Cerpen berkenaan yang proses penghasilannya juga sedikit aneh – dan kaya dengan unsur faksyen, tentunya – disiarkan dalam majalah Dewan Sastera (Mei 1996) semasa Zaen Kasturi menjadi editor.
Cerpen “Yang Aneh-aneh” menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97 serta menjadi judul bagi kumpulan cerpen mini Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997). Kumpulan cerpen itu juga ada keanehannya kerana penerbit tidak membuat sebarang bayaran royalti.
Cerpen yang sama saya muatkan dalam kumpulan Sasterawan Pulau Cinta (2001) iaitu buku sulung yang saya terbitkan sendiri berikutan halangan terhadap penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1999.
Pada 8 November 2010, saya mengendalikan Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) bagi pelajar Tingkatan 3 (lepasan PMR) di Dewan Anggerik, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), Seksyen 11, Shah Alam.
Salah satu cenderamata yang diberikan adalah sebuah buku yang dibalut kemas. Menurut Cikgu Siti Kamariah yang menguruskan kedatangan saya ke SAMTTAJ, buku berkenaan adalah karya seorang Sasterawan Negara – yang beliau tidak ingat nama – dan dibalut plastik.
Cenderamata itu hanya dibuka oleh Devishi Prabha Sankari pada petang 16 November 2010 dan saya mendapati reka kulit dan judul buku berkenaan hampir menyamai buku-buku popular yang melambak dalam pasaran. Bezanya, ia bukan sebuah novel. Terpampang pada kulit: Pengenalan oleh Sasterawan Negara Anwar Ridhwan.
Antologi cerpen itu antara terbitan terbaru DBP (2010) dan berjudul Cinta Sekerdip Embun: Antologi Cerpen Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996-2005. Maka, buku ini adalah buku yang saya sedia maklum akan turut memuatkan cerpen “Yang Aneh-aneh” kerana DBP sudah mendapatkan izin terbit beberapa tahun lalu.
Cuma dua perkara. Satu, saya tidak tahu judul antologi berkenaan. Dua, saya tidak tahu buku itu sudah terbit dan berada dalam pasaran sehingga memungkinkan Cikgu Siti Kamariah membelinya sebagai cenderamata untuk saya – tanpa menyedari bahawa cerpen saya termuat di dalamnya, tentunya!
Berbalik pada kisah In the Shadows of the Palm (2009), saya terpaksa pergi ke Bahagian Hak Cipta DBP untuk mendapatkan naskhah penulis. Pada kali ini, saya perlu mengulangi ritual itu. Harapan saya adalah bahawa petugas di sana tidak akan mengatakan bahawa beliau tidak tahu tentang kewujudan Cinta Sekerdip Embun (2010).