Thursday, 28 December 2017

Setelah Saya Hadam Assalamualaikum Yang Haram


“This book’s main argument is that the ruling Barisan Nasional’s (BN’s) abuse of religion for political ends has not only ruined the administration of the country but has also given Islam a bad name.”
– Preface, Assalamualaikum

Saya merujuk kepada tindakan terkini Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Assalamualaikum: Observations on the Islamisation of Malaysia (2015) tulisan Zaid Ibrahim. [Berita 1] [Berita 2] [Berita 3] [Berita 4]

Menurut kenyataan KDN, buku Assalamualaikum diharamkan kerana didapati “mempromosi idea sekularisme, liberalisme dan pluralisme. Isi kandungan juga turut mengkritis institusi agama, mempertikai keputusan mahkamah, perlembagaan dan undang-undang. Dikhuatiri memesongkan akidah umat Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. [Sumber

Pada pandangan saya sebagai seorang pengkaji bahasa, sastera, budaya, seni dan agama, tindakan ini merupakan langkah tidak cerdik serta saya melihat tindakan KDN sebagai usaha terancang mengawal pemikiran masyarakat.

Selalunya, KDN berminat mengharamkan buku versi Bahasa Malaysia manakala versi Bahasa Inggeris tidak dipedulikan. Misalnya, buku Asal-usul Spesis diharamkan manakala The Origin of Species karya Charles Darwin tidak menjadi mangsa.



Saya memiliki senaskhah buku Assalamualaikum dan sudah membacanya dengan penuh minat pada Januari 2016. Pembacaan buku itu menambah ilmu dan pengetahuan saya tentang isu-isu yang diperkatakan.

Langsung tidak timbul soal “memudaratkan ketenteraman awam” atau “menggemparkan fikiran orang ramai”. KDN sepatutnya meraikan kepelbagaian pandangan dan hujah ilmiah. Bukannya mengawal percambahan minda dengan menganggap penulis dan pembaca seperti kerbau yang boleh dicucuk hidung dan ditarik ke mana-mana mengikut kemahuan kuasawan.

Sebagai individu yang sudah menghadam buku Assalamualaikum, saya tidak nampak apa-apa alasan yang wajar untuk mengharamkan dan sekali gus menghalang masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia membaca buku berkenaan.

[Mesti Baca - KDN Cabul Kebebasan Bersuara]

Saya merakamkan rasa kecewa kerana pihak berkuasa seolah-olah menyalahgunakan kuasa untuk mengongkong minda masyarakat, dan tindakan ini amat bertentangan dengan hak asasi individu untuk menuntut ilmu.

[Uthaya Sankar SB adalah aktivis bahasa dan sastera, pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (1996/97, 1998/99), dan penerima Anugerah Duta Keamanan (2008). Pandangan ini disiarkan di Malaysiakini pada 28 Disember 2017. Turut disiarkan di The Malay Mail Online pada 28 Disember 2017 dengan tajuk “Tidak Cerdik Haramkan Buku”. Petikan pandangan dalam Bahasa Inggeris juga disiarkan di Berita Daily pada 28 Disember 2017.]


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!