Friday, 25 May 2018

Mampukah MIC Dibersihkan?


Dunia khayalan MIC pecah bagai belon dicucuk jarum menerusi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Semasa Program Pemukiman MIC berlangsung di Universiti AIMST, Kedah pada Mei 2017, presidennya, S. Subramaniam menyasarkan calon parti politik yang bernaung di bawah Barisan Nasional (BN) itu memenangi sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-14 [baca di sini].


Bagaimanapun, menjelang Disember 2017, Subramaniam mengurangkan sasaran kepada enam kerusi Parlimen [baca di sini]. Menjelang Mac 2018, jumlah kerusi DUN yang disasarkan turut berkurangan kepada 10 sahaja [baca di sini].


Dalam PRU-13 pada 5 Mei 2013, MIC menang empat daripada sembilan kerusi Parlimen dan lima daripada 18 kerusi DUN. Sekiranya diperhatikan, kerusi Parlimen yang dimenangi itu adalah “kerusi tradisi MIC” iaitu kerusi-kerusi yang memang mudah dimenangi.

Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan pada April 2017 mahu dijadikan modal oleh MIC untuk meningkatkan sokongan kaum India daripada 50% (2008) dan 60% (2013) kepada 65% (2018). Begitu juga dengan Manifesto MIC yang dilancarkan pada April 2018 [baca di sini].


Subramaniam dengan penuh yakin menegaskan bahawa 65% kaum India di seluruh negara menyokong MIC kini, berbanding 45-55% sokongan pada 2013 [baca di sini]. Angka ini yang dinyatakan pada April 2018 sudah menampakkan percanggahan dengan angka yang dinyatakannya pada 31 Mac 2018 [baca di sini].

Hal ini membawa pula perhatian saya kepada jumlah keahlian MIC. Palanivel semasa menjadi presiden menyebut jumlah ahli parti itu pada 2013 seramai 400 ribu dan disasarkan menjadi 700 ribu menjelang 2018 [baca di sini]. Subramaniam pula pada Mei 2017 memetik angka 570 ribu [baca di sini].


Penganalisis politik, M. Periasamy pada Februari 2018 menyebut jumlah ahli MIC adalah “lebih 570 ribu” [baca di sini]. Menjelang Mei 2018, Vigneswaran yang mengumumkan akan bertanding jawatan presiden MIC menyebut angka itu sebagai “kira-kira 400 ribu” [baca di sini].

Ada pula kalangan pemimpin MIC yang berkata, jumlah ahli sebelum ini adalah sekitar 600 ribu orang, tetapi selepas kerja-kerja “pembersihan dan pengguguran” dilakukan, hanya tinggal 400 ribu ahli. Maknanya, sekitar 200 ribu ahli “dibersihkan” (dibuang atau dikeluarkan).


Sejak awal, undi kaum India diakui memainkan peranan bagi menentukan kejayaan atau kegagalan BN dalam PRU-14. Jumlah pengundi berdaftar kaum India sehingga Jun 2017, menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), adalah 985 ribu orang (berbanding 1,362,000 orang yang layak mengundi).

PRU-14 menunjukkan secara nyata bahawa kaum India menolak MIC dan BN. Malah, majoriti pengundi memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir untuk memerintah negara; sekali gus memecah monopoli BN sejak 1957.


Apakah sebab MIC yang mempunyai antara 400 ribu hingga 570 ribu ahli gagal berkempen menarik pengundi kaum India dan kaum-kaum lain menyokong calon MIC dan BN dalam PRU-14? Usah lupa bahawa sekitar 90 ribu ahli MIC sendiri tidak mendaftar sebagai pengundi dan hal ini diakui Subramaniam sendiri [baca di sini].

Hasil perbualan dengan orang ramai, ada beberapa isu yang menyebabkan kaum India menolak MIC – sama ada semasa ia bersama-sama pemerintah atau selepas ia menjadi parti pembangkang susulan PRU-14.

Pada 12 Mei 2018, saya turut menerima mesej menerusi WhatsApp yang menyenaraikan beberapa pemimpin MIC yang dikatakan terlibat dalam pelbagai salah laku dan perlu disiasat segera.


Antara kesalahan yang disenaraikan termasuk penipuan, jenayah, dan salah guna peruntukan wang kerajaan. Kononnya, laporan polis akan dibuat dan sekumpulan peguam sedia membantu. Sidang media khas juga bakal diadakan.

Saya tidak mahu menyenaraikan nama-nama pemimpin MIC yang dinyatakan dalam mesej WhatsApp itu kerana tidak disertakan sebarang bukti mengenai apa-apa salah laku. Malah, sehingga kini, tidak ada apa-apa perkembangan positif.

Tuduhan pemimpin MIC terlibat dalam jenayah, penyelewengan, dan gangsterisme bukanlah sesuatu yang baharu. MIC sebagai sebuah parti politik memang penuh dengan manipulasi dan permainan politik. Sesiapa yang pernah membaca buku MIC Era Samy Vellu (1996) pasti lebih memahami.


Pada September 2013, T. Mohan yang merupakan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan waktu itu terpaksa membuat laporan polis selepas ada pihak mengatakan dia adalah ketua Geng 36 [baca di sini].

Terdahulu, pada Disember 2011, Subramaniam dikatakan menganjurkan majlis jamuan Deepavali yang 99% hadirin adalah ahli kongsi gelap. Demikian dinyatakan seorang individu yang menggelarkan dirinya Ahli Umno Selayang Baru dalam surat terbuka bertarikh 20 April 2012 kepada Najib [baca di sini].


Istilah “gangster” dan “samseng” turut digunakan pemimpin MIC sendiri. Pada Mei 2012, sekumpulan orang dikatakan “diserang samseng MIC” yang diketuai T. Mohan [baca di sini]. Pada Disember 2014, Palanivel dilaporkan melabel T. Mohan dan Vell Paari sebagai “gangster” [baca di sini].

Prakash Rao (setiausaha agung waktu itu) pada Disember 2014 membuat laporan polis dan menggelarkan T. Mohan, Vell Paari dan beberapa orang lagi sebagai “gangster dan orang mabuk” [baca di sini].


Tuduhan-tuduhan seperti ini mungkin agak ringan berbanding beberapa skandal besar yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin MIC sejak dahulu. Sepanjang BN bergelar “kerajaan”, tidak ramai yang berani bersuara lantang bagi bercakap mengenai skandal-skandal ini.


Apabila BN kalah dalam PRU-14 dan kerajaan PH berjanji akan menyiasat segala salah laku mana-mana pihak, maka orang ramai mula berani bercakap – atau mengungkit kembali – beberapa isu yang dikaitkan dengan pemimpin MIC.


Misalnya, skandal Maika Holdings Berhad yang sebenarnya sudah dibawa kepada perhatian Mahathir pada Mac 2018 – sebelum PRU-14. Orang ramai (kaum India) berharap isu itu disiasat kerana melibatkan wang sekitar 60,000 individu miskin yang mengadu “tertipu” oleh MIC selepas melabur [baca di sini].


Pada Februari 2009, polis mengambil keterangan daripada Samy Vellu berhubung penyelewengan dalam Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Universiti AIMST [baca di sini].

Kemudian, pada September 2009, Raja Petra mendedahkan pelbagai maklumat serta dokumen bagi menyokong tuduhan berlaku penyelewangan melibatkan Samy Vellu dan beberapa pemimpin MIC [baca di sini].


Pada Julai 2012, beberapa pendedahan yang menggemparkan dibuat mengenai penyelewengan yang dikatakan berlaku di Universiti AIMST [baca di sini]. Bagaimanapun, tidak diketahui apa yang berlaku selepas itu kerana kesemua kes seolah-olah sudah disenyapkan.

Tidak ada sebarang perkembangan positif berkaitan skandal Maika Holdings dan AIMST. Kini, selepas PRU-14, Samy Vellu dilaporkan sedang berbaik-baik dengan Mahathir; kononnya bagi mengelakkan diri daripada disiasat semula. Sebelum PRU-14, Mahathir menyalahkan Samy Vellu sebagai punca kemunduran kaum India di Malaysia [baca di sini].

[Baca juga  Segala Aset Milik MIC Akan Disiasat] [Kerajaan Semak Semula MIB]


Sementara itu, ada pelbagai tuduhan yang mengaitkan Saravanan dengan aktiviti samseng dan gangster. Salah satu contoh adalah insiden pergaduhan di pejabat akhbar Tamil Malar pada September 2017 yang dikatakan didalangi oleh Ketua MIC Wilayah Persekutuan itu [baca di sini].


Saravanan pula berkata, dia tidak menghantar orangnya untuk menimbulkan kekecohan; sebaliknya hanya datang untuk meleraikan pergaduhan melibatkan dua kumpulan [baca di sini].

Terdahulu, pada Februari 2015, Saravanan dilihat “berlagak samseng” dengan membawa pistol ke ibu pejabat MIC sewaktu parti itu dilanda krisis. Saravanan yang memiliki lesen senjata api pula dilaporkan berkata, pistol itu dibawa “bagi mempertahankan diri” [baca di sini].


Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan atau tular di media sosial tidak boleh dijadikan bukti para pemimpin MIC adalah samseng dan gangster yang menyalahgunakan kuasa dan mengaut untung dengan cara yang tidak beretika.

Memanglah pelbagai “tuduhan” tersebar di media sosial – khususnya WhatsApp – tetapi tidak disertakan sebarang bukti yang membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan. Semuanya boleh dikategorikan sebagai berita palsu.


Pada 19 Mei 2018, T. Mohan membuat laporan polis berhubung berita palsu yang tersebar di media sosial. Antaranya berkaitan dakwaan kononnya MIFA menerima dana RM1.9 juta, berlaku penyelewengan di Kolej Antarabangsa Megatech, serta kaitan dengan skandal Universiti AIMST [baca di sini].

Akan tetapi, kewujudan skandal dan pelbagai isu lain dalam MIC bukannya tidak berasas. Kalau tiada api, masakan ada asap. Akhbar Makkal Osai pada 17 Mei 2018 memetik kenyataan Sivarraajh yang mahukan skandal dan salah guna kuasa dalam MIC disiasat sepenuhnya.


Namun, selagi belum ada pihak yang berani tampil mengemukakan bukti kukuh berhubung sebarang penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam kalangan pemimpin MIC, selagi itulah segala-galanya sekadar fitnah, berita palsu, dan gosip sahaja.

[Baca juga  Dana SEDIC: Mungkin Ada Skandal]

Pada masa sama, sepatutnya menjadi tanggungjawab MIC sendiri untuk melakukan siasatan secara telus bagi memastikan mana-mana individu (jika ada) yang terlibat dalam sebarang bentuk salah guna kuasa dan penyelewengan disingkirkan.


Kemudian, MIC perlu memperkenalkan “barisan pemimpin baharu” yang bersih dan boleh diyakini oleh para ahli dan masyarakat India. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Jika tidak, MIC yang sudah sedia tidak diyakini kaum India akan terus tenggelam dikemudi pemimpin tidak berintegriti dan tidak amanah. Sekitar 400 ribu ahli berdaftar juga akan turut tenggelam bersama-samanya, sementara kaum India beralih sepenuhnya kepada kepimpinan PH.


Catatan: Pada 19 Mei 2018Vigneswaran Umum Bertanding Presiden MICdengan sokongan T. Mohan, Vell Paari, dan Saravanan. Pada 23 Mei 2018, Sivarraajh secara rasmi “Menyuarakan Sokongan Kepada Vigneswaran selain “Tampil Membela Najib”.


__________________________________________

Ulasan ini ditulis pada 21 Mei 2018 dan dikemas kini pada 25 Mei 2018. © Uthaya Sankar SB 2018. Harap maklum bahawa anda membaca sebarang kandungan di mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.