Saya juga sering ditanya bagaimana saya ada masa untuk membaca buku cerita, menulis cerita dan menonton DVD. Jawapan saya cukup mudah apabila saya dedahkan kepada orang yang bertanya bahawa Tuhan memberikan saya 24 setengah jam dalam sehari; maka lebihan setengah jam itulah yang saya gunakan untuk membaca buku cerita, menulis cerita dan menonton DVD.
Tentu sahaja reaksi yang saya terima adalah kata-kata bahawa hanya ada 24 jam dalam sehari dan Tuhan tidak memberi 30 minit tambahan kepada saya atau kepada sesiapa.
Tepat sekali! Memang ada 24 jam sahaja dalam sehari dan terpulang pada kita sendiri untuk mengatur masa supaya ada “masa tambahan” bagi membuat kerja-kerja lain.
Apabila bercakap mengenai “masa”, saya sering kaitkan juga dengan “menepati masa”. Dalam Kumpulan Sasterawan Kavyan, istilah yang digunakan adalah “Waktu Kavyan”.
Masyarakat sudah terbiasa datang lewat. “Lewat” sudah menjadi norma dalam masyarakat. Kononnya “biar lambat, asalkan selamat” dan “better late than never”. Bagi saya, “biar cepat, asalkan selamat” dan “better early than never”.
Apabila ada temu janji, saya berusaha datang sekitar 15 minit lebih awal. Begitu juga, apabila seseorang membuat temu janji, saya akan mendapatkan pengesahan sama ada masa yang dinyatakan itu “tepat” atau “sejam kemudian”.
Saya cukup pantang apabila setelah membuat temu janji (appointment) untuk bertemu “tokoh” tertentu, mereka tetap kononnya terlalu sibuk sehingga kita terpaksa menunggu begitu lama untuk bertemu mereka.
Tidakkah “tokoh” berkenaan sedar bahawa temu janji dibuat kerana dia memang kononnya terlalu sibuk dan “temu janji” bermakna dia sudah berjanji memperuntukkan masa untuk kita?
Dalam keadaan seperti itu, tanpa mengira siapakah “tokoh” berkenaan, saya biasanya meninggalkan sahaja tempat itu selepas meminta ‘salam’ saya dikirimkan kepada “tokoh” itu yang tidak tahu menghormati masa.