Ada
pihak mengatakan, kehadiran media sosial dan akses mudah menerusi telefon
pintar membuatkan orang ramai kurang berminat membaca bahan bercetak seperti
buku, majalah, dan akhbar.
Sekiranya
diperhatikan, kandungan akhbar dan majalah sudah boleh diakses secara dalam
talian. Maka, tidak hairanlah ramai orang memilih cara itu untuk mendapatkan maklumat
dan berita terkini.
Bahan
bacaan berupa buku juga sudah ada dalam bentuk digital dan boleh dibaca pada
skrin komputer dan telefon pintar. Format ini bukan hanya menarik minat
generasi muda, tetapi juga generasi lama yang amat gembira kerana mampu
mengakses dan membaca pelbagai buku dalam pelbagai genre.
Maka,
secara umum, sudah timbul persoalan tentang pandangan dan “data” yang
mengatakan rakyat Malaysia kurang membaca. Sesungguhnya, di sebuah negara maju
sekalipun, kita tidak boleh mengharapkan kesemua penduduk menjadi pembaca
tegar.
Sekadar
contoh, kadar literasi di negeri Kerala, India melebihi 96 peratus. Hal ini
tidak semestinya bermakna kesemua individu yang celik huruf serta mampu menulis
dan membaca akan memilih untuk menjadi peminat setia bahan bacaan.
Pandemik
Covid-19 sejak setahun lalu turut
memberi kesan buruk kepada industri buku. Realiti ini dapat diperhatikan di
depan mata. Akan tetapi, sekiranya diteliti, hal yang sebaliknya juga dapat
dikesan.
Memanglah
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak besar kepada industri perbukuan
secara umum. Misalnya, banyak kedai buku terpaksa ditutup kerana tidak mampu
menampung kos.
Terdapat
juga penerbit buku dan majalah yang mengeluh serta terpaksa menutup operasi
atau mengurangkan penerbitan susulan Covid-19.
Kumpulan Media Karangkraf yang merupakan syarikat penerbitan terbesar milik Bumiputera
turut menerima tempias. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih mampu bertahan
kerana menerima dana kerajaan.
Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tidak dapat diadakan pada tahun lalu dan mungkin
juga pada tahun ini. Akibatnya, ramai penerbit dan pedagang buku mengeluh, lalu
cuba mencari jalan alternatif. Misalnya, penganjurkan pesta buku secara maya
dan dalam talian.
Maka,
secara umum, seluruh industri buku digambarkan seolah-olah tidak mampu untuk
terus bertahan. Banyak pula persatuan penulis yang merayu bantuan dana kerajaan
untuk terus bernafas.
Mungkin
juga para Sasterawan Negara (SN) masih mampu menarik nafas lega kerana menerima
elaun penghargaan bulanan RM5,000 sejak Jun 2019. Elaun ini bertujuan menjamin
kebajikan, kesejahteraan, dan memberi keselesaan kepada SN supaya boleh
terus-menerus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan serta menghasilkan karya
bermutu tinggi.
Bagaimana
pula dengan para penulis biasa yang tidak menerima sebarang elaun bulanan?
Apatah lagi penulis sepenuh masa yang mendedikasi sepenuh masa dan tenaga
kepada bidang penulisan dan perbukuan?
Kita
belum mendengar berita golongan penulis gulung tikar. Sementara persatuan
penulis (yang tidak semestinya dipimpin golongan penulis) merayu dana dan
simpati kerajaan, para penulis berjiwa kental terus melakukan apa yang paling
disukai, iaitu menulis.
Apabila
penerbit mengurangkan operasi dan tidak mahu mengambil risiko menerbitkan buku
baharu, para penulis mencari alternatif. Apabila kedai buku dan pedagang buku
tidak mahu mengedarkan buku, para penulis mencari jalan lain.
Sekiranya
diperhatikan, sejak setahun lalu, semakin ramai penulis mengamalkan swaterbit. Mereka
tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penerbit untuk memastikan hasil tulisan
mereka lahir dalam bentuk buku.
Memanglah
ada penulis yang terus mengeluh dan masih mendesak kerajaan tampil membantu.
Namun, golongan penulis yang berjiwa kental pula memikirkan cara-cara yang
boleh digunakan untuk terus menghasilkan karya bermutu dan memastikan karya itu
sampai kepada pembaca.
Buku-buku
dicetak dalam jumlah yang sedikit dan diedarkan sendiri oleh para penulis. Rangkaian
sokongan dibina bersama-sama rakan-rakan penulis. Pelbagai individu yang
terlibat dalam industri juga tampil membantu atas kapasiti masing-masing.
Misalnya, pereka letak, ilustrator, penyunting, dan ejen pemasaran. Maka,
muncul gelombang baharu kumpulan penulis, penerbit, dan pengedar buku kecil-kecilan
yang bergabung tenaga demi kesejahteraan bersama.
Di Facebook, muncul laman seperti Sokong
Karya Penulis Malaysia dan Buku
Apa Terbit Hari Ini yang
bertujuan membantu para penulis untuk terus bernafas.
Kedai Buku
Fixi
yang dimiliki oleh penulis dan aktivis buku, Amir Muhammad, membantu secara
senyap. Begitu juga Gerak Budaya yang digerakkan oleh pencinta buku. Baru-baru
ini, Shiny Universes Sdn Bhd dan Action Jijin Berhad tampil memberi subsidi
RM2,000 kepada 50 persatuan penulis, kebudayaan dan kesenian.
Bagaimana
pula sambutan masyarakat terhadap bahan bacaan? Sesungguhnya, Covid-19 turut mengurangkan jumlah
peruntukan keluarga untuk membeli bahan bacaan.
Pada masa
sama, halaman seperti Kolektor Buku-buku Semalaysia di Facebook terus rancak. Masih ramai yang
membeli buku secara dalam talian. Buku-buku lama dan baharu terus mendapat sambutan.
PKP turut
membuka ruang dan peluang kepada orang ramai untuk meluangkan masa menikmati
buku. Apatah lagi, ia suatu aktiviti yang tidak melibatkan kos besar.
Maka,
penulis dan masyarakat boleh saling membantu dengan terus menulis, menerbit,
membeli, dan membaca buku tempatan.
[Rencana ini adalah versi asal yang
ditulis pada 24 Januari 2021 dan tersiar dalam ruangan “Bicara Budaya” di Utusan Malaysia pada 30 Januari 2021 © Uthaya Sankar SB]