[Mayat James Arivalahan
ditemui benar-benar di sempadan Kubur Gajah dan Selama.]
Revathi tidak segera membidas pendapat Malliga. Dia membiarkan
gadis bersari putih itu duduk semula di bangku kayu setelah terus
mengibar-ngibarkan hujung sarinya.
“Hidup akka belum berakhir,” kata gadis berpavade
itu setelah mengumpulkan tenaga bagi menahan kehibaan di hati melihat nasib
yang menimpa Malliga. “Akka terlalu muda untuk memakai sari putih.”
Malliga tidak mengendahkan kata-kata Revathi yang lebih merupakan
sebuah rayuan. Baginya, dia adalah sebagaimana yang dia ada sekarang. Dia tidak
menganggap dirinya terlalu muda untuk berpakaian sari putih.
Cuma dirasakannya apa yang menimpa diri Raja adalah tidak wajar.
Tidak adil. Jika Raja masih ada, tentu dia tidak akan berpakaian sari putih
seperti sekarang.
Jika Raja ada, tentu dia akan berusaha untuk membuktikan bahawa
dirinya tidak terlibat dalam peristiwa kehilangan berhala emas Kaali Devi
dari kuil Maha Kaali.
Menyedari bahawa Malliga memang tidak mahu dilarang memakai sari
putih, Revathi berusaha menukar topik perbualan. Jika boleh, dia memang mahu
berusaha memujuk Malliga agar kembali memakai pakaian berwarna-warni seperti
yang masih dipakainya tiga hari yang lalu.
Akan tetapi, Revathi akur juga pada pilihan Malliga. Kalaulah
ditakdirkan bahawa Ramani juga pergi, Revathi sendiri tentu bertindak seperti
mana tindakan Malliga sekarang. Itu pasti.
Entahlah jika tindakan ini dianggap keterlaluan, fikir Revathi.
Tapi aku faham dan sedar betapa Malliga Akka mencintai Raja Mama.
Revathi cuba mengalihkan fikirannya daripada memikirkan semua itu.
Malliga dilihatnya sudah kembali berdiri sambil membiarkan mundani sari
dimainkan angin. Revathi membiarkannya begitu sahaja.
Sementara itu, Revathi sendiri mula termenung memikirkan misteri
tindakan Madurai Kaala.
Semalam, James Arivalahan membawa
Madurai Kaala ke pertandingan laga lembu mingguan di Selama. Pada sebelah
petang, sewaktu panchayat sedang bersidang, Madurai Kaala dikatakan
datang berlari pulang. Tanduknya berlumuran darah. Lembu itu terus berlari
masuk ke kuil Maha Kaali. Para penduduk tergamam.
Kemudian, beberapa orang kampung pergi mencari James yang tidak
pulang-pulang. Kubur Gajah gempar dengan berita penemuan mayat James di
sempadan kampung. Mayatnya, menurut Gopu, ditemui benar-benar di sempadan Kubur
Gajah dan Selama. Terdapat bekas tanda tandukan di belakangnya. Mayatnya
ditemui dalam keadaan yang mengerikan.
Lalu panchayat bersidang semula pagi tadi sesudah mayat si
mati disempurnakan mengikut adat.
“Apa yang harus kita lakukan dengan Madurai Kaala? Nampaknya dia
sudah bertambah bengis; sehingga membunuh tuannya sendiri,” kata Sitambaram
yang sedih atas kehilangan salah seorang rakan karib.
“Kita tidak harus menyalahkan binatang yang malang itu,”
Senthamarei pula berkata sambil memandang para penduduk yang kelihatan lesu.
“Kita semua tahu betapa James suka menyeksa lembunya atas alasan mahu
menjadikannya lembu pelaga. Saya percaya anda semua tahu apa yang saya
maksudkan.”
Orang ramai kelihatan bercakap sesama sendiri sambil
mengangguk-angguk. Tapi masih ada juga wajah-wajah yang kelihatan cemas.
Mungkin mereka masih takut memikirkan kemungkinan Madurai Kaala akan mengamuk
semula pada bila-bila masa.
“Bagaimana dengan Madurai Kaala yang masuk ke kuil? Masakan kita
mahu membiarkannya di situ sahaja!” Salah seorang daripada penduduk yang
berwajah cemas tadi meluahkan kebimbangan dalam hati.
“Benar kata saudara.” Senthamarei menoleh ke arah si ayyer
yang selalu membuat pooja di kuil. “Adakah lembu itu menimbulkan apa-apa
masalah sejak petang semalam?”
“Tak ada, sami. Lembu itu tidak mengganggu sesiapa pun. Madurai
Kaala hanya berkeliaran di keliling kuil … seperti seekor anjing mengawal rumah
tuannya.”
“Hm, begitu?” Ketua kampung bertanya dengan sedikit rasa hairan,
tertarik dan takjub.
“Benar kata-kata si ayyer,” sampuk Rengasamy. “Madurai
Kaala tidak mengganggu orang ramai yang berulang alik ke kuil dan melakukan
ibadat di sana. Malah, lembu itu tidak kelihatan bengis langsung.”
“Cuma, apabila beberapa pemuda cuba menghalaunya keluar dari kuil
pagi tadi, lembu itu menampakkan wajah cengil dan bengis. Pada waktu-waktu
lain, Madurai Kaala kelihatan jinak. Pun begitu, tentulah kami tidak berani
menghampirinya,” sambung Ganesan.
Beberapa orang penduduk yang menyetujui pendapat Rengasamy dan
Ganesan kelihatan mengangguk. Kemudian, seluruh penduduk kampung menantikan
keputusan panchayat. Bagi mereka, keputusan panchayat adalah
keputusan muktamad. Apa pun keputusan ketua kampung, itulah keputusan mereka.
Dalam hal Madurai Kaala, penduduk Kubur Gajah membiarkan ketua
kampung membuat keputusan yang terbaik. Sudah menjadi tabiat, malah amalan tradisi
mereka, untuk menerima sahaja keputusan panchayat tanpa bantahan;
walaupun mungkin ada sedikit rungutan dan keluhan tanda bantahan secara senyap.
“Kalau begitu, kita akan membiarkan sahaja Madurai Kaala tinggal
di kuil Maha Kaali. Lagi pun, tentu tiada siapa pun yang sanggup membawanya
pulang!”
Orang ramai mengangguk lagi. Entah kerana benar-benar bersetuju
dengan keputusan panchayat atau kerana tidak sanggup melawan keputusan
Senthamarei selaku ketua kampung dan ketua panchayat. Tidak dapat
dipastikan kerana hendak dikatakan semua orang bersetuju, masih ada beberapa
penduduk yang merungut sendirian sambil mengangguk.
“Madurai Kaala hanya membalas kekejaman tuannya. Saya sendiri
banyak kali menasihati James supaya menghentikan tabiat menyeksa lembunya. Tapi
nasihat saya – mahupun nasihat sesiapa antara kita – tidak pernah dia terima.
Jadi, dia menerima balasan daripada lembu yang teraniaya itu sendiri.”
Penduduk Kubur Gajah yang berkumpul di tapak panchayat mengiakan
kata-kata ketua panchayat. – Bersambung minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 7
Ogos 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 9 Jun 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat
lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk
membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)