4 Feb 2023

Misteri Michael Soosai – Bahagian 1

Ikan emas selalu dikatakan hanya memiliki daya ingatan sekitar 2–10 saat. Walaupun kajian saintifik sejak tahun 1950-an sudah membuktikan sebaliknya, lawak itu masih digunakan sehingga kini.

Malah, penduduk Malaysia dikatakan hanya memiliki daya ingatan selama dua minggu.

Sebab itulah setiap kali ada isu panas (politik, artis, sukan, agama, atau apa sahaja), kita sering melawak bahawa orang Malaysia pasti akan lupa dalam masa dua minggu.

Maka, eloklah juga jika topik-topik tertentu diungkitkan dan diingatkan semula bagi membasahkan ingatan orang ramai dan pihak berkuasa yang mungkin terlupa.

Sewaktu menyelongkar koleksi akhbar lama dan bahan arkib, saya terjumpa satu siri kejadian yang masih menjadi misteri umpama sebuah filem thriller yang penuh mendebarkan.

Pada April 2005, masyarakat dikejutkan dengan pendedahan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bahawa ada usaha licik sejumlah individu memalsukan kematian mereka untuk membolehkan waris menerima wang insurans yang agak lumayan.

Agak menarik kerana kes-kes itu terbongkar sewaktu pasukan khas menyiasat kemungkinan individu bernama Michael Soosai memalsukan kematiannya dalam usaha mengelak daripada dibicarakan dalam beberapa kes jenayah.

Polis percaya, wujud sindiket yang turut dibantu petugas bilik mayat untuk menukar mayat dan identiti orang tanpa disedari sesiapa sejak beberapa tahun sebelum itu.

Dua bulan kemudian, orang ramai yang mengikuti perkembangan kes “kematian” Michael digemparkan lagi dengan laporan media bahawa polis sedang menyiasat sebuah laman sesawang dipercayai menyiarkan data berhubung dakwaan penglibatan lebih sepuluh pegawai polis (termasuk seorang pegawai atasan) membantu kegiatan jenayah Michael.

Seperti sebuah filem thriller dari Hollywood atau Mollywood, Michael yang dipercayai berada di negara India mula semacam “membalas dendam” dan cuba mengalihkan tumpuan operasi pasukan khas dengan memaksa mereka turut menyiasat “orang dalam” yang dikatakannya bersekongkol dalam segala jenayah yang dilakukan.

Semakan keratan akhbar lama menunjukkan, sehingga tahun 2001, Michael yang berasal dari Pulau Pinang berdepan 16 tuduhan jenayah kolar putih, termasuk kes memalsukan cek bernilai lebih RM1 juta tetapi kesemua kes digugurkan apabila dimaklumkan tertuduh sudah meninggal dunia akibat sakit jantung.

Nama Michael yang lahir pada tahun 1963 kembali hangat diperkatakan apabila pada 12 Disember 2004, muncul desas-desus lelaki itu (yang disangka sudah meninggal dunia) menculik dan membunuh seorang pemandu lori bernama Subramaniam Nookaiah di Kanchipuram, India.

South China Morning Post (17 Jun 2005) melaporkan tentang laman sesawang khas yang dibuat oleh Michael untuk mendedahkan secara terbuka dan terperinci apa yang didakwanya bukti penglibatan beberapa pegawai polis berpangkat tinggi dengan pelbagai pertubuhan jenayah.


Dia dikatakan menghantar seorang lelaki dari India yang menyamar sebagai editor majalah Newsweek untuk membeli salinan pelbagai dokumen sulit dalam fail polis di Malaysia.

Laman sesawang itu didaftar di Amerika Syarikat, menggunakan alamat e-mel Singapura dan beroperasi di Patna, Bihar.

Orang ramai (termasuk saya) mula tertanya-tanya kemungkinan laman sesawang yang tiba-tiba muncul itu sengaja bertujuan mengalihkan tumpuan dan mematahkan semangat pasukan khas yang sudah mula menahan beberapa ahli keluarga Michael termasuk ibunya di Ipoh dan “balu”nya, S. Kumari untuk menyiasat kes pemalsuan sijil kematian.

Walau bagaimanapun, saya hairan juga membaca berita di sebuah akhbar Inggeris yang melaporkan Michael seorang penulis yang turut menghasilkan sebuah kamus Melayu-Inggeris di mana beberapa tokoh politik menulis prakata.

Rencana penuh (termasuk wawancara dengan Michael Soosai) boleh dibaca dalam Kumpulan Esei 2024.

[Kemas kini Pada 1 Februari 2023, selepas rencana ini tersiar, saya dihubungi Michael Soosai dan kami berbual 27 minit menerusi WhatsApp. Michael mengesahkan memang ada menulis kamus seperti dilaporkan media. Sempat juga mengatur sesi wawancara eksklusif untuk tulisan akan datang.]

[Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa, dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca. Rencana ini ditulis pada 26 Januari 2023 dan tersiar di Harapan Daily pada 1 Februari 2023.]