[Mungkinkah Ramani sanggup melakukan apa sahaja untuk melindungi
abangnya?]
“Ya. Kita semua tahu betapa Ramani menyayangi abangnya,” wanita
tersebut memberikan hujahnya. “Jadi, apabila Ramani mendapati abangnya telah
mencuri berhala Kaali Devi, dia mungkin tidak sanggup mendedahkan
perbuatan abangnya di panchayat. Sebab itulah dia berpura-pura mencari
Raja yang kononnya hilang. Dia berpura-pura tidak tahu di mana abangnya
berada.”
“Maksud awak,” Navaneethan sendiri bertanya dengan suara berisi
kemusykilan, “Ramani sebenarnya tidak terlibat dalam rancangan Raja, tetapi dia
telah bertindak melindungi abangnya setelah berhala Kaali Devi dicuri. Begitu?”
“Ya, begitulah lebih kurang.”
Orang ramai bersok-sek, sok-sek, sok-sek lagi. Ketua panchayat
terus juga membisu sambil tekun menangkap kata-kata orang ramai yang
bercampur-aduk.
Sesekali perasaan marah timbul dalam dirinya; memintanya mengarahkan
orang ramai supaya berhenti memperkatakan perihal diri Raja. Tapi segera pula
dia sedar bahawa kini dia juga sebahagian daripada punca segala tuduhan liar
itu.
Dialah sebagai ketua panchayat yang telah memutuskan Raja
sebagai pencuri. Kini mustahil baginya sendiri untuk menghalang para penduduk
daripada membuat spekulasi berhubung misteri tindakan Raja mencuri dan
menyembunyikan berhala emas Kaali Devi.
“Awak semua tahu?” Navaneethan kedengaran meneruskan
penceritaannya. “Hari itu, hari Ahad, semasa panchayat berkumpul untuk
membincangkan hal berhubung kehilangan berhala itu, saya tidak datang, bukan?”
Dia berhenti sebentar. Balbik Singh, Father Francis, Haji Ramli
dan seluruh penduduk Kubur Gajah yang hadir merenung Navaneethan; selaku
memintanya meneruskan penceritaannya.
“Ya,” kata seseorang apabila mendapati Navaneethan sedang
memandang ke arah mereka semua seperti mengharapkan jawapan bagi pertanyaannya.
“Hm! Saya berada di kedai runcit saya. Kemudian Ramani datang. Dia
kelihatan sungguh pucat,” Navaneethan meneruskan ceritanya sambil melayarkan
pandangannya ke arah orang ramai di bawah pohon banyan.
Senthamarei turut mendengar dengan penuh teliti.
“Apabila saya bertanya kepadanya, dia kata, panchayat sudah
bersurai. Saya tanya lagi, ‘Bagaimana dengan abang awak? Sudahkah terbukti
bahawa dia tidak bersalah?’ Tetapi dia tidak menjawab. Dia terus membeli satu
botol besar racun rumpai. Saya pun hairan juga untuk apa dia tiba-tiba beli
racun itu. Apabila saya tanya, dia kata, ‘Saya nak hadiahkan kepada para
penduduk’ dan terus tergesa-gesa pergi.”
“Oh!”
“Lepas tu?” Tanya Senthamarei pula dengan penuh debar.
“Itu sahaja, sami. Ramani pergi meninggalkan saya. Keesokan
harinya, iaitu semalam, Raja didapati mati seperti yang sami sendiri tahu,”
lelaki bertubuh gempal dan berperut buncit itu menerangkan sambil membongkokkan
sedikit badannya sebagai tanda hormat.
“Jadi ….”
Ketua panchayat tidak meneruskan kata-katanya. Pelbagai
andaian baru mula bermain di dalam kotak fikirannya.
Mungkinkah Ramani yang membunuh abangnya? Demikian fikir
Senthamarei. Isy! Masakan Ramani sanggup berbuat sampai begitu sekali. Lagi
pun, tiada tanda-tanda bahawa Raja mati keracunan.
“Apa yang dia buat dengan racun rumpai tu?” Kedengaran suara
kebimbangan daripada sekumpulan wanita di sebelah kiri.
“Entahlah,” jawab Navaneethan. “Tidak mustahil bahawa dia mahu
meracuni kita semua!”
Suara sok-sek semakin hangat kedengaran dalam kalangan penduduk
Kubur Gajah yang berkumpul di tapak panchayat.
“Tangki air kita!” Jerit seseorang dengan cemas.
“Tangki air kita diracuni?”
Senthamarei berdiri mendepa tangan.
“Bertenang, semua. Bertenang! Jangan terlalu ikutkan perasaan.
Biar kita fikirkan soal ini secara mendalam.”
Perhatian orang kini beralih kepada ketua kampung. Namun begitu,
masih kedengaran suara-suara yang berbisik penuh bimbang.
“Menurut Navaneethan, Ramani membeli racun rumpai pada hari Ahad.
Kalaulah benar dia telah meracuni tangki air di kampung kita, masakan kita
semua masih hidup?”
Para penduduk diam sebentar.
“Tapi, sami,” Navaneethan memberikan pendapat. “Mengapa tidak
mustahil bahawa Ramani belum lagi meracuni tangki air itu? Jangan-jangan
sekarang ini pun dia dah pergi untuk melakukannya!”
Suasana gempar kembali melanda tapak panchayat.
Masing-masing melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan ada kebenaran pada
pendapat yang Navaneethan kemukakan.
Pada saat kemuncak itulah Sitambaram dan tiga lagi lelaki datang
semula. Kim Seng memegang botol racun rumpai!
“Kami jumpa ini di rumah Ramani,” kata Sitambaram sambil mengambil
botol berkenaan dari tangan Kim Seng dan menghulurkannya kepada Senthamarei.
Ketua panchayat mencapai botol berkenaan dan melihatnya
dengan penuh teliti.
“Navaneethan, inikah racun rumpai yang Ramani beli di kedai awak
pada sebelah tengah hari kelmarin?”
Pekedai runcit itu menghampiri Senthamarei lalu meneliti botol
yang dihulurkan kepadanya.
“Ya, sami. Memang sah inilah jenama yang dia beli.”
“Hmm ….” Ketua kampung melepaskan nafas lega. “Jika benarlah
begitu, kita tak perlu bimbang tentang kemungkinan tangki air kampung kita
diracuni. Cuba tengok penutup botol ini betul-betul. Belum dibuka langsung.”
Senthamarei menayangkan botol berisi racun rumpai ke arah para
penduduk. Baru kini lega sedikit hati mereka. Apabila sudah meyakinkan orang
ramai tentang keselamatan air di dalam tangki di kampung mereka, ketua kampung
kembali memandang keempat-empat lelaki yang pergi menggeledah rumah Ramani
sebentar tadi.
“Berhala Kaali Devi?”
Pertanyaan Senthamarei sekali gus membuatkan para penduduk Kubur
Gajah turut tertanya-tanya soalan yang sama. – Bersambung
minggu depan
(© Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada
30 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 19 Mei 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut.
Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat:
Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT
dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)