25 May 2023

Pengalaman Jadi Sumber Cerita

M. Mahendran (M. Prabhu) berasal dari Bentong, Pahang. Beliau mula menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil pada tahun 1987. Cerpen-cerpen Mahendran termuat dalam antologi seperti Menara (1988), Menara 4 (1991), Tanpa Mengira Warna (1993), Vanakam (2002), Segugus Aksara Sealur Kasih (2003), Busana Bahasa (2019), Landasan Hidup (2020), Peluru Aksara (2020) dan Lakaran Diri (2022). Beliau juga menterjemah kumpulan cerpen penulis veteran Tamil, mendiang M. Ramaiah, lalu terbit dengan judul Mimpi dan Impian (2013). Kumpulan cerpen sulung Mahendran dalam Bahasa Malaysia berjudul Karupaya (2018) manakala kumpulan cerpen sulung bahasa Tamil berjudul Thalaivar (2021). Mahendran juga salah seorang pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada tahun 1999.

Ikuti wawancara Mahendran bersama Uthaya Sankar SB.

 

Apakah cita-cita anda semasa kecil?

Cita-cita semasa kecil adalah untuk menjadi  pegawai polis atau pun C.I.D. Ini adalah pengaruh daripada membaca buku tulisan Enid Blyton dan kemudian hendak menjadi pelakon pula. Lama-kelamaan cita-cita itu hilang begitu sahaja tanpa sebab.

 

Bilakah anda mula sedar anda mahu menjadi seorang penulis?

Menulis sudah bermula sejak di sekolah rendah. Maksud saya, saya mula menulis ke majalah tahunan sekolah. Setiap tahun karangan pendek saya disiarkan sama ada dalam Bahasa Malaysia, Tamil atau Inggeris. Semasa di sekolah menengah pula saya menulis surat pembaca setiap minggu ke akhbar-akhbar Tamil. Pada usia yang ke-18 baru saya sedar saya perlu hasilkan karya kreatif, bukan menulis surat pembaca semata-mata.

Hasil pembacaan novel dan cerpen berterusan ketika itu, mendetik dalam diri ini untuk menulis cerpen. Cerpen pertama saya adalah dalam bahasa Tamil disiarkan dalam majalah mingguan Mayil pada tahun 1987 dan cerpen “Karupaya” dalam Bahasa Malaysia ditulis pada tahun yang sama diterbitkan dalam antologi Menara (1988).

 

Siapakah antara penulis Malaysia kegemaran anda?

A. Samad Said, A. Samad Ismail, Azizi Hj. Abdullah, Khadijah Hashim, Abdullah Hussain, Shahnon Ahmad, Uthaya Sankar SB dan Ted Miles. Terkini, saya meminati beberapa orang penulis yang menulis untuk terbitan FIXI.

 

Dari mana anda mendapat idea dan maklumat bagi penulisan?

Idea untuk penulisan  datang dari kisah-kisah yang dilihat dan dibaca.  Ada juga kisah yang diambil daripada pengalaman sendiri dan orang lain. Jika peristiwa itu kita sendiri mengalaminya dan ditulis, kisah itu pasti ‘hidup’.

                     

Karya manakah paling sukar untuk anda tulis/hasilkan?

Setiap cerpen yang dihasilkan sukar pada awalnya. Apabila sudah masuk ke dalam penceritaan ia akan menjadi mudah. Cuma pengakhiran setiap karya juga menyukarkan. Namun cerpen saya yang bertajuk “3030” agak sukar semasa menulis sebab kisah itu adalah gabungan antara cerita rakyat dan futuristik.

 

Apakah projek penulisan terkini anda?

Tidak ada apa-apa dihasilkan setakat tarikh wawancara ini. Namun beberapa kisah sentiasa bermain di minda untuk hasilkan cerpen.

 

Apa yang anda suka lakukan selain membaca dan menulis?

Kebanyakan masa dihabiskan di laman sosial, menonton filem di Netflix, berjalan (senaman) selain waktu kerja yang panjang.

 

Apakah pandangan keluarga tentang penulisan anda?

Mereka rasa bangga dan ada antara ahli keluarga menjadi penulis.

 

Bagaimana anda menangani masalah writer’s block?

Untuk menangani masalah ini saya akan membaca buku mengenai penulisan dan menonton YouTube dalam topik yang sama.

 

Jika satu daripada karya/buku anda wajar diterjemah kepada bahasa Inggeris, mana satu yang akan anda pilih dan mengapa?

Saya akan memilih cerpen saya yang bertajuk “Demi Revathy Kutty” untuk diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Cerpen itu adalah mengenai pergolakan seorang wanita India dari estet yang berhijrah ke bandar sekitar pertengahan tahun 80-an.

 

Bagaimana anda mempromosi/menjual buku anda?

Buku-buku saya dipromosikan dan dijual secara dalam talian seperti Facebook dan WhatsApp.

 

Tarikh: 24 Mei 2023