6 Dec 2012

Muran - Bertentangan

Filem Tamil Muran (2011) lakonan Cheran dan Prasanna ternyata sebuah filem yang mendebarkan. Saya berpeluang menontonnya pada 4 Disember 2012 dan tertarik pada unsur-unsur twist, pencerita yang tidak boleh dipercayai, kejutan, imbas muka dan suspens yang ditampilkan. Ada beberapa babak yang kelihatan sekadar tempelan pada mulanya tetapi kemudian mula membawa “makna” pada cerita. Rajjan Madhav yang menulis dan mengarah filem ini ternyata mendapat inspirasi dan pengarah daripada filem Strangers on a Train (1951) arahan Alfred Hitchcock. Filem klasik itu sendiri adalah adaptasi daripada novel Strangers on a Train (1950) tulisan Patricia Highsmith. Namun, terdapat banyak perbezaan plot, perwatakan dan gaya penceritaan antara ketiga-tiganya. Novel berkenaan juga pernah dijadikan drama pentas dan drama radio serta menjadi inspirasi bagi beberapa filem dan siri televisyen di beberapa negara. Filem Telegu Visakha Express (2008) serta filem Hindi Strangers (2007) dan Soch (2002) juga mendapat pengaruh kuat daripada Strangers on a Train.