26 Dec 2019

Penulis Bantu Penulis


Mulai Januari 2020, saya bercadang memperuntukkan seratus ringgit (RM100) seorang bagi menyokong penulis pelbagai kaum dan pelbagai bahasa yang menerbitkan sendiri (swaterbit, self-publish) karya dalam bentuk buku.

Peruntukan ini sebagai tambahan kepada wang yang biasa saya gunakan untuk membeli buku-buku lain dalam pasaran.

Sebagai penulis sepenuh masa yang menerbitkan sendiri buku sejak tahun 2001, saya amat memahami perlunya sokongan orang ramai; khasnya daripada kalangan rakan-rakan penulis.

Saya sangat bernasib baik kerana selalu mendapat sokongan rakan-rakan budiman — walaupun anehnya, tidak ramai “penulis” yang tampil membantu.

Contoh senarai penyumbang budiman: Nari! Nari! (2015) Mandala Bicara (2016) Ikan Patin dan Beruang Besar (2017) Thirukkural dan Megha Duta (2018) Ramayana dan Mahabharata (2019) Vetalam dan Vikramaditya (2020).

Peruntukan RM100 (seorang) yang saya nyatakan tidaklah terlalu besar, tetapi mengikut kemampuan saya.

Bagi memastikan tiada apa-apa masalah, syarat-syarat berikut ditetapkan:

1 – Mestilah warganegara Malaysia.

2 – Buku swaterbit (self-publish) sahaja.

3 – Ada ISBN. Ya, wajib.

4 – Dicetak di Malaysia.

5 – Karya dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, Mandarin, dan bahasa-bahasa lain di Malaysia.

6 – Karya tidak membunuh bahasa — contohnya menggunakan “ke” di tempat “kah”, atau sengaja mencampur aduk bahasa. (Karya yang menggunakan “ke” di tempat “kah” memang automatik tidak dilayan.)

7 – Buku yang dijadual terbit pada tahun 2020 sahaja.

8 – Penulis perlu mengirim senaskhah buku kepada saya untuk simpanan dan dokumentasi (selepas saya membuat bayaran).

9 – Keutamaan — tentunya! — kepada para penulis yang pernah membeli dan menyokong penerbitan buku-buku saya.

Sudilah menghubungi saya (Uthaya Sankar SB) menerusi WhatsApp 011–11411952 untuk perbincangan lanjut.