Tuesday, 12 July 2016

Hanya Pelajar SJKT Tahu Adab?

KUALA LUMPUR: Penulis sepenuh masa, Uthaya Sankar SB membidas hujah presiden Persatuan Ajaran Saiva Malaysia A Nagappan yang mendakwa bahawa hanya pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tahu adab dan budaya dalam usahanya menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka ke SJKT.

“Saya membantah sekeras-kerasnya fitnah yang dilakukan oleh Nagappan seperti terkandung dalam video ini. Adalah tidak benar bahawa individu kaum India yang belajar di SK tidak mengenali Barathi, Thiruvalluvar, Avvai dan sebagainya,” katanya.

“Adalah satu fitnah apabila mengatakan bekas murid SK tidak tahu kebudayaan Tamil. Malah, dalam banyak kes, bekas murid SK lebih tahu budaya kaum India berbanding bekas murid SJKT.”

“Satu lagi fitnah bahawa tidak ada seorang pun bekas murid SK yang menguasai Bahasa Tamil dan cemerlang dalam hidup. Jangan terkejut jika berbanding bekas murid SJKT, lebih ramai bekas murid SK mencintai dan memartabatkan Bahasa Tamil dalam hidup.”

“Orang ini mengatakan hanya bekas murid SJKT ada adab (panpaadu) tetapi bekas murid SK tidak ada adab! Kenyataan ini menghina sistem pendidikan kebangsaan,” kata Uthaya.

Nagappan membuat dakwaan demikian dalam satu klip video yang tersebar semalam di media sosial.

“Hanya satu peratus cukai yang dibayar kaum India disalurkan kepada sekolah jenis kebangsaan Tamil dan gaji guru Tamil,” kata Nagappan dalam video tersebut.

Nagappan turut mendakwa bahawa hanya pelajar sekolah jenis kebangsaan Tamil mengenali tokoh kesusasteraan Tamil.

“Hanya individu yang belajar di SJKT kenal Bharati, Thiruvalluvar dan Avvai; serta tahu kebudayaan Tamil. Sebaliknya, jika anak-anak dihantar ke sekolah kebangsaan (SK), mereka tidak akan tahu semua itu.”

“Tidak ada walau seorang individu lepasan SK yang berjaya menguasai Bahasa Tamil dan berjaya dalam hidup.”

“99 peratus cukai yang dibayar kaum India di Malaysia disalurkan oleh kerajaan kepada “mereka”, manakala hanya 1% disalurkan ke sekolah Tamil dan gaji guru sekolah Tamil (SJKT).”

“Individu kaum India yang belajar di SK tidak tahu adab,” kata Nagappan.

Uthaya yang seringkali merungkai isu bahasa, budaya, seni, sastera dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia sendiri sedang dalam proses mengkaji Thirukkural karya Thiruvalluvar.

Kenyataan Nagappan turut dibidas oleh pengguna Facebook lain.

Menurut G Prabawathy, seorang guru Bahasa Inggeris, Nagappan berfikiran cetek.

“Kami juga kenal Bharathi, Thiruvalluvar dan Avvai kerana ibu bapa kami telah memainkan peranan mereka. Tambahan pula, pihak kuil pada zaman dahulu telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan adat dan ajaran,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa pelajar sekolah kebangsaan lebih cenderung menguasai tiga bahasa.

“Sekiranya seorang yang dianggap bijak pandai boleh mengeluarkan kenyataan yang salah seperti di atas, siapakah yang perlu dipersalahkan apabila adat kita mati ditelan zaman?”

Wartawan P Nizha pula turut menegaskan, pendedahan kepada budaya dan agama tidak didominasi oleh SJKT semata-mata.

“Pada pandangan saya pula, saya akui kenyataan dia tetapi bukan 100 peratus benar. Ada kawan-kawan dari SK yang tidak tahu siapa Barathi, Thiruvalluvar atau Avvai; manakala ramai seperti saya yang mengenali mereka.”

“Ia tidak kena-mengena dengan tempat belajar tetapi ia berkaitan pendedahan yang diberikan oleh ibu bapa, masyarakat dan unsur lain, misalnya filem Tamil. Ramai yang mengenali budaya, adat dan tokoh India melalui filem.”

“Saya pula, produk SK tetapi saya percaya saya punyai semua kualiti yang disebut kononnya tidak dimiliki pelajar SK.”

“Malah terdapat juga pelajar sekolah Tamil di luar sana yang tidak tahu adab dan budaya. Jadi, ini bukanlah isu SK atau SJKT, ini isu keibubapaan dan kemasyarakatan,” katanya.

Guru Bahasa Inggeris, C Anuradha pula menyatakan bahawa sekolahnya menganjurkan Karnival Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor pada 9 April 2016.

Dakwaan A Nagappan boleh ditonton di pautan ini: Send Children to Tamil School - Dr. Nagappan Arumugam

(K Pragalath, Berita Daily, 11 Julai 2016)

Komen penuh di Facebook pada 10 Julai 2016 seperti berikut:

Uthaya Sankar SB:
“Saya membantah sekeras-kerasnya fitnah yang dilakukan oleh Nagappan Arumugam, seperti terkandung dalam video ini. Adalah tidak benar bahawa individu kaum India yang belajar di SK tidak mengenali Barathi, Thiruvalluvar, Avvai dan sebagainya.”

“Adalah satu fitnah apabila mengatakan bekas murid SK tidak tahu kebudayaan Tamil. Malah, dalam banyak kes, bekas murid SK lebih tahu budaya kaum India berbanding bekas murid SJKT.”

“Satu lagi fitnah bahawa tidak ada seorang pun bekas murid SK yang menguasai Bahasa Tamil dan cemerlang dalam hidup. Jangan terkejut jika berbanding bekas murid SJKT, lebih ramai bekas murid SK mencintai dan memartabatkan Bahasa Tamil dalam hidup.”

“Orang ini mengatakan hanya bekas murid SJKT ada adab (panpaadu) tetapi bekas murid SK tidak ada adab! Kenyataan ini menghina sistem pendidikan kebangsaan.”

“Menerusi program La di stesen radio MinnalFM (8 Jun 2016), diakui bahawa ramai individu kaum India yang bukan lepasan SJKT tetap menguasai Bahasa Tamil, serta mampu cemerlang dalam bidang yang melibatkan bahasa dan budaya Tamil/India.”

Prabhawathy Govindarajoo:
“Setelah mendengar hujahnya [Nagappan], saya sedar betapa ceteknya pandangan dia. Ramai antara kami yang belajar di SK tahu tentang budaya dan adat India serta mempunyai adab yang tinggi. Kami juga kenal Bharathi, Thiruvalluvar dan Avvai kerana ibu bapa kami telah memainkan peranan mereka. Tambahan pula, pihak kuil pada zaman dahulu telah memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan adat dan ajaran. Siapa yang memberi hak kepada dia untuk menyatakan bahawa tidak ada seorang pun lepasan SK yang berjaya menguasai Bahasa Tamil dan berjaya dalam hidup? Hakikatnya, kebanyakan daripada lepasan SK menguasai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil. Sekiranya seorang yang dianggap bijak pandai boleh mengeluarkan kenyataan yang salah seperti di atas, siapakah yang perlu dipersalahkan apabila adat kita mati ditelan zaman?”

Nizha Periaswamy:
“Pada pandangan saya pula, saya akui kenyataan dia tetapi bukan 100 peratus benar. Ada kawan-kawan dari SK yang tidak tahu siapa Barathi, Thiruvalluvar atau Avvai; manakala ramai seperti saya yang mengenali mereka. Ia tidak kena-mengena dengan tempat belajar tetapi ia berkaitan pendedahan yang diberikan oleh ibu bapa, masyarakat dan unsur lain, misalnya filem Tamil. Ramai yang mengenali budaya, adat dan tokoh India melalui filem ... (kelakar tetapi benar). Saya pula, produk SK tetapi saya percaya saya punyai semua kualiti yang disebut kononnya tidak dimiliki pelajar SK. Malah, terdapat juga pelajar sekolah Tamil di luar sana yang tidak tahu adab dan budaya. Jadi ini bukanlah isu SK atau SRJKT. Ini isu ‘keibubapaan’ dan ‘kemasyarakatan’.”

Anuradha Chelliah:
“Saya seorang guru di SK. Dengan adanya sokongan daripada ibu bapa/penjaga murid kaum India serta sokongan daripada guru besar, sekolah saya telah menganjurkan Karnival Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan Peringkat Negeri Selangor (9 April 2016). Ini membuktikan bahawa murid-murid India di SK juga tahu akan kebudayaan mereka dan mampu menonjolkan bakat mereka dalam bidang bercerita, melukis kolem, menari tarian tradisional dan melakonkan watak-watak seperti Avvaiyar dan Barathiyar. Ini membuktikan bahawa murid-murid India di SK juga menguasai Bahasa Tamil, malah mampu menonjolkan bakat mereka dalam kebudayaan Tamil/India. Apa yang penting di sini adalah peranan ibu bapa dan masyarakat.”

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!