22 APRIL 2012 – Suara tangisan anak-anak membuatkan hati Chellam sayu. Dia tahu bahawa mereka
menangis kerana lapar.
Akan tetapi, apa yang boleh
dia buat? Mana ada duit untuk membeli beras dan barang makanan.
Sambil ditemani suara tangisan anak-anak,
Chellam terkenang akan masa silam.
Dia lahir dan membesar di estet.
Keluarganya susah. Kedua-dua ibu bapa bekerja di estet. Chellam juga terpaksa
bekerja keras untuk keluarga.
Namun, di hati siapa tidak ada cinta?
Chellam mula bercinta dengan seorang pemuda yang tinggal di estet yang sama.
Waktu bercinta sungguh indah. Chellam dan
Selvam lupa tentang segala masalah hidup. Mereka mahu hidup bahagia.
Akhirnya ibu bapa Chellam mendapat tahu
mengenai percintaannya. Mereka langsung tidak bersetuju Chellam bercinta dengan
Selvam.
“Jangan malukan nama keluarga. Awak sudah
pandai bercinta, ya? Berani awak rosakkan nama keluarga!” Tengking bapanya.
“Awak jangan lupa bahawa kita miskin. Jangan terikut-ikut dengan apa yang awak
tengok dalam filem.”
“Kalau terjadi apa-apa yang tak baik, siapa
akan malu?” Tanya emak pula.
Ibu bapa Chellam tidak membenarkan dia
bertemu Selvam. Mereka tidak suka Chellam berkahwin dengan Selvam. Akhirnya,
mereka berdua mengambil keputusan untuk kahwin lari.
Chellam termenung memikirkan pengalaman
itu. Semua itu berlaku lama dulu. Dia terikut-ikut perasaan cinta dan lari dari
rumah. Tetapi apa gunanya menyesal sekarang?
“Mak, saya sangat lapar,” kata anak
sulungnya, Kavita.
Chellam terharu. Dia boleh menahan lapar
tapi macam mana anak-anak kecil itu boleh tahan lapar? Namun, tiada apa-apa
yang boleh dia beri untuk mereka makan.
Suaminya, Selvam, memang tidak boleh
diharap. Dia memang tidak bertanggungjawab. Lelaki itu tidak kisah anak-anak
makan atau tidak.
Apabila memikirkan hal itu, Chellam mula
menangis. Dia terkenang semula akan kisah lama. Kisah selepas dia berkahwin
dengan Selvam.
Hanya selepas berkahwin, barulah Chellam
tahu perangai sebenar Selvam. Rupa-rupanya dia penagih dadah. Dia juga kaki botol.
Selvam selalu menghabiskan duit membeli dadah dan arak.
“Sejak bila attan ada tabiat buruk
ini?” Tanya Chellam dengan sangat hairan dan terkejut.
“Saya memang sudah lama ada tabiat ini.
Tapi apa awak kisah? Awak masih cintakan saya, bukan? Kita sudah pun kahwin.
Sekarang awak isteri saya. Awak jangan pandai tanya soalan pada saya. Saya
adalah suami awak!” Selvam memberi amaran.
Chellam hanya mampu menyesal memikirkan apa
yang berlaku. Dia tidak pernah menyangka suaminya seorang penagih dadah dan kaki
botol.
Nampaknya cinta adalah buta. Chellam
dilamun cinta dan dia tidak sedar akan segala tabiat buruk Selvam semasa mereka
hangat bercinta dahulu.
“Benar kata suami saya. Saya adalah
isterinya. Saya mesti berusaha menukar perangai buruknya itu,” kata Chellam
dalam diri.
Chellam mahu berusaha memulihkan suaminya.
Dia mahu Selvam menjadi seorang manusia yang berguna. – Bersambung
(Uthaya Sankar SB menulis cerita ini berdasarkan kisah benar. Nama-nama
watak ditukar atas permintaan individu terbabit. © Uthaya Sankar SB. Disiarkan di The Malaysian Insider pada 22 April 2012.)