17 Mar 2011

Kami Berundur dari Panel Bebas



“Pendirian Dr N. S. Rajendran, G. Krishnabahawan dan Uthaya Sankar SB adalah bahawa sekiranya segala perkara yang menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kesalahan bahasa dan kesalahan fakta dalam novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) tidak “dimurnikan” (disunting) seperti dicadangkan, maka novel berkenaan perlu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) kerana melanggar syarat dan kriteria pemilihan buku teks sekolah sebagaimana ditetapkan Kementerian Pelajaran Malaysia.”


Kenyataan di atas sudah jelas dinyatakan bersama-sama cadangan lebih 100 pindaan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga wakil kaum India yang dilantik menyertai Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid. (Hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan salinan senarai itu atau sila KLIK DI SINI.)


Hasil mesyuarat ketiga pada 4 Mac 2011, Panel Bebas membuat dan mengemukakan perakuan secara konsensus kepada Menteri Pelajaran bahawa pindaan perlu dibuat pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif kepada semua kaum, bukan terhad kepada kaum India sahaja.


Bagaimanapun, pada 16 Mac 2011 selepas perjumpaan/pertemuan dengan Menteri Pelajaran di Aras Tiga, Bangunan Parlimen, beberapa anggota Panel Bebas mula mengemukakan bantahan dan menolak cadangan pemurnian (pindaan) yang dikemukakan wakil kaum India walaupun senarai itu sebenarnya sudah diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011.


Apa yang menarik perhatian, segala bantahan dan perbuatan menolak cadangan pemurnian itu dilakukan anggota tertentu selepas Panel Bebas yang bertemu Menteri Pelajaran secara sebulat suara bersetuju bahawa frasa “kasta Paria” wajib digugurkan daripada novel Interlok edisi murid.


(Menteri Pelajaran meninggalkan perjumpaan atas urusan lain dan mesyuarat dipengerusikan salah seorang anggota Panel Bebas kerana Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin berada di luar negara.)


Wakil kaum India kemudian diminta supaya “berkompromi” dan mengurangkan jumlah perkara menyentuh sensitiviti kaum India yang perlu dipinda dalam novel Interlok edisi murid.


Buat permulaan, segala kesalahan bahasa yang nyata dan kesalahan fakta yang nyata tidak mahu lagi diambil kira bagi tujuan pindaan!


Atas dasar bertolak-ansur, ketiga-tiga wakil kaum India mengadakan perbincangan dan berusaha mengurangkan senarai kepada sejumlah perkara yang paling menyentuh sensitiviti.


Namun, setiap cadangan yang dikemukakan dibantah dan ditolak mentah-mentah oleh beberapa anggota panel dengan alasan “tidak menyentuh sensitiviti” dan “jangan ungkit kesalahan fakta”.


Misalnya, apabila dinyatakan bahawa peribahasa Tamil “Varuntinal varataku illai” pada halaman 209 adalah salah, beberapa anggota panel menolak dengan alasan ia hanya “kesalahan fakta” dan “tidak menyentuh sensitiviti kaum India”.


(Aneh! Siapa sebenarnya wakil kaum India? Kami bertiga juga sudah menjelaskan bahawa segala cadangan yang dikemukakan bukan mewakili diri kami tetapi mewakili kaum India di Malaysia.)


Begitu juga apabila dikatakan bahawa “T” huruf besar perlu digunakan pada “Tuhan”; apatah lagi dalam edisi asal novel Interlok dieja demikian. Beberapa panel menolak dengan alasan ia bercanggah dengan Islam!


Malah, salah seorang anggota panel membuat kenyataan bahawa beliau menolak kesemua cadangan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India; walaupun ia sudah diperakukan Panel Bebas pada 4 Mac 2011 sebelum dikemukakan kepada Menteri Pelajaran.


Ada juga anggota panel yang mengatakan bahawa persetujuan bersama untuk menggugurkan frasa “kasta Paria” sudah memadai dan pindaan lain tidak perlu dilakukan.


Selepas terus diasak, ketiga-tiga wakil kaum India mengadakan perbincangan dan sebulat suara memutuskan untuk berundur daripada Panel Bebas. Keputusan kami bertiga adalah berpegang teguh pada perakuan secara konsensus seperti dipersetujui Panel Bebas pada 4 Mac 2011. Kami tidak pernah membenarkan atau mengizinkan hanya frasa “kasta Paria” diubah dalam novel Interlok edisi murid.


Kami bertiga dilantik mewakili kaum India dan tugas utama kami adalah “bersuara” mewakili kaum India berhubung perkara-perkara yang sensitif dan menyentuh sensitiviti kaum dalam novel Interlok edisi murid. Malangnya, pada 16 Mac 2011, “agenda” yang lain pula berlaku.


Maka, demi maruah kaum India di Malaysia, kami bertiga berundur dari Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok Edisi Murid yang mengadakan perjumpaan pada 16 Mac 2011.


Kata-kata yang saya ucapkan mewakili kami bertiga:


“Dr Lim (Swee Tin), kami bertiga telah berbincang dan mengambil keputusan bahawa segala keputusan yang kita (Panel Bebas) capai pada mesyuarat yang ketiga lalu (4 Mac 2011), itulah keputusan kami. Pada perjumpaan hari ini, kami telah cuba berkompromi sebanyak mungkin tetapi nampaknya ia tidak membawa kepada apa-apa jalan penyelesaian yang diharapkan. Dengan itu kami tetap dengan pendirian kami untuk berundur daripada panel ini. Kami minta maaf kerana kami terpaksa membuat keputusan itu.”


NOTA: Baca juga catatan lebih terperinci DI SINI. Sila KLIK DI SINI untuk koleksi bahan berhubung kontroversi Interlok Edisi Murid.