9 Jan 2011

Cereka UPSR - Jangan Menciplak Karya

Sejak keluaran Mei 2010, adik-adik sudah dibimbing cara-cara menghasilkan karangan cereka yang memenuhi format UPSR dan pada masa sama sesuai dikembangkan menjadi karya kreatif untuk disiarkan di majalah.
.

Jadi, ilmu dan panduan yang dipelajari itu jangan dilupakan sebaik selesai UPSR. Sebaliknya, jadikan bekalan apabila melangkah ke sekolah menengah.

.

Sejak awal lagi, Abang Uthaya sentiasa menekankan betapa minat dan amalan membaca boleh mengembangkan kreativiti adik-adik untuk menghasilkan karangan cereka yang menarik.

.

Walau bagaimanapun, adik-adik perlu sentiasa beringat supaya tidak meniru bulat-bulat cerita yang pernah adik-adik baca di akhbar, majalah atau buku.

.

Berikut satu contoh bagi menjelaskan apa yang boleh berlaku sekiranya adik-adik meniru karya orang lain.

..

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan

..

Saya suka membaca buku cerita. Setiap kali ada masa lapang, saya akan membaca buku, majalah dan akhbar. Saya suka membaca cerita dan sajak.

.

Pada suatu hari, saya berpeluang membaca sajak “The Dead Crow” karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Sajak itu adalah terjemahan daripada sajak “Gagak Parit”.

.

Sajak itu sangat menarik perhatian saya. Lalu, saya menyalin sajak itu pada sehelai kertas dan mengirimkannya ke sebuah majalah.

.

Beberapa bulan kemudian, sajak “The Dead Crow” disiarkan dalam majalah. Saya berasa amat bangga melihat nama saya dipaparkan di majalah.

.

“Awak telah menciplak karya orang lain,” kata kawan saya di sekolah.

.

Saya tidak faham apa yang dimaksudkannya.

.

“Menciplak adalah apabila awak mengambil karya orang lain dan menerbitkannya sebagai karya sendiri. Tambahan pula, awak telah menciplak karya Sasterawan Negara,” guru kelas menerangkan.

.

Saya terasa amat malu mendengar penjelasan guru. Saya terus menulis surat memohon maaf kepada editor majalah berkenaan.

.

Saya juga berjanji kepada diri bahawa saya tidak akan menciplak karya sesiapa. Saya akan menulis cereka asli untuk disiarkan.

..

Contoh karangan di atas menjelaskan juga risiko yang terpaksa ditanggung sekiranya adik-adik menciplak atau meniru karangan orang lain.

.

Misalnya, kawan-kawan tidak akan mempercayai adik-adik. Mereka juga mungkin tidak akan membenarkan adik-adik membaca karangan mereka kerana bimbang bahawa adik-adik akan meniru karangan mereka.

.

Hal ini tidak pula bermakna adik-adik tidak harus membaca karya orang lain. Sebaliknya, adik-adik memang digalakkan membaca buku cerita, akhbar dan majalah untuk menimba ilmu.

.

Apabila adik-adik membaca sebuah cerpen (cerita pendek), adik-adik akan belajar cara menulis sebuah karangan cereka yang menarik untuk dibaca.

.

Adik-adik tidak meniru atau menciplak cerpen itu. Sebaliknya, adik-adik belajar cara-cara menulis karangan yang sedap dibaca. Adik-adik boleh belajar cara menulis dialog, penggunaan tanda baca yang betul, perbendaharaan kata yang sesuai dan sebagainya.

.

Lalu, apabila adik-adik menulis karangan sendiri, gunakan ilmu dan pengetahuan itu untuk menghasilkan karangan cereka yang menarik dan bermutu. Pada masa yang sama, pastikan adik-adik tidak meniru bulat-bulat cerita yang dibaca dalam buku, akhbar atau majalah.

.

Adik-adik perlu tahu menghormati dan menghargai hasil karya orang lain. Bagaimana perasaan adik-adik jika karangan yang adik-adik tulis dicuri oleh orang lain dan dihantar kepada guru sebagai hasil karangan mereka sendiri?

.

Tentulah adik-adik akan berasa marah dan kecewa. Maka, perkara sama juga berlaku apabila adik-adik meniru atau menciplak hasil karya orang lain.

.

Kita perlu faham bahawa seorang penulis menggunakan daya kreativiti, imaginasi dan bakat untuk menghasilkan karya seperti karangan, novel dan cerpen. Karya itu adalah hak miliknya dan orang lain tidak boleh mencuri atau menciplak karya itu.

.

Mungkin pada peringkat ini, adik-adik belum memahami konsep “hak cipta”. Walau bagaimanapun, adik-adik perlu tahu bahawa kita tidak boleh meniru atau menciplak karya orang lain kerana perbuatan itu sama seperti kita merompak dan mencuri barang-barang kepunyaan orang lain.

.

Bolehkah seorang perompak dan pencuri hidup bahagia? Tentu sahaja tidak! Perompak dan pencuri akan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana suatu hari nanti, mereka akan ditangkap.

.

Begitu juga apabila adik-adik menulis karangan, sama ada untuk tujuan peperiksaan, untuk disiarkan di majalah sekolah atau untuk dikirim ke majalah e-baca. Pastikan karangan itu adalah karya asli adik-adik tanpa ada sebarang unsur peniruan dan ciplak.

.

Selamat menulis karangan cereka yang asli dan selamat menjadi pengarang besar yang dihormati!

...

(Panduan ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB berdasarkan Bengkel Cereka UPSR anjuran Kavyan dan disiarkan dalam majalah e-baca, November 2010. Ikuti Bahagian LapanDI SINI – pada 13 Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk panduan mengirim manuskrip cereka bagi tujuan penerbitan di majalah dan sila KLIK DI SINI untuk maklumat aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan.)