Sunday, 17 October 2010

Filem Kisah Pelombong Chile

Kesemua 33 pelombong yang terperangkap selama 69 hari berikutan runtuhan di sebuah lombong emas dan tembaga di San Jose, Chile tentu tidak pernah membayangkan bahawa mereka akan diberi sambutan wira dan menjadi buruan media. [Kronologi kisah di sini]
.
Presiden Discovery Channel, Clark Bunting berpendapat, masyarakat antarabangsa terpukau untuk sama-sama menyaksikan operasi mencari dan menyelamat yang memberi kelainan kepada berita-berita politik, perang dan kekacauan yang sering mendominasi media cetak dan elektronik.
.
“Pengalaman pelombong terbabit adalah suatu kisah kemanusiaan yang amat menarik dan memberi semangat kepada seluruh masyarakat antarabangsa tanpa mengira kedudukan dan warna kulit. Maka, tidak hairanlah bahawa selain siaran berita mengenai operasi menyelamat itu, ada pelbagai cadangan untuk mendokumentasikan kisah itu, termasuk dalam bentuk buku, dokumentasi dan filem,” kata Bunting.
.
Discovery Channel sudah memulakan proses menghasilkan dokumentari khas berjudul Rescued: The Chilean Mine Story untuk siaran pada 28 Oktober 2010.
.
Stesen Spike TV pula merancang drama bersiri 10 episod bertajuk Coal untuk tayangan tahun depan.
.
Drama bersiri itu menggunakan latar tempat West Virginia dan melihat operasi perlombongan menerusi kaca mata pemilik lombong dan pelombong.
.
Penerbitan Transworld sudah mengumumkan buku berjudul The 33 oleh Jonathan Franklin, wartawan yang tinggal 16 tahun di Chile dan membuat liputan tragedi lombong itu sejak 5 Ogos 2010.
.
Selain daripada itu, tentu sahaja pembikin filem di Hollywood sedang dalam proses menggarapkan beberapa filem berdasarkan kejadian itu.
.
“Tumpuan dalam filem-filem ini tentulah bukan hanya mengenai 33 pelombong terbabit tetapi juga mengenai keluarga mereka, sukarelawan serta keseluruhan operasi mencari dan menyelamat,” kata penulis skrip veteran, Jeffrey Stepakoff.
.
Sementara itu, kawasan di sekitar lombong emas dan tembaga yang runtuh di San Jose, Chile menjadi tumpuan ramai sejak 5 Ogos lalu serta menjadi lambang harapan untuk menyelamatkan kesemua 33 pelombong yang terperangkap selama 69 hari.
.
Selepas operasi membawa keluar 32 pelombong Chile dan seorang warga Bolivia selesai pada 14 Oktober 2010, wakil media yang mengerumuni kawasan itu mula bersurai atau tertumpu pula di sekitar Hospital Copiapo di mana kesemua pelombong ditempatkan.
.
Bagi kebanyakan ahli keluarga pelombong terbabit, mereka masih berkumpul di kawasan khemah di sekitar lombong sambil membungkus barang-barang yang dibawa bersama untuk tinggal sementara di sini.
.
“Abang saya, Daniel, berminat untuk melihat tempat di mana kami sekeluarga berkhemah sejak 70 hari lalu. Kesemua pelombong dijangka dibawa ke sini untuk melihat kawasan ini yang kini dinamakan Kem Harapan,” kata Maria Segovia, semalam.
.
Selama hampir 70 hari, penduduk Chile berkumpul di sekitar lombong berkenaan sebagai sebuah keluarga besar yang saling mengambil berat.
.
Pelbagai pihak tampil menjadi sukarelawan dan menyediakan bekalan makanan kepada semua yang berada di situ.
.
“Saya benar-benar berharap kami semua dapat berkumpul beramai-ramai bersama-sama kesemua 33 pelombong itu pada Ahad ini,” kata Miguel Valenzuela, ipar kepada Jorge Galleguillos, pelombong ke-11 yang dibawa keluar pada Rabu.
...
Skrip ini ditulis berdasarkan pelbagai sumber dan disiarkan di Halaman Global, akhbar Sinar Harian pada 16 Oktober 2010. Filem The 33 (2015) adalah berdasarkan buku Deep Down Dark (2014) oleh Hector Tobar. [Baca Kronologi Insiden Lombong Chile] [Jangan Ganggu Kami - pinta para pelombong]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!