Aktiviti penulisan kreatif bukan
hanya membantu si penulis menyampaikan cerita, melihat karya tersiar, dan
menjadi terkenal. Proses penulisan juga dikatakan boleh memberi manfaat dari
sudut kesihatan fizikal dan mental, seperti dihuraikan di Writers
Write.
Sebenarnya, tidak ada syarat atau
peraturan khusus untuk memastikan aktiviti penulisan menjadi bahan terapi
kepada si penulis. Apa yang pasti, proses menulis membantu seseorang melakukan
penilaian diri, berfikiran kritikal, bersikap empati, lebih kreatif, serta
memiliki kesihatan mental yang lebih baik.
Dalam catatan bertajuk “Fiction as Therapy”, Elaine Bousfield menghuraikan bagaimana karya fiksyen —
penulisan dan pembacaan — boleh dijadikan wahana atau alat perubatan terapeutik
bagi golongan remaja.
Topik “Penulisan Sebagai Terapi”
turut dibincangkan semasa Pertemuan Santai Penulis Malaysia anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya pada 14 September
2019.
Penulis novel kanak-kanak Addison, Aku Tetap Juara! (2018), Chua Pei Yong
berkongsi tentang pengalaman kehilangan seorang bapa saudara yang dikasihi.
Seterusnya, bekas pensyarah dan bekas presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil
Malaysia, Mannar Mannan Maruthai menceritakan
pengalaman pahit kehilangan anaknya, sekitar empat tahun lalu.
Perkongsian itu membawa kepada
perbincangan tentang bagaimana bidang penulisan kreatif boleh menjadi alat
terapi kepada golongan penulis. Esei “The Therapeutic Effects of Writing” menjelaskan bagaimana Anne Frank menulis diari dari umur
13 hingga 15 tahun semasa keluarganya bersembunyi di ruang loteng sewaktu
Jerman menjajah Belanda.
Dalam membincangkan topik ini, Anuradha Chelliah, seorang guru Bahasa Inggeris dari Banting menceritakan
bagaimana aktiviti penulisan membantunya meluahkan
perasaan, pendapat dan isi hati kerana beliau seorang yang susah bercakap.
“Saya rasa lebih mudah untuk saya
menulis daripada bercakap. Setiap kali saya berhadapan dengan sesuatu situasi,
tidak kira perkara sedih atau perkara yang mengembirakan, maka terlintas dalam fikiran
saya untuk menulis tentang isu berkenaan,” katanya.
Bercerita lebih lanjut, Anuradha
berkongsi pengalaman pernah hilang kerja, lalu kebuntuan dalam soal mengurus
diri. Pada masa itu, beliau telah membuat pelbagai coretan untuk memberi
semangat kepada diri sendiri.
“Saya rasa penulisan kreatif
membolehkan saya untuk berdebat dengan idea-idea tentang situasi semasa dalam
minda saya sebelum penghasilkannya dalam bentuk karya. Segala pengalaman hidup
juga menjadi sumber ilham untuk saya terus menulis,” kata Anuradha yang turut
menghasilkan karya bagi antologi Busana
Bahasa (2019).
Turut mengakui aktiviti penulisan
sebagai terapi jiwa ialah Thanusya Shanmuganathan yang menghasilkan novel Tak Sengaja Cinta (2014) dan novelet Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016).
“Berdasarkan
pengalaman peribadi, saya menyalurkan kemarahan dan kesedihan ke dalam karya
saya. Tindakan ini secara automatik menyebabkan saya rasa seperti satu beban yang
berat sudah hilang dari hati saya. Saya akan rasa lebih tenang selepas terapi
menulis,” katanya.
Thanusya
mengingatkan bahawa semua orang ada masalah dan perlu mencari jalan sendiri
yang sesuai dengan kemampuan diri bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang
dihadapi.
“Jika
mereka mampu menulis, mengapa penulisan tidak dijadikan saluran untuk
mengekspresi diri? Melalui penulisan, saya dapat meluahkan hal-hal yang terbuku
di hati; perkara-perkara yang tidak mampu diluahkan melalui percakapan,”
Thanusya berkongsi pengalaman menggunakan aktiviti penulisan sebagai terapi
yang amat berkesan.
Dalam
pada itu, Thanusya mengingatkan bahawa terapi bukan sahaja untuk orang sakit.
Sebaliknya, ia juga boleh digunakan sebagai sumber inspirasi kepada golongan
penulis yang sentiasa memerlukan idea dan bahan penulisan.
Pengarang
kumpulan cerpen Karupaya (2018), M. Mahendran pula mempunyai pandangan dan pengalaman yang sedikit
berbeza. Katanya, ramai
penulis mengaku penulisan adalah satu terapi untuk menghilangkan stres atau
tekanan.
“Stres
yang datang dalam pelbagai bentuk pada seseorang manusia adalah lumrah dunia.
Penulis juga seorang manusia biasa dan akan menghadapi pelbagai jenis masalah,
baik di tempat kerja mahu pun di rumah,” katanya sambil menambah: “Bagi saya,
saya tidak dapat menulis dengan baik jika stres menyelubungi diri.”
Menghurai
lanjut, Mahendran dari Bentong, Pahang menjelaskan bahawa beliau memerlukan fikiran
yang tenang untuk menghasilkan sebuah karya.
“Memang
saya masih boleh menulis semasa pelbagai masalah menyesakkan kepala, namun ia
tidak akan meringankan beban masalah yang sedang ditanggung. Karya yang
dihasilkan dalam keadaan itu tidak akan menjadi seperti yang diharapkan,”
katanya.
Beliau
yang menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987 menambah, mungkin beliau perlu melatih
diri untuk meringankan tekanan minda semasa menulis pada masa-masa akan datang.
Penulis
buku Rewrite Your Life: Discover Your
Truth Through the Healing Power of Fiction (2017), Jessica Lourey menghuraikan bagaimana penulisan fiksyen menjadi alat
perubatan yang berkesan.
Selain
menggunakan contoh pengalaman sendiri, beliau turut mengangkat David Copperfield oleh Charles Dickens, The Things They Carried oleh Tim O’Brien,
dan The House of the Spirits oleh
Isabel Allende untuk menunjukkan bagaimana penulis boleh mengolah pengalaman
sedih dan pedih menjadi karya yang sekali gus menjadi bahan terapi bagi diri.
Setiap suka duka dalam hidup harus kita lalui. Pemergian dan perpisahan menjadi satu fenomena hidup yang sering mengganggu emosi, minda dan pemikiran. Demikian kata KA. S. Annadurai dalam berkongsi pengalaman berhubung topik sama.
“Semasa umur saya belasan tahun,
saya tidak dapat menyambut Deepavali selama tiga tahun berturut-turut. Semasa
berada di Tingkatan 2, nenek saya meninggal dunia. Tahun berikutnya, abang saya
terkorban dalam satu kemalangan,” guru Bahasa Jerman itu membuka cerita.
Pada tahun ketiga, iaitu semasa
Annadurai berada di Tingkatan 4, bapanya pula meninggal dunia. Maka, sekali
lagi keluarganya tidak boleh menyambut Deepavali mengikut tradisi kaum India
dan agama Hindu.
“Pada masa itulah saya mula
membaca dan menghayati sajak. Adik saya dan saya menulis sebuah sajak berjudul
‘Deepavali yang Menipu Kami’. Sajak itu tersiar di sebuah akhbar Tamil dan
menjadi semacam terapi kepada kami,” katanya sambil menambah bahawa beliau
sering mengulang baca sajak berkenaan apabila memerlukan ketenangan fikiran.
Sajak terbaru Annadurai dalam antologi
Busana Bahasa juga merupakan satu pengalaman
yang terpahat dalam hati sejak lebih sedekad lalu. Beliau mengaku, apabila sudah
diluahkan dalam bentuk sajak, perasaan hati amat lega.
Dalam catatannya mengenai terapi
penulisan, Courtney Ackerman turut menyentuh mengenai penggunaan aktiviti melukis,
mewarna, mendengar muzik, dan menari bagi tujuan sama. Untuk memanfaatkan
terapi penulisan pula, tidak semestinya seseorang menjadi penulis profesional.
Chua Pei Yong yang
menyertai Pertemuan Santai Penulis
Malaysia menceritakan bagaimana penulisan menjadi terapi yang amat berkesan
kerana tanaga negatif dapat diubah menjadi tenaga positif.
“Sebagai contoh, konflik alam pekerjaan atau kemarahan
yang tersembunyi merupakan tenaga negatif yang tidak sihat kepada rohani. Saya mampu
melepaskan tenaga tersebut dengan mengadaptasi situasi tersebut sebagai tulisan
yang dapat pula memberi pengajaran kepada pembaca,” katanya.
Perkongsian pengalaman rakan-rakan
penulis menguatkan pandangan dan pendirian saya bahawa penulisan boleh
dijadikan alat terapi yang amat berkesan. Atas dasar itulah juga Kavyan sering
mengendalikan bengkel penulisan kreatif bagi kanak-kanak, remaja, belia, dan
orang dewasa. [Contoh — Sesi Penulisan Intensif V] — [Ayuh Belajar Menulis!]
Sesungguhnya, sastera bukan hanya
membantu “memanusiakan manusia”. Malah, membantu golongan penulis mengamalkan
terapi yang amat berkesan kepada kesihatan mental dan fizikal.
(Esei ini ditulis pada 18
September 2019 berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan penulis yang
dinyatakan dalam esei, dan disiarkan di Eksentrika
pada 27 September 2019. © Uthaya Sankar SB 2019. Jika anda mahu berkongsi pandangan/pengalaman mengenai
topik “penulisan sebagai terapi”, sila hubungi WhatsApp 011-11411952
atau e-mel uthayasb@gmail.com. Harap maklum bahawa anda membaca segala paparan di
mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)