Saya percaya bahawa bukan penerbit, pengarah dan penulis skrip yang bersalah sepenuhnya dalam hal ini. Pasti ada “punca” lain yang membawa kepadanya.
Baru-baru ini, saya berpeluang berbual-bual bersama Vasantha Kumaran @ Vassan, seorang pereka tari, pelakon, penyanyi, penulis skrip dan pengarah filem yang berasal dari Banting dan kini tinggal di Cheras.
Saya tetarik untuk mendapatkan maklumat filem “Thandhava” yang sudah pun diliputi pelbagai kontroversi sebelum ditayangkan di pawagam.
“Saya memulakan projek ini pada 2009 dengan menulis lima cerita yang berasingan dan mampu berdiri sendiri. Kemudian, aspek utama kelima-lima cerita tadi digabungkan menjadi sebuah filem,” katanya.
Kisah-kisah yang dimaksudkan adalah mengenai seorang anggota polis yang mahu bersikap amanah, seorang profesor yang bercita-cita tinggi, seorang abang yang mahu adiknya belajar tinggi serta seorang pemuda yang mencintai si adik tadi.
Satu lagi kisah yang ditampilkan berkaitan kumpulan kongsi gelap atau gangster yang sanggup merompak bank, mencuri dan menculik.
Dari situlah Vassan mula menjawab persoalan-persoalan seperti “mengapa”, “apa puncanya” dan “apa akibatnya” daripada kisah lima kumpulan/individu yang disebutkan tadi.
“Akhirnya, skrip yang terhasil adalah kisah yang pasti dekat dengan hati semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar pendidikan, profesion dan status sosial.
“Malah, pengakhiran cerita yang tergantung akan memberi sepenuh ruang kepada penonton untuk merenung ke dalam diri untuk memutuskan apa yang sepatutnya berlaku selepas itu – dalam filem dan juga dalam kehidupan mereka sendiri,” pemuda itu menghuraikan.
Pembikinan filem itu tidak melibatkan kos tinggi. Vassan bersama-sama Ravi Maraz dari D’Cinema selaku penerbit ternyata mahu menghasilkan “Thandhava” sebagai sebuah filem dengan kos rendah.
Hampir semua pihak yang terbabit dalam pembikinan filem ini terlibat secara langsung dan menyeluruh. Malah, kebanyakan mereka adalah rakan-rakan artis yang sedia memberi kerjasama padu bagi menjayakan usaha menghasilkan filem independent.
Vassan mengakui bahawa beliau tidak menghadapi masalah kerana rakan-rakan pelakon memang mengenalinya dan mereka tahu apa yang beliau mahu zahirkan menerusi filem “Thandhava”.
Filem ini bersifat agak sederhana kerana tidak menampilkan artis hebat. Hal ini tentu disengajakan kerana apa yang dipentingkan adalah cerita dan bukannya nilai komersial yang boleh dibawakan oleh pelakon ternama.
Penggambaran filem “Thandhava” selesai pada Januari 2010. Maka bermula pula tugas serta cabaran menggubah muzik latar yang sesuai.
“Pelancaran cakera padat yang memuatkan lagu dan muzik berlangsung pada 1 September 2010. Manakala majlis pelancaran rasmi filem ‘Thandhava’ disempurnakan oleh aktivis masyarakat, Puan Rathnavalli pada 28 September lalu,” Vassan mengimbau semasa kami berbual di Brickfields pada 23 Oktober lalu.
Usaha melahirkan “Thandhava” juga nampaknya menghadapi pelbagai rintangan dan halangan. Misalnya, selepas Rathnavalli bersetuju untuk hadir melancarkan filem berkenaan, khabarnya ada beberapa pihak yang menghubungi wanita itu dan “menasihatkan” agar menarik diri!
Hasil perbualan bersama Vassan, saya mendapat gambaran bahawa apabila filem ini ditayangkan nanti, mungkin ada penonton yang tidak memahami cerita yang dipaparkan.
Hal ini adalah kerana “Thandhava” cuba lari daripada teknik konvensional berciri “memberitahu” (telling) dan banyak “menunjukkan” (showing) serta “mencadangkan” (suggesting).
Pemilihan judul “Thandhava” juga penuh dengan kesamaran yang disengajakan. Terpulanglah kepada khalayak sama ada mahu menginterpretasi “thandhava” sebagai tarian kosmik yang dikaitkan dengan Dewa Shiva, simbolik terhadap kecelaruan hidup manusia pada akhir zaman atau sebagai saranan mengatasi rintangan dalam hidup seharian.
Apabila menonton sedutan filem ini yang terdapat di YouTube dan Facebook, saya masih melihat kehadiran unsur “Shiva Thandhava” yang sangat berkait rapat dengan purana, epik dan budaya India-Hindu.
Misalnya, berkaitan dengan hukum karma di mana seseorang akan menerima balasan dengan pelbagai cara. Konsep pembalasan semasa kehidupan ini atau selepas kematian. Semua ini berkait rapat dengan pandangan dunia (worldview) kaum India beragama Hindu.
Mungkin ada pihak yang berpandangan sebaliknya atau mempunyai interpretasi lain. Tidak salah kerana filem “Thandhava” serta segala yang dipaparkan di dalamnya memang terbuka kepada tafsiran masing-masing.
Dari segi penggambaran dan sudut kamera, krew sengaja melakukan pelbagai pembaharuan dan eksperimen. Penonton seolah-olah melihat kejadian yang berlaku dari pelbagai sudut yang berbeza.
Malah, Vassan mengaku bahawa harapannya adalah agar khalayak mengulang tonton filem itu bagi mengesan perkara yang mereka ‘tidak nampak’ pada kali pertama. Setiap kali menonton, khalayak diharap mendapat pengalaman dan maklumat yang berbeza.
Tentulah usaha melakukan eksperimen dalam filem “Thandhava” bukan suatu usaha besar-besaran atau sesuatu yang belum pernah dilakukan dalam industri filem Hollywood dan Bollywood.
Namun, sekurang-kurangnya Vassan berani lari daripada amalan dan trend konvensional arena perfileman tempatan dan cuba melakukan kelainan.
Memanglah beliau bukan satu-satunya individu yang berani melakukannya.
Keberanian melakukan pembaharuan dan perubahan berciri eksperimental juga saya perhatikan dalam filem-filem pendek yang dihasilkan Shanjhey Kumar Perumal dan rakan-rakannya yang ternyata amat berbakat dan berani.
“Filem ini bukan sebuah filem komersial yang dipenuhi lagu, adegan bercinta dan pergaduhan si hero demi menyelamatkan kekasihnya. Babak komedi slapstik juga ditiadakan.
“Sebaliknya filem ‘Thandhava’ menyajikan apa yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini. Saya pasti bahawa penonton akan dapat mengaitkan diri serta pengalaman masing-masing dengan apa yang bakal ditonton di layar perak,” kata pemuda itu.
Filem “Thandhava” juga penuh dengan lompang atau ruang kosong yang mengundang dua kemungkinan: Satu, memberi ruang interpretasi kepada khalayak. Dua, taktik yang disengajakan untuk mengelakkan “gunting” Lembaga Penapisan Filem Negara Malaysia.
Vassan mengakui perkara ini. Katanya, ada beberapa adegan yang pasti akan dipotong lembaga penapisan sekiranya dipaparkan dalam filem.
“Saya tidak menunjukkan apa yang berlaku tetapi membuka ruang seluas-luasnya kepada penonton untuk memikirkan sendiri kemungkinan apa yang telah berlaku,” katanya.
Maka, amat jelas bahawa Vassan terpaksa membuat beberapa keputusan secara penuh sedar dalam proses pembikinan filem ini bagi memastikan “Thandhava” tidak menjadi “mangsa” lembaga penapisan filem.
Namun begitu, nampaknya masih ada lapan adegan yang dipotong sebelum diluluskan untuk tayangan. Vassan mengakui bahawa jalan cerita mungkin agak bercelaru apabila lapan adegan penting itu dibuang.
“Terus-terang, saya tidak faham mengapa hal ini berlaku; tetapi saya terpaksa akur pada keputusan. Di sisi lain, saya banyak menonton filem Melayu tempatan dan menjadikannya sebagai panduan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,” katanya.
Ternyata apa yang dibolehkan dalam filem Melayu bagi penonton Melayu tempatan tidak semestinya dibolehkan dalam filem Tamil tempatan bagi penonton kaum India di Malaysia.
Malah, pelbagai kelonggaran yang diberi terhadap unsur-unsur ganas dalam filem Hindi dan Tamil dari India tidak bermakna perkara sama dibolehkan dalam filem Tamil tempatan.
Maka, penerbit, pengarah dan penulis skrip terpaksa melakukan apa yang termampu dalam segala keterbatasan dan kekangan yang wujud secara amat nyata.
Antara persoalan yang disampaikan secara tersirat menerusi filem “Thandhava” adalah berkaitan isu siapa yang membawa kemusnahan dalam hidup manusia.
Berbalik pada konsep “thandhava”, adakah ia akan dilakukan Dewa Shiva menerusi tarian kosmik atau alam sendiri akan menguruskannya sebagai membalas kerakusan serta tindak-tanduk manusia?
“Saya tidak mahu tampil sebagai penulis skrip atau pengarah yang mahu mengajar atau memberi pendidikan moral kepada penonton menerusi filem,” kata Vassan.
Tentu kita perlu menghormati sepenuhnya tahap pemikiran masyarakat dan membiarkan mereka membuat interpretasi sendiri apabila keluar dari panggung nanti.
(Filem “Thandhava” akan ditayangkan di pawagam bermula 23 November 2011. Artikel ini disiarkan di Free Malaysia Today pada 31 Oktober 2011 berdasarkan perbualan Uthaya Sankar SB bersama Vassan di Brickfields pada 23 Oktober 2011. Catatan terbaru: Vassan memberitahu saya menerusi telefon pada jam 9:00 pagi, 27 November 2011 bahawa filem "Thandava" masih belum diluluskan oleh Finas untuk tayangan. Malah, katanya, sedang disiasat/ditonton pegawai dari Bukit Aman berikutan laporan oleh pihak tertentu terhadap kandungan filem berkenaan.)