30 Jan 2011

Wacana Interlok (Bahagian 4)

Catatan ini adalah sambungan daripada Bahagian 3.
.

Pada bahagian rumusan Wacana Interlok di Rumah Universiti, Universiti Malaya (UM) pada petang 26 Januari 2011, pelbagai hujah yang dangkal dan basi terus dikemukakan untuk menegakkan benang yang basah. Ya, itulah yang sebenarnya berlaku.

.

Datuk Zainal Abidin Borhan (Gapena), Cikgu Ghalib Yunos (guru cemerlang) dan Datuk Haji Mohamad Ali Hasan (PIBGN) ternyata hadir dengan andaian bahawa sejarah akan berulang seperti pada 18 Januari 2011 di Putrajaya, di mana, seperti diakui sendiri oleh Datuk Zainal, “segala hujah yang dikemukakan NGO Melayu tidak dapat dipatahkan MIC”.

.

Pada hari ini, segala hujah yang dikemukakan oleh ketiga-tiga panel berkenaan serta penonton (tokoh-tokoh besar!) berjaya ditangkis dan dipatahkan dengan mudah. Malanglah bagi kelompok tertentu yang hadir untuk “meraikan kemenangan besar” kerana ternyata kehadiran saya (dari Kumpulan Sasterawan Kavyan) untuk berhujah mewakili kaum India (dalam kesempatan ini, mewakili Pemuda MIC) benar-benar tidak dijangkakan.

.

Dr Krishanan Maniam yang tampil bercakap mengingatkan hadirin bahawa terbukti ada perkara-perkara yang amat menyentuh sensitiviti kaum India dalam novel Interlok edisi murid (DBP: 2010). Masalah timbul apabila novel berkenaan dijadikan teks Komsas di sekolah dan wajib dibaca pelajar Tingkatan Lima di Zon Tengah.

.

Beliau juga mengingatkan bahawa apa yang timbul adalah suatu masalah besar bagi kaum India di Malaysia, dan hanya pihak yang terjejas (kaum India) memahami sepenuhnya masalah ini. Tambahan pula, segala “masalah” dalam Interlok edisi murid boleh menggugat keharmonian kaum di peringkat sekolah; melibatkan pelajar, guru dan pengetua.

.

Prof Diraja Ungku Aziz juga memilih untuk bercakap dan saya mengambil peluang untuk memandang tepat ke mata beliau sepanjang beliau bercakap kerana mengharapkan hujah-hujah yang bernas. Antara lain, katanya, ada seorang daripada “kasta paria” yang membantu dalam penyelenggaraan Thirukural. Bayangkan! Tidak diketahui secara tepat siapa individu yang sebenarnya mengarang atau menyelenggarakan Thirukural tetapi beliau pula merujuk kepada seorang pembantu!

.

Beliau juga bertanya mengapa parti-parti politik di Malaysia tidak membuat resolusi bahawa perbuatan membakar buku adalah tidak baik; adalah sial. Tentu sahaja saya tidak membazir masa menjawab pertanyaan seperti itu kerana cadangan tersebut tidak ada kena-mengena dengan topik perbincangan. Sehingga kini, saya tidak tahu mengapa beliau bertegas mahu bercakap untuk mengemukakan segala pandangan itu!

.

Tambahan, kita perlu ingat bahawa insiden pembakaran yang dilaporkan itu adalah kesan daripada novel Interlok dijadikan teks Komsas dan juga apabila Kerajaan tidak mendengar “suara” kaum India yang tidak ada saluran lain untuk meluahkan perasaan.

.

Saya bukan “menghalalkan” perbuatan pembakaran buku tetapi jangan kita lupa bahawa ada juga tokoh budaya dan sastera terkemuka negara melakukan “luahan perasaan” secara amat mengaibkan apabila tokoh itu menulis di laman rangkaian sosial Facebook akan hasratnya membaling kasut ke arah Datuk T Murugiah; lalu disambut rakan kepada tokoh itu yang mencadangkan “jangan lempar kasut mahal, lempar kasut murah yang buruk supaya lebih dalam dan sinis maknanya”.

.

Jika tokoh budaya dan sastera terkemuka pada peringkat Nusantara melakukan demikian, bayangkan golongan kurang berpelajaran yang didakwa membakar buku di Klang sebagai tanda protes. Ada seberang perbezaan antara mereka; selain perbezaan kaum dan agama?

.

Peluang yang diberikan kepada saya untuk membuat rumusan pada Wacana Interlok juga saya gunakan untuk melaksanakan tugas membetulkan segala maklumat menyimpang yang disampaikan dengan penuh yakin dan nyaring oleh panel.

.

Cikgu Ghalib misalnya telah cuba membandingkan Interlok edisi murid dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan. Saya terpaksa – sekali lagi! – mengingatkan beliau bahawa Interlok edisi murid adalah teks Komsas yang wajib bagi semua pelajar Tingkatan Lima di Zon Tengah manakala Ranjau Sepanjang Jalan adalah teks untuk subjek Sastera Melayu sahaja.

.

Beliau juga telah mengakui bahawa terdapat banyak tahap pelajar, iaitu rendah, sederhana dan tinggi. Turut diakui oleh beliau bahawa tahap intelektual pelajar Tingkatan Lima di negara kita masih jauh untuk mencerna isu-isu yang ditampilkan dalam Interlok. Maknanya, sebagai seorang guru cemerlang, beliau juga sedar tidak semua pelajar mempunyai tahap pemahaman dan intelektual yang sama jika berdepan novel Interlok edisi murid seperti yang ada sekarang.

.

Cikgu Ghalib juga memilih contoh novel Konserto Terakhir yang mana katanya menampilkan watak Melayu-Islam yang minum arak. Menurutnya, apabila novel itu dibincangkan di kelas, guru dan pelajar Melayu-Islam boleh mengemukakan hujah dari aspek agama mengenai pemaparan itu.

.

Saya terpaksa “menyedarkan” beliau bahawa dalam konteks “paria” dan “sistem kasta” (serta pelbagai kesalahan fakta mengenai budaya kaum India) dalam novel Interlok edisi murid, guru dan pelajar India-Hindu akan menghadapi masalah memberikan penjelasan kerana “paria” dan “sistem kasta” bukan amalan dalam kalangan kaum India di Malaysia. Mungkin di India, tetapi bukan di Malaysia. Malaysia dan India adalah dua negara yang berdaulat dan berbeza.

.

Cikgu Ghalib juga menyentuh mengenai filem-filem yang katanya, kurang sesuai bagi remaja. Hakikatnya, cikgu, filem-filem itu tidak dijadikan teks Komsas di sekolah dan tidak wajib ditonton pelajar!

.

Datuk Zainal Abidin mengakui bahawa Interlok edisi murid sudah dimurnikan. Memanglah ini yang saya katakan sejak awal! Namun, berpegang teguh pada pendirian Gapena, beliau berkata, pihaknya “tidak akan berganjak daripada ketetapan tidak membenarkan Interlok diubah” – tanpa menyebut sama ada dirujuk kepada novel Interlok edisi asal (Hak Cipta Abdullah Hussain 1971) atau novel Interlok edisi murid (Hak Cipta DBP 2010).

.

Beliau juga menegaskan bahawa “hanya satu kali ‘paria’ disebut, itu pun dengan ‘P’ huruf besar”. Tidak perlulah saya membazir masa mengulas lanjut mengenai “hujah-hujah” Gapena yang khabarnya terlalu hebat sehingga “tidak mampu dipatahkan wakil MIC” pada 18 Januari 2011 di Putrajaya. Sayang sekali sesi itu tidak disiarkan secara langsung melalui TV1 RTM untuk tontonan umum! Rugi ...

.

Ada pula hadirin yang mengemukakan pandangan bahawa bantahan kaum India terhadap novel Interlok edisi murid sebenarnya adalah “pelarian daripada masalah dalam komuniti itu”. Ditanya juga – entah bagi kali keberapa ribu -- apakah pelajar tidak mampu menghadapi novel ini.

.

Maka, saya nyatakan bahawa sementara novel Interlok edisi murid masih kekal di sekolah, pelajar bolehlah merujuk siri artikel “Adik-adik Sekalian” yang saya tulis khusus untuk siaran portal berita Free Malaysia Today bermula hari itu (26 Januari 2011).

.

Mugilan dari MIC tampil meminta pendirian/penjelasan saya berhubung pengarang novel berkenaan, laporan insiden pembakaran buku di Klang pada 8 Januari 2011 serta beza antara edisi murid dan edisi umum.

.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) tidak boleh diseret atau diheret masuk ke dalam kontroversi ini kerana hak cipta novel Interlok edisi murid dipegang oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). [Baca laporan Utusan Malaysia DI SINI]

.

Malah, sebarang usaha mana-mana pihak (termasuk media) cuba mendapatkan komen Pak Lah adalah usaha yang boleh ditakrifkan “berniat jahat” kerana meletakkan Pak Lah dalam risiko lebih besar. [BACA DI SINI]

.

Mengenai pembakaran buku pula, Kavyan mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan mana-mana pihak membakar buku sebagai tanda protes. [BACA DI SINI] Saya percaya pertanyaan yang dikemukakan oleh Mugilan lebih bertujuan memberi saya peluang “mengulang” fakta-fakta yang nampaknya tidak difahami kelompok tertentu sepanjang majlis ilmu itu berlangsung!

.

Mugilan juga bertanya apakah pendirian atau keputusan akhir Pemuda MIC dan Kavyan dalam isu ini. Saya tegaskan bahawa sekiranya masih ada bantahan terhadap cadangan supaya novel Interlok edisi murid dimurnikan (termasuk membetulkan segala kesalahan fakta berkaitan budaya kaum India dan agama Hindu), maka tidak ada pilihan selain meminta novel itu dikeluarkan terus daripada dijadikan teks Komsas. Itulah ultimatum yang diberikan oleh MIC dan Kavyan mewakili kaum India.

.

Saya juga menegaskan bahawa segala dialog, forum, analisis di akhbar dan segala benda berkaitan Interlok edisi murid yang diadakan sebelum ini tidak melibatkan “suara” kaum India. Sebaliknya Persatuan Penulis Kaum Melayu dan NGO Melayu yang lebih banyak bercakap dari sudut “kaum Melayu” dan terbukti sebenarnya tidak tahu serta tidak memahami budaya India dan agama Hindu secara mendalam.

.

Maka, kata saya, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mendengar hujah-hujah bernas berserta dalil-dalil daripada kaum India sebagai pihak yang terlibat secara langsung dalam kontroversi novel Interlok ediis murid. Tambahan pula, Persatuan Penulis Kaum Melayu dan NGO Melayu sudah terlalu banyak bercakap.

.

Seorang pemuda, Arun Dorasamy, dari National Interlok Action Team (NIAT) mengingatkan panel (selain saya) dan hadirin (bukan India-Hindu) bahawa isu dalam novel Interlok edisi murid bukan hanya berkaitan “paria” dan “kasta”; sebaliknya pelbagai “masalah” yang menyentuh sensitiviti kaum, menjatuhkan maruah serta boleh menggugat keamanan dan keharmonian di sekolah, dalam masyarakat dan di seluruh negara.

.

Memandangkan sejak isu Interlok timbul, ramai “pakar” daripada kalangan Melayu tampil berhujah dengan mengambil contoh novel Untouchable untuk menegakkan benang yang basah, saya terpaksa mengulang penjelasan yang sudah diberikan semasa Taklimat Khas Kavyan Mengenai Interlok Edisi Murid pada 16 Januari 2011. Saya nyatakan juga bahawa kelompok tertentu yang berkokok nyaring tidak pula hadir mendengar taklimat itu untuk mendapatkan maklumat sebenar, sekali gus keluar daripada kejahilan.

.

Pada 26 Januari 2011, panel dan hadirin (termasuk Ungku Aziz) sekali lagi menyentuh mengenai novel Untouchable. Ternyata ramai daripada kelompok tertentu amat mencintai karya itu dan menganggapnya sebagai “kitab suci”! Maka, saya terpaksa bersuara mewakili kaum India.

.

Saya menjelaskan bahawa novel Untouchable adalah karya seorang penulis dari negara India dan novel itu tidak pernah dijadikan edisi murid dan teks wajib Komsas di negara ini.

.

Saya menerangkan juga makna nama pengarangnya: Mulk Raj Anand. ... “Anand” bermakna kegembiraan dan “Raj” bermakna “raja”.

.

Kemudian, saya bertanya kepada hadirin, apakah makna “Mulk”? Tiada jawapan. Saya tujukan secara khusus kepada hadirin Melayu-Islam. Tiada jawapan! (Ingat: hadirin bukan pelajar Tingkatan Lima.)

.

Hairan. Apakah perkara asas seperti ini pun tidak diketahui? Akhirnya, saya sendiri yang terpaksa membantu mereka (hadirin Melayu-Islam) dengan menerangkan bahawa “Mulk” terdapat pada salah satu daripada 99 nama Allah: Maalikul Mulk.

.

Saya bertanya kepada hadirin Melayu-Islam: apakah makna Maalikul Mulk? Tiada jawapan. Mungkin kerana fikiran, tumpuan dan kecintaan mereka masih kepada “paria” dalam novel Untouchable karya Mulk Raj Anand.

.

Maka, terpaksalah saya sendiri menjelaskan bahawa Maalikul Mulk bermakna “Maha Mempunyai Kerajaan”. Maalikul Mulk, Maha Mempunyai Kerajaan.

.

Masih tiada reaksi, bagaikan saya sedang bercakap mengenai suatu perkara yang terlalu asing! Mereka yang memperjuangkan untuk mengekalkan “paria” dan “kasta” dalam Interlok edisi murid bagaikan sudah ditakdirkan bisu seketika dan tidak tahu apa-apa mengenai Maalikul Mulk.

.

Maka, akhirnya, terpaksalah saya sendiri mengemukakan soalan yang tidak memerlukan jawapan daripada hadirin: Adakah anda percaya kepada Maalikul Mulk, Allah yang Maha Mempunyai Kerajaan? Allah SWT yang berfirman di mana kandungan firman itu membuktikan bahawa sesungguhnya setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan melainkan dari segi ketakwaannya.

.

Adakah anda yang beragama Islam benar-benar percaya kepada Maalikul Mulk, Allah yang Maha Mempunyai Kerajaan, atau lebih percaya dan lebih teguh berpegang pada kata-kata seorang manusia bernama Mulk Raj Anand yang menulis karya berjudul Untouchable dan di dalamnya digunakan perkataan “paria”?

..

Sekian catatan saya mengenai Wacana Interlok di Rumah Universiti UM pada 26 Januari 2011. Bacalah keputusan Kementerian Pelajaran berhubung kontroversi Interlok edisi murid pada 27 Januari 2011 DI SINI.