]