Hari berganti hari dan minggu berganti
minggu. Kavitha belajar di sebuah kolej swasta sambil bekerja di sebuah
syarikat. Dia belajar kursus perakaunan. Kerjanya juga dalam bidang yang sama.
Jadi, Kavitha dapat menggunakan apa yang
dipelajari di kolej untuk meningkatkan mutu kerja. Pengalaman bekerja pula
memudahkan dia memahami apa yang dipelajari di kolej.
“Gaji dah keluar,” kata
Deepamalar sambil menghampiri meja di mana Kavitha duduk membuat kerja.
Wajah Kavitha berseri. Senyuman terukir
pada bibirnya. Tidak disedarinya masa berlalu begitu cepat. Terasa seperti baru
minggu lalu dia mula bekerja. Kini sudah cukup sebulan.
“Wah! Gembiranya kawan kita,” tegur Preeya
yang juga bekerja di syarikat yang sama.
“Mestilah, sebab kawan kita ni akan terima
gaji sulung. Tentu dia ada macam-macam rancangan,” kata Deepamalar pula.
Memang kata-kata Deepa ada kebenaran.
Kavitha ada bermacam-macam rancangan bagi wang yang diterima sebagai gaji
sulung.
Kalau boleh, dia mahu membelikan pelbagai
hadiah untuk emak dan adik-adiknya. Kalau boleh, dia mahu membawa keluarganya
bersiar-siar seluruh Kuala Lumpur dan makan makanan yang paling mahal.
“Ah! Aku mesti tidak terlalu
berangan-angan,” fikir Kavitha dalam diri. “Aku mesti bijak membelanjakan gaji
sulung ini. Aku mesti bayar yuran kolej. Bakinya, aku mesti buat belanjawan yang
bijak.”
Petang itu, apabila sampai di rumah,
Kavitha menghulurkan sampul berisi wang gaji kepada ibunya. Chellam terharu
menerima sampul itu. Air mata mula mengalir.
“Terasa seperti baru semalam kau masih
seorang kanak-kanak. Tapi hari ini kau sudah bekerja dan memperoleh gaji
sulung,” Chellam bersuara sayu.
Kavitha segera sujud di kaki Chellam dan
memohon restu ibunya. Chellam segera meminta Kavitha berdiri.
“Semoga kau bahagia dan dipanjangkan umur,”
Chellam merestui anak sulungnya.
“Bagaimana pula dengan kami?” sampuk
Karpagam pula sambil turut sujud pada kaki ibunya.
“Ibu doakan supaya kamu semua hidup
bahagia,” kata Chellam sambil memandang Kavitha, Kogila, Kannama dan Karpagam.
“Ibu sangat kagum dengan semangat dan keyakinan diri yang kamu semua miliki.”
Mereka empat anak-beranak berpelukan.
Sejurus selepas itu, mata Kavitha liar memandang keliling ruang tamu.
“Apa yang kakak cari tu?” tanya Kannama.
“Kakak cari bapa, ya?” Kogila menduga.
Chellam menghela nafas dan menghembusnya
dengan penuh kecewa. – Bersambung ...
sehingga Bahagian 24.
(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan
kisah benar. Nama-nama watak ditukar atas pemintaan invividu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 24 Jun 2012.)