Pada 10 Januari 2021, saya mengundang rakan-rakan menerusi WhatsApp dan paparan Facebook untuk menjadi “pembaca beta” bagi sebuah cerpen baharu yang belum tersiar di mana-mana.
Petikan bahagian awal cerpen sepanjang 304 perkataan dikirim pada 11 Januari 2021 dan para pembaca beta (sukarelawan) diminta mengemukakan komen dan reaksi.
Untuk makluman, pada 12 Januari 2021, Agong memperkenan pelaksanaan darurat seluruh negara sehingga 1 Ogos 2021 sebagai langkah proaktif membendung pandemik Covid-19. Sekali gus, Perlembagaan Persekutuan tergantung dan kuasa eksekutif berpusat kepada Persekutuan.
Berikut reaksi yang diterima daripada 14 pembaca beta:
“Pembukaan yang segar,
penulis cuba membawa pembaca ke alam lain, dan menarik minat pembaca supaya membaca
lebih lagi apabila cerpen menyentuh isu politik. Pembaca tertanya-tanya apa
yang akan berlaku seterusnya. Sekiranya cerpen dikarang dengan mengangkat isu pergolakan
politik zaman yang diketengahkan penulis, maka cerpen sangat menarik. Cuma
jangan mengganggu sensitiviti agama. Semoga nanti saya dapat membaca cerpen
yang lengkap daripada penulis.”—Fhennie Arryka
Anak Wan (Sibu, Sarawak)
“Rakyat mengharapkan Maharaja bertindak adil dalam
memastikan kesejahteraan rakyat diutamakan. Politikus hanyalah
wakil rakyat yang sepatutnya bekerja untuk memberikan manfaat kepada rakyat
yang memilihnya sebagai wakil ke majlis perhimpunan perwakilan rakyat. Membawa
suara rakyat ke atas, dibincangkan segala permasalahan bersama yang kemudian
dicarikan jalan penyelesaian secara kolektif. Malangnya, politikus yang dipilih
sibuk membuncitkan perut sendiri dan
keluarga, mengejar pangkat dan gelaran ternama, berlumba-lumba membina istana
kayangan dan simpanan peti besi berlimpahan untuk 7 keturunan tanpa malu! Sudah sampai masanya
semua politikus ini diberikan hukuman sewajarnya. Jangan lagi mereka ini
dipilih dalam pengundian akan datang. Lantik wakil baharu yang mahu bekerja
dan tidak dipengaruhi oleh sesiapa! Kenapa pula kita yang mesti
terhegeh-hegeh menundukkan diri apabila berurusan dengan mereka sedangkan
mereka boleh mendabik dada yang tidaklah sesasa mana apabila berhadapan dengan
rakyat?
Kemelut ini perlu rakyat hentikan. Jangan jual
maruah dan harga diri dengan sekampit beras dan sampul berisi RM50. Harga diri dan maruah
rakyat adalah tersangat mahal. Sesiapa pun tidak mampu untuk membelinya. Sesungguhnya sejarah
itu sifatnya berulang-ulang, yang berbeza hanya nama pembawa watak, zaman ia
berlaku dan keadaan persekitaran semasa; namun cerita masih berlegar dalam
kisah yang sama.” — Rushida binti Abdul
Wahid (Klang, Selangor)
“Saya
rasa cerpen ini dapat menarik minat pembaca kerana ia menggambarkan situasi yang
berlaku sekarang tetapi dalam era yang berbeza. Ada pergelutan kuasa, rasa
ingin membantu, rasa ingin menolong dan pada masa yang sama kerakusan politik. Isu
politik ini seperti inginkan kemenangan seseorang individu dalam membuat keputusan
kerana terlalu yakin dengan dirinya tanpa berbincang dengan ahli-ahli dalam
kumpulan politiknya. Dia ingin mengambil tindakan secara peribadi tetapi tidak
dapat berbuat demikian kerana terikat dengan undang-undang. Hanya Maharaja yang
dapat memberi penyelesaian. Saya pasti cerpen ini akan berakhir dengan
saspens kerana agak sukar bagi pembaca untuk menduga apakah situasi sebenar.” —
Anuradha Chelliah
(Banting, Selangor)
“Membaca petikan
awal cerpen ini mengingatkan saya tentang keadaan politik semasa negara
kita yang sangat meruncing. Ini menimbulkan macam-macam perasaan termasuk rasa
ketidakpercayaan kepada sistem pemerintahan yang ada sekarang. Campur tangan
istana sangat diharapkan untuk memberi sinar baharu kepada rakyat, khususnya
orang awam. Kita (pembaca) cuba untuk memahami beban tanggungjawab Maharaja
dalam cerpen ini. Saya menjangkakan, harapan Maharaja untuk melihat rakyatnya
tidak teraniaya dengan kemelut politik mendorongnya mengambil langkah bijak
demi kebaikan semua.” — Wan Mahiran Wan Mohamad @ Annur Puteri (Tanah Merah, Kelantan)
“Permulaan yang menarik minat saya untuk
terus membaca kerana ingin mengetahui kenapa nama Maharaja diseru. Cerpen ini
dapat mengemukakan satu pengajaran dan nilai murni yang lebih bermakna kepada
pembaca. Isu yang diperhatikan dalam cerpen ini ialah penggunaan sistem
pemerintahan demi kesejahteraan rakyat. Teknik saspens yang digunakan dapat
menarik minat pembaca. Setelah habis membaca petikan awal cerpen ini, persoalan
yang sering timbul dalam fikiran saya ialah adakah watak Maharaja bertindak
secara bijak? Adakah sistem demokrasi yang liberal dapat diumumkan? Secara
keseluruhannya, saya berminat membaca cerpen ini sepenuhnya kerana penggunaan
ayat tanya pada permulaan cerpen menarik tumpuan saya untuk terus membaca.” — Nanthini Nadarajan (Taiping, Perak)
“Petikan cerpen ini adalah berkaitan perebutan
kuasa dalam sesebuah negeri atau negara. Rakyat bergantung harap kepada
Maharaja agar semuanya kembali pulih. Walau bagaimanapun, jalan cerita kurang
jelas dan sejujurnya saya tidak berminat untuk membaca seterusnya. Namun saya
andaikan yang penghujung cerita ini akan berakhir dengan baik. Watak Maharaja akan
mengambil langkah yang lebih progresif untuk menyelamatkan negara atau
negerinya dan semestinya untuk rakyat yang disayangi.” — Junainah bt. Abdul Jalel (Manjung, Perak)
“Timbul perasaan ingin tahu apa yang bakal berlaku. Melalui petikan ini,
pembaca faham bahawa sifat tamak dan gila kuasa dalam kalangan golongan
pemerintah menyebabkan rakyat menderita serta pentadbiran mula tergugat. Pada
andaian saya, cerpen ini membawa isu sikap pentingkan diri dan gila kuasa sehingga
lupa tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan negara. Saya yakin, watak Maharaja
akan mencari solusi untuk memyelesaikan pertelingkahan yang berlaku dan mula
bertindak bijak dalam membuat keputusan. Secara keseluruhan, petikan ini mampu
menarik minat pembaca untuk mengetahui cabaran yang bakal dihadapi oleh Maharaja
demi memastikan kerajaannya tidak tergugat.” — Diviya Devaraj (Bukit Mertajam, Pulau Pinang)
“Saya dapati
petikan cerpen ini menarik dan terdapat beberapa unsur yang menimbulkan minat
membaca cerita ini secara keseluruhan. Perebutan kuasa politik merupakan
perkara yang diketengahkan dalam cerpen ini. Timbul tanda tanya tentang
bagaimana watak Maharaja akan menghadapi masalah politik yang melanda dan
perkara yang akan berlaku dalam masalah politik tersebut. Keseluruhanya, cerita
ini membuatkan pembaca berfikir dan menimbulkan keinginan untuk membaca cerita selanjutnya.”
— Jagadesware Theeran (Sungai
Petani, Kedah)
“Petikan ini menarik minat saya untuk mengetahui
apa akan berlaku seterusnya. Petikan cerpen ini menceritakan watak Raja diganggu
oleh kuasawan. Perebutan kuasa berlaku. Raja inginkan kehidupan yang aman damai
selama hidupnya di Bumi. Kini, rakyat menderita dengan gelagat para kuasawan.
Pada pendapat saya, para kuasawan akan bergilir-gilir menghadap Raja untuk
mendapat kuasa mutlak/sokongan kepada satu parti sahaja untuk terus memerintah. Raja tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasawan. Tuanku akan mengambil
alih kuasa penuh pemerintahan dan Sistem Demokrasi akan dimansuhkan.” — M. Mahendran (Bentong, Pahang)
“Petikan cerpen tersebut disulami dua
keadaan dan dikaitkan dengan konsep Hindu. Secara tidak langsung, saya dapat
memahami keseluruhan intipati cerpen berdasarkan pembacaan cerpen-cerpen
bermotifkan politik. Motif politik yang cuba digarapkan bersesuaian dengan arus
politik kini dan kita memang berhadapan dengan situasi sedemikian. Manusia
sanggup melakukan apa-apa sahaja demi survival politik masing-masing. Saya
tertarik dengan petikan cerpen ini kerana unsur Hindu diterapkan dan boleh disampaikan
kepada masyarakat kita. Saya mungkin akan membaca cerpen penuh untuk mengetahui
bagaimana kesudahannya dan ingin ketahui bagaimana cerpen ini dipandu
mengikut keadaan masa kini.” — Subramaniam
Raman (Kulim, Kedah)
“Apabila menyebut
perkataan seperti politiking dan demokrasi, tidak boleh tidak saya akan
cuba kaitkan dengan situasi politik tanah air. Apatah lagi selepas membaca
kumpulan fiksyen Putaria (2020) yang
berkait rapat dengan situasi politik semasa. Dalam petikan cerpen ini, saya
membayangkan watak Maharaja sebagai Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang pernah melepaskan
jawatan dari dunia politik namun kembali semula dalam PRU-14. Pilihan raya
umum itu menyaksikan perubahan besar dalam sistem pemerintahan negara yang
didominasi satu parti sejak berpuluh tahun. Saya teruja untuk tahu kesudahan
cerita ini kerana berminat untuk melihat bagaimana penulis mengolah situasi
politik semasa dalam karya.” — Nur Ashikin
binti Mohd Noor (Alor Setar, Kedah)
“Petikan cerpen ini menarik
minat saya untuk mengetahui situasi perebutan kuasa yang berlaku. Perebutan
kuasa ini adalah situasi yang berulang-ulang berlaku dalam sejarah walaupun
kerajaan menetapkan suatu sistem pentadbiran untuk dipatuhi. Saya berminat
dan ingin mengetahui kebijaksanaan watak Maharaja dalam menghadapi isu ini. Saya
menjangkakan satu peristiwa besar berlaku selepas petikan ini.” — Noraziana @ Zayana Aziz (Rawang, Selangor)
“Saya tertarik untuk meneruskan
pembacaan cerpen ini dan ingin mengetahui apakah tindakan yang akan diambil
oleh kuasawan. Pada hemat saya, isu
utama cerpen ini ialah tentang perebutan
kuasa dalam politik. Perebutan kuasa yang berlaku dikiaskan dengan politik semasa
yang berlaku di Malaysia di mana pembangkang
cuba menjatuhkan kerajaan yang sedia ada dan ingin menukar dengan kerajaan baharu. Saya rasa, dengan pandangan
jauh watak Maharaja, masalah yang dihadapi akan dapat diatasi dengan
jayanya. Begitulah keadaan politik
Malaysia yang mengharapkan kebijaksanan
dan kedaulatan Yang Dipertuan Agong yang berkuasa di istana menyelamatkan
politik negara.” — Mohamad Khizar bin
Awang (Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang )
“Tidak sabar untuk membaca keseluruhan cerita! Cerita ini bagaikan wujud antara dua dimensi, iaitu zaman India purba dan zaman sekarang. Ada elemen yang seakan-akan menyerupai iklim politik di negara kita. Hal ini menjadikan cerita ini menarik. Ia memberikan lensa dan perspektif unik sebagai jalan cerita; menjadikan saya ingin membaca lagi untuk mengetahui jalan cerita dan pengakhirannya.” — Archana Divi Chandra Mohan (Klang, Selangor)