Sunday, 23 January 2011

Demi Bahasa Ibunda

Demikian judul sajak terbaru saya yang tentu sahaja belum saya hantar ke mana-mana. Saya tidak pasti jika ada mana-mana akhbar dan majalah arus perdana yang sanggup (baca: berani) menerbitkan sajak itu.
.

Tentu sahaja apabila bercakap mengenai sajak-sajak bertema bahasa, anda boleh merujuk DI SINI untuk menikmati – atau mencaci – beberapa sajak mudah yang saya pernah hasilkan.

.

Sajak “Pe(r)juang(an) Bahasa II” pernah membuatkan ramai orang melatah dan hilang akal fikiran. Ramai yang malu sendiri apabila akhirnya – beberapa tahun kemudian – menyedari bahawa sajak itu yang disangka sajak anti-Melayu (dan anti-bahasa Melayu) sebenarnya membawa tema dan perjuangan yang lain.

.

Sajak “Demi Bahasa Ibunda” juga saya percaya akan membuatkan ramai orang kembali melatah dan sekali lagi hilang akal fikiran. Apatah lagi dalam suasana sekarang di mana saya secara peribadi sedang menghasilkan siri tulisan di blog dan di portal berita demi melakukan pelbagai pendedahan mengenai punca sebenar kaum India – dan bukan India – menentang penggunaan novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) sebagai teks Komsas di sekolah. [BACA DI SINI]

.

Saya tidak fikir ada akhbar dan majalah arus perdana yang cukup berani untuk menyiarkan sepenuhnya sajak “Demi Bahasa Ibunda” dan kemusykilan ini bukan hanya kerana terdapat frasa ‘bahasa ibunda’ pada judul sajak. Sebaliknya, sajak ini juga ‘ganas’ dan melakukan pelbagai pendedahan berani yang pasti sahaja tidak sanggup (ulang: sanggup) diterima kumpulan tertentu. Apatah lagi sajak ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia dan mampu difahami semua!

.

Tidak mengapa. Saya akan simpan dahulu sajak ini sehingga ketemu media yang cukup ‘jantan’ untuk menyiarkannya. Malah, kalau dicari, tentu ada juga media di luar negara yang lebih menghargai sebuah sajak Bahasa Malaysia seperti “Demi Bahasa Ibunda” berbanding Malaysia tercinta.