6 Jan 2013

Plagiat

Filem The Words (2012) adalah mengenai apa yang terkandung di dalam dan di luar sebuah novel berjudul The Words. Bagaimanapun novel berkenaan tiada apa-apa kaitan dengan autobiografi Jean-Paul Sartre berjudul Les Mots (1963), di mana judul itu bermakna “the words” dalam Bahasa Perancis.
 
Seorang pemuda (lakonan Ben Barnes) yang baru kematian anak dan baru ditinggalkan isteri mula menulis – menaip menggunakan mesin taip – kisah-kisah berdasarkan pengalamannya. Manuskrip itu kemudian hilang apabila tertinggal di dalam kereta api yang dinaiki isterinya.
 
Lebih 50 tahun kemudian, manuskrip berkenaan ditemui seorang penulis muda (lakonan Bradley Cooper) yang menaipnya semula bulat-bulat – menggunakan komputer riba – untuk diterbitkan. Lalu, penulis asal (yang kini sudah tua; lakonan Jeremy Irons) datang untuk memberitahu bahawa kisah dalam buku itu adalah apa yang ditulisnya.
 
Kisah itulah yang secara amnya disajikan menerusi novel berjudul The Words karya seorang pengarang terkenal (lakonan Dennis Quaid) dalam filem berjudul The Words yang ditulis serta diarahkan oleh Brian Klugman dan Lee Sternthal.
 
Apabila menonton filem berkenaan pada 4 Januari 2013, saya segera teringat akan insiden makalah saya mengenai Kathakali (Dewan Siswa, Oktober 1995) yang turut saya paparkan di laman sesawang diplagiat seorang individu menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya (Februari 2012).
 
Pengalaman plagiat itu turut saya gunakan untuk menghasilkan cerpen “Ingin Jadi Sasterawan” (Fokus SPM, Julai 2012) dan “Penulis dari Pulau Cinta” (Tunas Cipta, Oktober 2012).
 
Individu yang memplagiat makalah Kathakali itu disenarai hitamkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi surat bertarikh 1 Mac 2012. Akan tetapi, mungkinkah penulis muda dalam filem The Words yang mencuri manuskrip orang lain terlepas daripada hukuman? Bacalah ulasan penuh dalam Kumpulan Esei 2024.