13 Aug 2010

Mendengar Si Burung Ajuk-ajuk

Saya tidak “terburu-buru” membaca novel To Kill A Mockingbird (1960) karya Harper Lee yang memenangi Pulitzer Prize pada 1961 dan dianggap “Sastera Klasik Moden Amerika” serta masih menjadi rebutan peminat karya bermutu; seperti mana juga disebut oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said semasa Dialog Sasterawan Negara pada 4 Ogos 2010.
.

Walaupun saya memiliki dua naskhah To Kill A Mockingbird dalam dua edisi berbeza, mungkin juga saya tidak “tergesa-gesa” membacanya kerana tiada novel lain daripada Harper Lee yang lahir di Alabama, Amerika Syarikat pada 28 April 1926; tanpa menafikan ada beberapa tulisannya disiarkan dalam majalah McCall’s dan Vogue pada 1960-an.

.

Novel To Kill A Mockingbird – yang mungkin berbunyi Membunuh Si Burung Ajuk-ajuk kalau diterjemahkan ke Bahasa Malaysia – siap ditulis pada 1959 dan terbit pada 11 Julai 1960. Lebih 30 juta naskhah terjual di seluruh dunia; dan tentunya jumlah itu sedang meningkat kerana di Amerika Syarikat sendiri, selepas Barack Obama menjadi Presiden, minat membaca novel itu khabarnya meningkat berlipat kali ganda.

.

Pada 17 Julai 2010, saya membeli cakera padat (CD) audio novel To Kill A Mockingbird, seperti yang saya ceritakan DI SINI. Sewaktu berhenti kerja di RTM, satu-satunya perkara yang saya anggap “rugi” adalah peluang untuk membaca semasa terperangkap dalam kesesakan jalan raya setiap hari.

.

Kini, dengan adanya CD audio To Kill A Mockingbird (Caedmon, 2006), saya boleh mendengar Sissy Spacek membacakan novel dalam edisi lengkap (unabridged) selama 12 jam dalam 11 CD semasa memandu. Spacek adalah pelakon berbakat yang pernah muncul dalam filem seperti Carrie (1976), Coal Miner’s Daughter (1980) dan In the Bedroom (2001).

.

Saya boleh membayangkan kisah berlatarkan daerah fiksyen Maycomb, Alabama yang dibacakan secara penuh penghayatan oleh Sissy Spacek. Jika di rumah, telinga mendengar novel itu sambil mata membaca tulisan pada halaman novel berkenaan.

.

Watak Harper Lee, rakan kepada Truman Capote, dilakonkan Sandra Bullock dalam Infamous (2006), Catherine Keener dalam Capote (2005) dan Tracey Hoyt dalam Scandalous Me: The Jacqueline Susann Story (1998).

.

Novel To Kill A Mockingbird juga dijadiikan filem pada 1962 di mana Mary Badham memegang watak Jean Louise (Scout), Gregory Peck sebagai Atticus Finch dan Phillip Alford sebagai Jeremy (Jem). Saya cuba mencari DVD filem berkenaan di AmCorp Mall pada 9 Ogos 2010 tetapi belum ada rezeki. Seorang rakan di Facebook, Rahmat Rmt memberitahu saya pada 12 Ogos 2010 bahawa DVD itu boleh diperoleh di Ampang Park. Maka, apabila berpeluang ke sana, saya pasti akan mendapatkannya!

.

Sementara itu, saya masih dalam proses menghabiskan novel To Kill A Mockingbird dalam versi CD audio. Selepas itu, novel thriller berjudul Escape (2008) karya Robert K Tanenbaum sedang menanti dalam 18 CD audio terbitan BBC Audio yang menampilkan pembacaan oleh Charles Leggett serta menjanjikan halwa telinga dan santapan minda selama 22 jam 30 minit.
.
Nota: Klik DI SINI untuk catatan lanjut mengenai To Kill A Mockingbird dan DI SINI untuk catatan lanjut mengenai Escape.