22 Oct 2026

Destinasi Terakhir: Malaysia



PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze dilarang dalam kalangan seluruh penjawat awam.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan, langkah ini bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Utusan Malaysia, 21 Oktober 2026

Telefon bimbit Menteri Hal Ehwal Strategik bergetar ketika dia sedang membetulkan tali leher di hadapan cermin. Satu pemberitahuan muncul pada skrin iPhone.

Foto isterinya sedang tidur di sofa, dengan mulut terbuka dan sebelah kaki terjuntai, disertai kapsyen: Inilah orang yang menyimpan rahsia negara.

Dia tidak mengenali akaun yang memuat naik foto itu. Namun, apabila dia menatal ke bawah, peluh mula membasahi belakang baju. Ada tangkap layar perbualan, salinan dokumen mesyuarat, dan foto sebuah bilik hotel yang tidak pernah dia ceritakan kepada sesiapa.

Di luar tingkap, bunyi kenderaan dan hon kereta dalam kesesakan jalan raya kedengaran seperti biasa. Dunia belum mengetahui bahawa seorang menteri sedang kehilangan seluruh kehidupan melalui skrin enam inci.

Di sebuah bilik apartmen di Tel Aviv, tiga orang remaja sedang ketawa.

Eyal Yifrach, yang rambutnya sentiasa kelihatan seperti baru bangun tidur, membaca berita Malaysia melalui komputer riba. Di sebelahnya, Gilad Shaar mengunyah kerepek kentang sehingga serpihannya jatuh ke atas papan kekunci.

Naftali Frenkel pula tidak ketawa. Dia sedang memerhatikan komen pembaca di bawah berita yang melaporkan keputusan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, melarang penjawat awam di negara itu menggunakan Waze.

“Dengar sini,” kata Eyal . “Sebuah negara membuat keputusan tentang aplikasi navigasi Waze, kemudian semua orang bercakap seolah-olah dunia sudah berakhir.”

“Malaysia bukan negara kecil,” balas Naftali.

“Aku tidak kata negara itu kecil. Aku kata mereka tidak penting dalam kehidupan kita. Lagi pula Malaysia tidak iktiraf negara kita.”

Gilad  ketawa. Baginya, politik antarabangsa tidak lebih daripada pertandingan siapa paling cepat membuat orang lain marah. Mereka tidak bekerja untuk mana-mana kerajaan, tidak mempunyai hubungan dengan mana-mana agensi perisikan, dan tidak pernah bertemu pegawai Waze. Mereka cuma tiga remaja yang menganggap Internet sebagai taman permainan tanpa pagar.

Eyal  membuka satu lagi tab.

“Bayangkan kalau kita boleh buat mereka terkenal.”

“Terkenal kerana apa?”

“Kerana rahsia dan sikap munafik mereka sendiri.”

Naftali  memandangnya. Dia tahu Eyal  sedang memikirkan perkara yang tidak sepatutnya dilakukan. Namun, seperti kebanyakan orang yang pernah melihat kesalahan berlaku di hadapan mata, dia menunggu beberapa saat sebelum bersuara.

Keesokan hari, Malaysia bangun dengan berita yang tidak pernah dibayangkan oleh mana-mana pengarang fiksyen satira politik.

Sebuah akaun tanpa nama memuat naik dokumen yang didakwa berasal dari telefon seorang pegawai kanan kerajaan. Tidak lama kemudian, beberapa akaun lain di hampir semua media sosial menyebarkan tangkapan skrin, rakaman suara, dan salinan surat-menyurat yang kononnya melibatkan menteri, ketua jabatan, serta pemegang jawatan tinggi.

Ada dokumen yang kelihatan asli. Ada yang mengandungi kesalahan ejaan. Ada pula yang mencampurkan perkara benar dengan butiran yang tidak masuk akal.

Pada mulanya, orang ramai menyangka semuanya palsu. Kemudian, muncul satu foto sesi mesyuarat yang tidak pernah dimaklumkan kepada umum. Selepas itu, satu rakaman suara menyerupai suara seorang pegawai kanan pula tersebar luas.

Telefon bimbit mula berbunyi di seluruh Putrajaya.

“Siapa yang menyalurkan dokumen ini kepada mereka?” Seorang ketua jabatan menengking pembantunya.

“Saya tidak tahu, Datuk.”

“Kalau tidak tahu, buat apa awak duduk di sini?”

Pembantu itu tertunduk. Dia teringatkan arahan lama supaya menggunakan kata laluan yang mudah diingati kerana kata laluan rumit menyusahkan kerja. Dia juga teringatkan kumpulan sembang pejabat di WhatsApp dan Telegram yang pernah menerima pautan mencurigakan. Ketika itu, semua orang ketawa apabila seorang pegawai menegur tentang keselamatan siber.

Sekarang tiada sesiapa yang ketawa.



Di sebuah kedai kopi di Brickfields, Arvind Rajan sedang membaca berita pada telefon Android miliknya. Dia bekerja sebagai juruteknik komputer dan menghabiskan sebahagian besar hidup membaiki peranti orang yang tidak tahu membezakan antara ruang simpanan dengan ingatan.

Di atas meja terdapat secawan kopi yang sudah sejuk dan sepinggan vadai yang tinggal separuh.

“Kalau semua maklumat boleh dicuri dari telefon, apa gunanya kita membeli telefon mahal?” tanya kawannya, Hemantha Kumar.

“Telefon mahal tidak menjadikan pemiliknya bijak,” jawab Arvind.

Kumar ketawa, kemudian berhenti apabila satu lagi foto muncul pada skrin. Kali ini foto yang memperlihatkan seorang tokoh politik sedang memasuki sebuah bangunan persendirian bersama individu yang tidak dikenal pasti.

Kapsyen mendakwa berlaku hubungan sulit. Tidak ada bukti yang mengesahkan dakwaan tersebut, namun ribuan orang sudah berkongsi foto itu.

“Kasihan juga,” kata Kumar.

“Kasihan kerana foto itu mungkin palsu?”

“Kasihan kalau benar.”

Arvind meletakkan telefon di atas meja.

“Kalau benar pun, siapa kita untuk menyebarkannya? Kalau palsu, kita sudah membantu memusnahkan hidup seseorang. Apa bezanya kita dengan pencuri yang menjual barang curi?”

Kumar tidak menjawab. Dia memandang sekeliling kedai kopi. Beberapa pelanggan sedang ketawa sambil menunjukkan skrin telefon masing-masing. Di meja hujung, seorang wanita muda menangis tanpa mengeluarkan suara.

Namanya Kavitha Krishnamoorthy. Dia bekerja di sebuah pejabat kerajaan dan mengenali salah seorang individu yang fotonya sedang tersebar. Foto itu dikatakan membuktikan hubungan intim antara dua lelaki.

Kavitha tahu salah seorang daripada mereka sudah berkahwin. Dia juga tahu lelaki itu pernah mengadu kepadanya tentang ancaman daripada bekas kenalan, khususnya sejak Anwar memulakan kempen menghapuskan LGBT selepas mendapat pengampunan diraja.

Namun, Kavitha tidak tahu sama ada foto yang sedang tular itu tulen, diubah suai, atau diambil di luar konteks. Dia cuma tahu bahawa ribuan orang sedang menikmati penderitaan seseorang yang tidak berpeluang untuk menjelaskan apa-apa kepada sesiapa.

Di Tel Aviv, Naftali sudah berhenti ketawa.

Eyal  dan Gilad  masih menganggap kejadian itu sebagai gurauan yang berjaya. Mereka tidak menyangka tindakan mereka akan menghasilkan begitu banyak reaksi di Malaysia.

Pada mulanya, mereka hanya mahu menyindir sebuah kerajaan yang mengharamkan penggunaan sebuah aplikasi navigasi tetapi melakukan flip-flop dalam masa tidak sampai 24 jam. Mereka bertiga mahu membuktikan bahawa manusia terlalu mudah percaya pada teknologi yang digunakan setiap hari.

Tetapi apabila pelbagai dokumen sulit berjaya dimuat turun dengan mudah lalu mula tersebar, gurauan itu berubah menjadi sesuatu yang tidak lagi dapat mereka kawal.

“Kita patut berhenti,” kata Naftali.

“Kenapa?” Eyal  berpaling. “Kita belum melakukan apa-apa yang besar.”

“Lihat apa yang berlaku kepada menteri dan pegawai kerajaan di negara itu.”

“Mereka orang politik. Mereka patut tahu cara melindungi diri.”

“Adakah itu bermaksud kita boleh menceroboh kehidupan mereka?”

“Kita tak sangka wujud begitu banyak rahsia hitam dalam peranti mereka yang begitu mudah dapat digodam.”

Gilad  menutup komputer riba. Dia sudah melihat komen yang menggesa orang ramai mengugut keluarga seorang pegawai kerajaan. Ada pula akaun yang menawarkan ganjaran untuk mendapatkan alamat rumah individu homoseksual yang fotonya tersebar.

“Aku cuma mahu mereka marah,” kata Naftali  perlahan. “Bukan sampai begini.”

Eyal  memandang kedua-dua rakannya. Pada kali ini, dia tidak ada jawapan yang lucu untuk dikongsikan.

Mereka telah membuka sebuah pintu tetapi merka sendiri tidak tahu siapa yang sedang masuk melalui pintu itu.



Di Putrajaya, mesyuarat tergempar berlangsung dalam suasana tegang. Beberapa pegawai kanan mencadangkan supaya semua telefon bimbit iPhone dirampas sementara siasatan dijalankan. Seorang lagi mencadangkan larangan menyeluruh terhadap aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram; juga WhatsApp dan Telegram oleh para penjawat awam.

“Kalau kita tutup kesemuanya, bagaimana pegawai boleh berhubung dengan keluarga? Bagaimana nak kongsi maklumat dengan kakitangan bawahan?” tanya seorang wanita yang mengetuai unit pentadbiran.

“Keselamatan negara lebih penting. Seperti kata PMX, kita mesti melindungi maklumat Kerajaan Madani dan data peribadi penjawat awam daripada ancaman penyalahgunaan olej rejim Israel.”

“Kalau begitu, mengapa dokumen sulit sentiasa dihantar melalui kumpulan sembang yang turut mengandungi nombor telefon kontraktor luar?”

Bilik itu senyap seketika sebelum seorang pegawai kanan berdehem.

“Kita sedang membincangkan ancaman dari luar,” katanya.

“Ancaman dari luar tidak akan berjaya kalau kita tidak membuka tingkap sendiri. Kita haramkan Waze tapi masih khusyuk menggunakan Telegram, Facebook, WhatsApp, Instagram, TikTok, malah iPhone.”

Kata-kata itu membuatkan beberapa orang menunduk. Ada pegawai yang marah kerana berasa dipersalahkan. Ada individu yang takut kerana tahu teguran tersebut benar. Seorang setiausaha mencatat nota dalam buku, kemudian memadamkannya sebelum sesiapa sempat melihat.

Di luar bilik, seorang timbalan menteri sedang cuba menghubungi isterinya. Dia mahu memberitahu bahawa foto peribadinya yang dicuri dari peranti dan sedang tular tidak seperti yang didakwa. Namun, panggilannya tidak dijawab.

Dia teringatkan anak perempuan yang masih di sekolah rendah. Bagaimana hendak menjelaskan perkara itu jika rakan-rakan sekolah melihat foto tersebut? Bagaimana hendak meyakinkan isterinya bahawa dia tidak melakukan perkara yang dituduh?

Telefon di tangan terasa panas. Dia memahami bahawa keselamatan data bukan sekadar istilah dalam laporan rasmi. Data boleh menjadi senjata yang tidak meninggalkan luka pada kulit, sebaliknya merosakkan kehidupan seseorang apabila segala rahsia hitam berjaya digodam.

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) – Larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze bagi anggota perkhidmatan awam hanya terpakai ketika menjalankan tugas rasmi.

Pada hari berikutnya, sebuah rakaman baharu muncul di media sosial. Rakaman itu memperlihatkan paparan dokumen yang dikatakan mengandungi rancangan sulit kerajaan. Beberapa orang menganggapnya sebagai bukti bahawa semua dakwaan terdahulu benar. Pihak lain mendakwa rakaman itu palsu.

Namun, di hujung rakaman terdapat satu barisan teks yang tidak dapat dijelaskan: Kamu menyalahkan peta kerana kamu tidak tahu siapa yang memegang telefon. Kamu menyalahkan Israel untuk …

Arvind membaca teks yang tidak lengkap itu berulang kali. Dia tidak tahu siapa yang menulisnya. Dia juga tidak tahu sama ada teks itu sebahagian daripada gurauan, amaran, atau cubaan mengalihkan perhatian daripada jenayah sebenar.

Pada masa hampir sama, Naftali menerima mesej dari akaun yang tidak dikenali. Mesej itu hanya mengandungi satu foto iaitu wajahnya sendiri, dirakam dari luar tingkap apartmen.

Di bawah foto tertulis: Kamu fikir kamu sahaja yang boleh mengintip orang lain?

Naftali berdiri kaku. Dia memandang langsir yang tidak ditutup sepenuhnya. Di luar, sebuah motosikal melintas. Bunyi enjin semakin jauh, kemudian hilang.

Dia menelefon Eyal dan Gilad. Tiada jawapan.

Pada skrin komputer, satu demi satu fail yang mereka simpan mula berubah nama. Mereka tidak lagi dapat mengakses akaun yang digunakan untuk menyebarkan bahan tersebut. Eyal cuba mematikan komputer, tetapi skrin kekal menyala.

Kemudian, muncul sebuah fail yang tidak pernah mereka cipta. Namanya: Malaysia_Final.

Arvind menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Suara di hujung talian kedengaran muda, mungkin seorang lelaki atau wanita. Dia tidak dapat memastikannya.

“Kamu fikir semua ini tentang Waze?” suara itu bertanya.

“Siapa kamu?”

“Orang yang tahu bahawa kamu juga sedang diperhatikan.”

Panggilan terputus. Arvind memandang telefon bimbit. Dia tidak pernah menggunakan Waze untuk urusan kerajaan. Dia bukan menteri, bukan ketua jabatan, dan tidak ada akses kepada sebarang dokumen sulit melibatkan Kerajaan Madani. Dia cuma seorang juruteknik yang membaiki telefon orang lain.

Namun, di dalam telefon itu terdapat foto keluarganya, mesej peribadi, dan maklumat pelanggan yang mempercayainya.

Dia teringatkan Kavitha yang menangis di kedai kopi. Dia teringatkan orang ramai yang ketawa melihat foto intim yang belum disahkan. Dia teringatkan menteri yang takut kehilangan jawatan, pegawai yang takut kehilangan keluarga, dan remaja yang menyangka kehidupan orang lain sekadar bahan hiburan.

Di luar kedai, hujan mula turun. Arvind memasukkan telefon ke dalam poket dan berjalan pulang tanpa membuka sebarang aplikasi navigasi. Dia tahu jalan ke rumahnya. Tetapi apa yang tidak diketahuinya ialah siapa lagi yang tahu jalan itu.

Dan di suatu tempat di Tel Aviv, skrin komputer masih memaparkan satu arahan yang belum dilaksanakan. Destinasi Terakhir: Malaysia.

[Fiksyen satira spekulatif ini ditulis pada 21 Oktober 2026. © Uthaya Sankar SB 2026. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

Catatan: Eyal Yifrach (19), Gilad Shaar (16), dan Naftali Frenkel (16) ialah tiga remaja Israel yang diculik dan dibunuh puak pengganas Hamas di Tebing Barat pada 12 Jun 2014. Jenazah ketiga-tiga remaja itu ditemui tertanam di sebuah ladang berhampiran Halhul, utara Hebron, pada 30 Jun 2014.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!