10 Aug 2008

Wujudkan Berita!

Walaupun saya sebenarnya hanya bekerja lima hari seminggu di Radio24, saya masih pergi ke pejabat hari ini (pada pukul 5:00 pagi) seperti selalu.
.
Selain menyiapkan sedikit bahan untuk segmen Seni Sastera di Sana Sini, saya juga membantu dua penerbit yang bertugas pagi ini.
.
Memang kurang bahan berita pada pagi Ahad ini.
.
Maka, saya memutuskan untuk "mewujudkan berita". Misalnya, dengan melaporkan mengenai forum "Memeluk Islam" semalam dan meminta pandangan Noor Nirwandy Mat Nordin, Pengarah Projek, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara langsung semasa siaran Buletin24.
.
Begitu juga, saya laporkan sedikit mengenai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh yang dijangka diumumkan oleh Pak Lah pada 15 Ogos. Saya gabungkan dengan pendirian Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), parti serpihan PAS, untuk turut bertanding.
.
Saya cuba menghubungi Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub untuk mendapatkan reaksi tetapi beliau sibuk. Begitu juga dengan beberapa wakil UMNO di Permatang Pauh.
.
Akhirnya, saya "mewujudkan" berita mengenai pertandingan tiga penjuru yang dijangkakan pada 26 Ogos; dan meminta pandangan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dalam Buletin24.
.
Sempat juga saya menghubungi Tee Hui Yee di Batu Pahat untuk bertanya perkembangan dirinya selepas menjalani pembedahan pemindahan jantung di IJN 10 bulan, 5 hari lalu.
.
Jadi, jika tiada bahan berita, "wujudkan" berita! Akan tetapi, jangan sampai "mereka" berita pula ...