8 Oct 2019

Penulisan Sebagai Terapi


Aktiviti penulisan kreatif bukan hanya membantu si penulis menyampaikan cerita, melihat karya tersiar, dan menjadi terkenal. Proses penulisan juga dikatakan boleh memberi manfaat dari sudut kesihatan fizikal dan mental, seperti dihuraikan di Writers Write.

Sebenarnya, tidak ada syarat atau peraturan khusus untuk memastikan aktiviti penulisan menjadi bahan terapi kepada si penulis. Apa yang pasti, proses menulis membantu seseorang melakukan penilaian diri, berfikiran kritikal, bersikap empati, lebih kreatif, serta memiliki kesihatan mental yang lebih baik.

Dalam catatan bertajuk “Fiction as Therapy”, Elaine Bousfield menghuraikan bagaimana karya fiksyen — penulisan dan pembacaan — boleh dijadikan wahana atau alat perubatan terapeutik bagi golongan remaja.

Topik “Penulisan Sebagai Terapi” turut dibincangkan semasa Pertemuan Santai Penulis Malaysia anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya pada 14 September 2019.


Penulis novel kanak-kanak Addison, Aku Tetap Juara! (2018), Chua Pei Yong berkongsi tentang pengalaman kehilangan seorang bapa saudara yang dikasihi. Seterusnya, bekas pensyarah dan bekas presiden Persatuan Penulis-penulis Tamil Malaysia, Mannar Mannan Maruthai menceritakan pengalaman pahit kehilangan anaknya, sekitar empat tahun lalu.

Perkongsian itu membawa kepada perbincangan tentang bagaimana bidang penulisan kreatif boleh menjadi alat terapi kepada golongan penulis. Esei “The Therapeutic Effects of Writing” menjelaskan bagaimana Anne Frank menulis diari dari umur 13 hingga 15 tahun semasa keluarganya bersembunyi di ruang loteng sewaktu Jerman menjajah Belanda.

Dalam membincangkan topik ini, Anuradha Chelliah, seorang guru Bahasa Inggeris dari Banting menceritakan bagaimana aktiviti penulisan membantunya meluahkan perasaan, pendapat dan isi hati kerana beliau seorang yang susah bercakap.

“Saya rasa lebih mudah untuk saya menulis daripada bercakap. Setiap kali saya berhadapan dengan sesuatu situasi, tidak kira perkara sedih atau perkara yang mengembirakan, maka terlintas dalam fikiran saya untuk menulis tentang isu berkenaan,” katanya.

Bercerita lebih lanjut, Anuradha berkongsi pengalaman pernah hilang kerja, lalu kebuntuan dalam soal mengurus diri. Pada masa itu, beliau telah membuat pelbagai coretan untuk memberi semangat kepada diri sendiri.


“Saya rasa penulisan kreatif membolehkan saya untuk berdebat dengan idea-idea tentang situasi semasa dalam minda saya sebelum penghasilkannya dalam bentuk karya. Segala pengalaman hidup juga menjadi sumber ilham untuk saya terus menulis,” kata Anuradha yang turut menghasilkan karya bagi antologi Busana Bahasa (2019).

Turut mengakui aktiviti penulisan sebagai terapi jiwa ialah Thanusya Shanmuganathan yang menghasilkan novel Tak Sengaja Cinta (2014) dan novelet Cik Cemerkap vs Encik Selfie (2016).

“Berdasarkan pengalaman peribadi, saya menyalurkan kemarahan dan kesedihan ke dalam karya saya. Tindakan ini secara automatik menyebabkan saya rasa seperti satu beban yang berat sudah hilang dari hati saya. Saya akan rasa lebih tenang selepas terapi menulis,” katanya.

Thanusya mengingatkan bahawa semua orang ada masalah dan perlu mencari jalan sendiri yang sesuai dengan kemampuan diri bagi mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

“Jika mereka mampu menulis, mengapa penulisan tidak dijadikan saluran untuk mengekspresi diri? Melalui penulisan, saya dapat meluahkan hal-hal yang terbuku di hati; perkara-perkara yang tidak mampu diluahkan melalui percakapan,” Thanusya berkongsi pengalaman menggunakan aktiviti penulisan sebagai terapi yang amat berkesan.


Dalam pada itu, Thanusya mengingatkan bahawa terapi bukan sahaja untuk orang sakit. Sebaliknya, ia juga boleh digunakan sebagai sumber inspirasi kepada golongan penulis yang sentiasa memerlukan idea dan bahan penulisan.

Pengarang kumpulan cerpen Karupaya (2018), M. Mahendran pula mempunyai pandangan dan pengalaman yang sedikit berbeza. Katanya, ramai penulis mengaku penulisan adalah satu terapi untuk menghilangkan stres atau tekanan.

“Stres yang datang dalam pelbagai bentuk pada seseorang manusia adalah lumrah dunia. Penulis juga seorang manusia biasa dan akan menghadapi pelbagai jenis masalah, baik di tempat kerja mahu pun di rumah,” katanya sambil menambah: “Bagi saya, saya tidak dapat menulis dengan baik jika stres menyelubungi diri.”

Menghurai lanjut, Mahendran dari Bentong, Pahang menjelaskan bahawa beliau memerlukan fikiran yang tenang untuk menghasilkan sebuah karya.

“Memang saya masih boleh menulis semasa pelbagai masalah menyesakkan kepala, namun ia tidak akan meringankan beban masalah yang sedang ditanggung. Karya yang dihasilkan dalam keadaan itu tidak akan menjadi seperti yang diharapkan,” katanya.


Beliau yang menulis cerpen Bahasa Malaysia dan Tamil sejak tahun 1987 menambah, mungkin beliau perlu melatih diri untuk meringankan tekanan minda semasa menulis pada masa-masa akan datang.

Penulis buku Rewrite Your Life: Discover Your Truth Through the Healing Power of Fiction (2017), Jessica Lourey menghuraikan bagaimana penulisan fiksyen menjadi alat perubatan yang berkesan.

Selain menggunakan contoh pengalaman sendiri, beliau turut mengangkat David Copperfield oleh Charles Dickens, The Things They Carried oleh Tim O’Brien, dan The House of the Spirits oleh Isabel Allende untuk menunjukkan bagaimana penulis boleh mengolah pengalaman sedih dan pedih menjadi karya yang sekali gus menjadi bahan terapi bagi diri.


Setiap suka duka dalam hidup harus kita lalui. Pemergian dan perpisahan menjadi satu fenomena hidup yang sering mengganggu emosi, minda dan pemikiran. Demikian kata KA. S. Annadurai dalam berkongsi pengalaman berhubung topik sama.

“Semasa umur saya belasan tahun, saya tidak dapat menyambut Deepavali selama tiga tahun berturut-turut. Semasa berada di Tingkatan 2, nenek saya meninggal dunia. Tahun berikutnya, abang saya terkorban dalam satu kemalangan,” guru Bahasa Jerman itu membuka cerita.

Pada tahun ketiga, iaitu semasa Annadurai berada di Tingkatan 4, bapanya pula meninggal dunia. Maka, sekali lagi keluarganya tidak boleh menyambut Deepavali mengikut tradisi kaum India dan agama Hindu.


“Pada masa itulah saya mula membaca dan menghayati sajak. Adik saya dan saya menulis sebuah sajak berjudul ‘Deepavali yang Menipu Kami’. Sajak itu tersiar di sebuah akhbar Tamil dan menjadi semacam terapi kepada kami,” katanya sambil menambah bahawa beliau sering mengulang baca sajak berkenaan apabila memerlukan ketenangan fikiran.

Sajak terbaru Annadurai dalam antologi Busana Bahasa juga merupakan satu pengalaman yang terpahat dalam hati sejak lebih sedekad lalu. Beliau mengaku, apabila sudah diluahkan dalam bentuk sajak, perasaan hati amat lega.

Dalam catatannya mengenai terapi penulisan, Courtney Ackerman turut menyentuh mengenai penggunaan aktiviti melukis, mewarna, mendengar muzik, dan menari bagi tujuan sama. Untuk memanfaatkan terapi penulisan pula, tidak semestinya seseorang menjadi penulis profesional.

Chua Pei Yong yang menyertai Pertemuan Santai Penulis Malaysia menceritakan bagaimana penulisan menjadi terapi yang amat berkesan kerana tanaga negatif dapat diubah menjadi tenaga positif.

“Sebagai contoh, konflik alam pekerjaan atau kemarahan yang tersembunyi merupakan tenaga negatif yang tidak sihat kepada rohani. Saya mampu melepaskan tenaga tersebut dengan mengadaptasi situasi tersebut sebagai tulisan yang dapat pula memberi pengajaran kepada pembaca,” katanya.


Perkongsian pengalaman rakan-rakan penulis menguatkan pandangan dan pendirian saya bahawa penulisan boleh dijadikan alat terapi yang amat berkesan. Atas dasar itulah juga Kavyan sering mengendalikan bengkel penulisan kreatif bagi kanak-kanak, remaja, belia, dan orang dewasa. [Contoh — Sesi Penulisan Intensif V— [Ayuh Belajar Menulis!]

Sesungguhnya, sastera bukan hanya membantu “memanusiakan manusia”. Malah, membantu golongan penulis mengamalkan terapi yang amat berkesan kepada kesihatan mental dan fizikal.

(Esei ini ditulis pada 18 September 2019 berdasarkan maklumat daripada rakan-rakan penulis yang dinyatakan dalam esei, dan disiarkan di Eksentrika pada 27 September 2019. © Uthaya Sankar SB 2019. Jika anda mahu berkongsi pandangan/pengalaman mengenai topik “penulisan sebagai terapi”, sila hubungi WhatsApp 011-11411952 atau e-mel uthayasb@gmail.com. Harap maklum bahawa anda membaca segala paparan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)