Catatan ini adalah lanjutan daripada kenyataan saya pada 14 Januari 2011 yang boleh dibaca DI SINI.
.
Pada 15 Januari 2011, saya (akan) ke Rumah Gapena secara sendirian. Saya bukannya mahu cuba tunjuk ‘berani’ tetapi saya mendapat keberanian itu berikutan keyakinan dan kepercayaan yang saya letakkan terhadap para saudara penulis dan rakan-rakan NGO Melayu yang menyertai perhimpunan protes besar-besaran itu.
.
Nama saya Uthaya Sankar SB dan saya bukan seorang pengganas. Saya juga bukan __________ (isikan istilah berkenaan yang sedang hangat sekarang). Saya ke Rumah Gapena bukan untuk menimbulkan kekecohan. Lihatlah fizikal saya dan anda boleh membayangkan sendiri kemampuan fizikal saya! Malah, saya datang dengan ‘sebelah tangan’ (single-handed) berikutan keadaan tangan kiri saya.
.
Saya datang dengan semangat yang dibawakan Mahatma Gandhi. Mahatma Gandhi yang memperjuangkan dan mengamalkan ‘ahimsa’ (non-violence; tanpa kekerasan). Mahatma Gandhi yang mementingkan kemanusiaan serta menggunakan istilah ‘Harijan’ (Children of God) apabila merujuk kepada golongan __________ (isikan istilah berkenaan yang sedang hangat sekarang).
.
Saya datang ke Rumah Gapena menghulurkan tangan untuk bersalam dan bertanya khabar rakan-rakan serta saudara seangkatan dalam dunia bahasa, sastera, seni dan budaya.
.
Saya percaya, sewaktu bersalaman dan tangan kami bersentuhan, akan wujud persefahaman dan keakraban yang menjadi bukti kekuasaan Tuhan. Ya! Bukti kekuasaan Tuhan; sebagaimana ada juga dikisahkan dalam novel Interlok (edisi murid).
.
Dan apabila saya menunjukkan tanda ‘vanakam’ dengan tangan – maaf, keadaan tangan kiri tidak mengizinkan saya menunjukkan tanda ‘vanakam’ yang sempurna – kepada wakil NGO daripada kalangan wanita (walaupun mereka mungkin tidak tahu apa yang perlu dibalas; seperti dialami watak Limah sewaktu bertemu Maniam dalam novel Interlok), saya percaya akan timbul kemesraan yang dizahirkan menerusi senyuman yang ikhlas.
.
Segera mengingatkan saya kepada hubungan Musa-Maniam yang lebih seperti bersaudara. Juga Maniam yang menganggap Seman (anak Musa) sebagai anak, dan Seman menganggap Maniam sebagai bapa.
.
Saya mengenali kebanyakan wakil NGO Melayu yang (dijadual) menghadiri perhimpunan protes besar-besaran di perkarangan Rumah Gapena. Saya mengenali Ketua Satu Gapena, Tan Sri Ismail Hussein dan saya mengenali Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain melalui kumpulan cerpen Kota ke Kota (DBP: 1977) jauh sebelum saya sedar mereka adik-beradik.
.
Saya mengenali Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad semasa beliau menjadi pensyarah saya di Universiti Malaya (UM); malah beliau yang memberi galakan supaya manuskrip cerpen “Anda, Sebuah Kampung dan Sebuah Kisah” dihantar bagi pertandingan anjuran Esso-Gapena. Saya juga mengenali pemimpin-pemimpin dari Kalam dan Kemudi serta ramai lagi individu, sama ada secara pertemuan di ruang maya atau alam nyata. Saya percaya mereka semua sama-sama berada di perkarangan Rumah Gapena pada petang ini dengan semangat setiakawan dan niat murni demi sastera dan negara.
.
Saya menyatakan ‘sokongan neutral’ terhadap usaha Gapena dan 21 NGO Melayu mengadakan perhimpunan besar-besaran (dan aman) memprotes isu mempolitikkan novel Interlok (edisi murid).
.
Bagaimanapun, sepanjang menjadi ‘tetamu’ di Rumah Gapena pada 15 Januari 2011, saya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mewakili Kavyan berhubungi isu ini. Hal ini adalah sebagai menghormati ‘tuan rumah’ serta mengamalkan semangat ahimsa yang diperjuangkan Mahatma Gandhi.
..
Sesiapa yang berminat mendapatkan pandangan Kavyan dalam isu ini boleh sahaja merujuk Blog Kavyan dari semasa ke semasa atau menghadiri Taklimat Khas Mengenai Interlok Edisi Murid di Shah Alam pada 16 Januari 2011.
..
Nota: Catatan semalam dan hari ini digabungkan lalu disiarkan juga di akhbar Sinar Harian pada 15 Januari 2011 - BACA DI SINI.