19 Jan 2011

Sudah Terang Lagi Bersuluh?

Yang Arif,

Isu berkaitan novel Interlok (edisi murid) hangat diperkatakan sejak 15 Disember 2010 apabila Pengerusi Biro Pengaduan Am (BPA), Datuk T Murugiah membuat pengumuman rasmi berhubung penarikan balik teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) itu selepas mendapat persetujuan Penolong Pengarah Unit Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran, Sairi Adenan dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Khalik Sulaiman. [BACA DI SINI]


Pelbagai pihak tampil memberikan reaksi. Sebagai individu yang belum membaca edisi asal mahu pun edisi murid novel berkenaan, saya memilih untuk mengikuti sahaja segala perkembangan. Pada masa sama, saya sebagai presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) cuba mendapatkan reaksi orang ramai (pelbagai kaum) berhubung kontroversi berkenaan yang semakin hangat.


Isu menjadi lebih hangat apabila sekumpulan orang awam khabarnya membakar novel berkenaan di Klang, Selangor pada 8 Januari 2011. Saya katanya “khabarnya” kerana masih tidak pasti sama ada kumpulan itu membakar buku sebenar atau replika. Apa pun, perbuatan itu memang memalukan dan suatu penghinaan kepada dunia sastera kebangsaan.


Yang Arif,


Bermula saat itu, tumpuan sudah beralih kepada isu pembakaran novel Interlok dan bukan lagi mengenai kandungan novel edisi murid yang menjadi persoalan asal. Bagi kumpulan yang masih bercakap mengenai kandungan dalam novel itu yang dikatakan menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan India serta menghina amalan agama Hindu, tumpuan kini hanyalah pada satu atau dua perkataan dalam novel berkenaan, iaitu ‘paria’ dan ‘kasta’.


Walaupun pelbagai pihak cuba menganjurkan dialog dan perbincangan, semuanya masih tersasar dari landasan asal. Masing-masing terlalu taksub pada ‘paria’ dan ‘kasta’ sehingga lupa bahawa bukan itu sahaja isu dalam edisi murid yang ‘dipaksakan’ terhadap pelajar Tingkatan Lima di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.


Hal-hal berkaitan perkara itu telah dijelaskan sepenuhnya pada “Taklimat Khas Kavyan Mengenai Interlok Edisi Murid” di Shah Alam pada 16 Januari 2011. Malangnya, kumpulan yang lantang bersuara mempertahankan novel Interlok edisi murid tidak pula muncul untuk mendengar ilmu yang disampaikan. Ya, memang lebih mudah menjerit daripada mendengar dengan akal fikiran.


Dalam pada itu, Yang Arif, rata-rata kumpulan yang mempertahankan novel Interlok edisi murid mula menarik masuk Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain ke dalam kontroversi! Saya tidak nampak rasional; selain daripada hujah bahawa tumpuan kini memang sudah tersasar daripada isu asal, iaitu kandungan novel Interlok edisi murid yang disunting dua individu berpengalaman dan berkepakaran di DBP.


Pendirian tegas kumpulan yang mempertahankan novel Interlok edisi murid adalah bahawa mereka “membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalam novel tersebut” dengan alasan (antara lain) bahawa usaha memurnikan novel Interlok edisi murid bermakna menghina karya agung seorang Sasterawan Negara.


Yang Arif,


Supaya kita dapat kembali ke landasan asal, berikut petikan perenggan di halaman 238-239 novel Interlok terbitan bersama DBP dan Rythm Consolidated Berhad (2003) serta saya tandakan bahagian-bahagian yang tiada (disunting; ditambah, dibuang) di halaman 215 dalam novel Interlok edisi murid (2010) sebagai bukti bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya edisi murid mahu dimurnikan seperti disarankan Kavyan.


Lembunya itulah satu-satu hartanya yang ada selain sebuah rumah tempat mereka berlindung daripada angin dan hujan. Sewaktu dia berangkat, dia telah menggadaikan tanah dan rumahnya kepada tukang pinjam wang di pekan dengan perjanjian akan dibayarnya kembali [pinjaman tersebut] melalui Pillay, apabila dia telah mendapat kerja, dengan bunga dua kali ganda. Dia terpaksa meminjam kerana dia perlu menjudikan hidupnya ini untuk mencari kebahagiaan di kemudian hari. Perkara yang agak berlainan sedikit yang perlu disediakan olehnya sekarang ialah pakaian, menurut orang kampungnya yang baru pulang itu, iklim di Malaya agak berbeza. Tidak cukup dengan kain cawat yang biasa dipakai di desanya itu sahaja. [Mereka] Mesti ada kain dan baju lagi, sebab ada kalanya udara terlalu sejuk dan [cuaca] panasnya pun tidaklah seterik panas di negerinya. Di desanya dia hanya memakai kain cawat putih yang dibuat daripada kapas dan orang-orang perempuan memakai sehelai kain panjang yang riang warnanya sebahagian daripada kain itu dibalut di pinggangnya, bergantung menutup lututnya, yang sebahagian lagi melintang di dadanya, melewati bahu kiri, dan diselitnya di bahagian belakang.


Yang Arif, I rest my case.


(© Uthaya Sankar SB 2011. Pertama kali disiarkan di FreeMalaysiaToday pada 18 Januari 2011 sebelum disiarkan di blog Uthaya Sankar SB pada 19 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk sedikit penjelasan penting. Ikuti sambungan hujah di hadapan Yang Arif, esok.)