14 Jan 2017

Sayang Salmah

Judul: Sayang Salmah – Sebuah Antologi Skrip Filem
Penulis: Mahadi J. Murat
Tahun terbit: 2015 (Cetakan Kedua)
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Tebal: 280 halaman
HargaPasaran: RM38.00

Buku ini memuatkan skrip filem Sayang Salmah (1995) yang filemnya memenangi pelbagai anugerah perfileman di dalam dan luar negara. Filem ini berlatarkan masyarakat Melayu di Tanah Melayu sekitar 1955-60. Sayang Salmah menang anugerah di Festival Filem Malaysia Ke-12 (1995), Anugerah Skrin (1996), Festival Filem Asia Pasifik Ke-41 (1996), dan Festival Filem Dunia Kuala Lumpur (1996).

Turut disertakan tiga buah skrip oleh Dr. Mahadi J. Murat; iaitu Biarkan Burung Menyanyi, Malam Dingin di Cameron Highlands dan Mencari Merdeka yang membawakan genre dan cerita yang berbeza.

Drama Biarkan Burung Menyanyi berunsur humor dan mengisahkan seorang remaja yang tidak dapat menerima hakikat ibunya berkahwin dengan seorang lelaki yang telah menyebabkan kematian bapanya.

Manakala, Malam Dingin di Cameron Highlands pula sebuah kisah cinta dua insan yang berpisah dan bertemu semula. Sementara itu, Mencari Merdeka berkisar dua generasi muda berlainan keturunan yang menyambung perkongsian perniagaan bapa mereka dalam suasana dan latar belakang yang baharu dan penuh cabaran.

Pada bahagian Pendahuluan, Mahadi J. Murat berkongsi kisah di sebalik penghasilan skrip-skrip berkenaan. Antologi ini akan membantu kita lebih memahami dunia kreatif seorang pengarah filem yang penting dan disegani.

Skrip penuh yang termuat dalam buku ini juga boleh dijadikan panduan oleh penulis skrip muda yang memerlukan bimbingan berkaitan format penulisan skrip filem/drama.

Beli Sayang Salmah [DI SINI]