29 Jan 2011

Wacana Interlok (Bahagian 3)

Catatan ini adalah sambungan kepada Bahagian 2.
.

Panel keempat yang berhujah pada sesi Wacana Interlok pada 26 Januari 2011 di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM) adalah Prof Datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha I Gapena dan diperkenalkan oleh pemudah cara, Mohamed Nasser Mohamed, sebagai “memperjuangkan budaya Melayu”.

.

Antara lain, Datuk Zainal berkata, novel Interlok adalah produk zaman dan karya yang ada sekarang bukan hasil tahun 2010, tetapi lebih 40 tahun lalu. Realiti sejarah difiksikan, katanya.

.

Secara mudah, apa yang dihujahkan hanyalah setakat untuk berkata: “matlamat menghalalkan cara” iaitu skrip yang sudah terlalu banyak kali diperdengarkan pada majlis ilmu ini menggunakan perkataan dan frasa yang berbeza.

.

Datuk Zainal juga mendedahkan maklumat penting kepada hadirin bahawa semasa suatu dialog antara NGO Melayu dan MIC baru-baru ini (mungkinkah pada 18 Januari 2011 di Putrajaya?), wakil kaum India (MIC, kata beliau, mungkin kerana bagi beliau, MIC = kaum India) “tidak dapat mematahkan hujah-hujah yang kami kemukakan”. [BACA DI SINI]

.

Maknanya, hanya dengan kepintaran berhujah, Gapena dan NGO Melayu cuba menegakkan benang yang basah! Tidak hairanlah sebaik sahaja menyedari Presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), Uthaya Sankar SB (saya) hadir untuk berhujah mewakili Pemuda MIC pada Wacana Interlok, banyak muka yang sedia “tidak kacak” bertukar hodoh!

.

Pada masa sama, timbul pula persoalan, sejak bila pula Gapena, Pena, Kemudi, Kalam dan segala macam persatuan penulis bertukar menjadi “Persatuan Penulis Kaum Melayu”? Ternyata mereka yang sebelum ini tersalah naik kapal, kini ternyata mula semakin menunjukkan sikap perkauman ekstrim.

.

Apapun, saya adalah ahli seumur hidup Pena dan Kalam. Kita nantikan jika ada pindaan pada Perlembagaan Pertubuhan yang “membolehkan” keahlian saya dilucutkan dengan alasan saya bukan Melayu-Islam. Namun, saya tetap yakin bahawa persatuan-persatuan berkenaan masih waras. Masih.

.

Berbalik kepada hujah Datuk zainal, beliau juga ternyata amat suka bercakap mengenai paria dan kasta-kasta di negara India. Ternyata ada kumpulan yang begitu cinta pada segala yang “paria” dan saya tidak tahu mengapa. Apa yang pasti, mengikut fakta, “paria” merujuk kepada kelompok manusia hina yang makan daging lembu. Itu adalah fakta yang sering kali terlupa disebut-sebut oleh kelompok yang memperjuangkan istilah “paria”.

.

Beliau juga meneruskan penyampaian “skrip” lama dengan bertanya mengapa “paria”, “kasta” dan sebagainya perlu digugurkan kerana semua itu adalah “fakta”. Memang susah apabila kita berkomunikasi dengan orang yang sama ada kurang pintar atau berpura-pura kurang pintar. Lebih baik bercakap dengan kayu dan batu.

.

Kavyan sudah membuktikan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa karya asal (Hak Cipta 1971) Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sudah pun diubah, ditukar, dicantas, disunting, ditokok, ditambah dalam edisi murid (Hak Cipta DBP 2010).

.

Mungkin pihak tertentu tidak “nampak” atau memilih untuk “tidak nampak” kerana bahagian-bahagian yang digugurkan itu sebenarnya mendedahkan pelbagai perkara sebenar (sejarah, fakta) yang menjijikkan mengenai kaum tertentu. Sebaliknya, gambaran mengenai “kasta” dan “paria” pula terus dipertahankan hingga titis darah terakhir kerana ... Allahu-Alam!

.

Peliknya, dalam sesi Wacana Interlok, Datuk Zainal mengakui bahawa Interlok edisi murid (2010) memang sudah dimurnikan iaitu sudah mengalami perubahan berbanding karya asal Pak Lah. Ironinya, Gapena dan sekutunya mahu terus mempertahankan karya asal Pak Lah dan edisi murid! Mahu naik dua kapal sekali gus?

.

Semasa menghadiri Wacana Interlok, saya berpeluang membeli Interlok edisi pelajar (2005). Apa yang menarik dan memeranjatkan, Hak Cipta karya itu tercatat “Abdullah Hussain 2005” dan edisi itu sudah pun mengalami perubahan ketara berbanding karya asal (Hak Cipta Abdullah Hussain 1971). Maknanya, Pak Lah sudah pun “membenarkan” karya beliau “dicantas”! [Baca juga hipotesis saya berhubung perkara ini DI SINI]

.

Lalu, tidak timbul soal “tidak membenarkan walau sepatah kata diubah” sama ada dengan izin Pak Lah atau tanpa izin Pak Lah berdasarkan hakikat edisi pelajar (Hak Cipta Pak Lah 2005 ) dan edisi murid (Hak Cipta DBP 2010). Namun, tidak saya nyatakan pada Wacana Interlok kerana tidak mahu mengheret Pak Lah masuk ke dalam kancah kontroversi.

.

Pelbagai hujah lain berkaitan “paria” dan “kasta” yang dilontarkan secara penuh ilmiah – termasuk perbezaan antara “Paria” (kata nama khas) dan “paria” (kata nama am) – tidak perlulah saya catatkan di sini kerana terlalu melucukan, dangkal dan tidak mengembangkan minda manusia bertamadun.

.

Biarlah segala “fakta” dan “sejarah” berkaitan kasta dan paria di India kekal menjadi cinta “sejati” bagi golongan tertentu yang entah mengapa begitu mengagung-agungkan dan memberahikannya! (Misteri Nusantara?)

.

Saya akan cuba menulis catatan ringkas mengenai rumusan setiap ahli panel Wacana Interlok, esok.