Friday, 14 April 2017

Laporan Polis Terhadap Raja Rajeswari


Saya (Uthaya Sankar SB) membuat laporan di Balai Polis Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor pada 14 April 2017, sekitar jam 5:45 petang berhubung data palsu dan fakta rekaan dalam esei tulisan Raja Rajeswari Seetha Raman.

Berikut kandungan laporan saya, yang juga merupakan kenyataan rasmi saya:

Pada 31 Mac 2017, saya telah membeli dan membaca majalah Dewan Sastera (April 2017) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya dapati esei bertajuk “Kolonialisme dan Etnosentrisme: Suatu Retrospeksi Penulis India Malaysia” tulisan seorang individu bernama Raja Rajeswari Seetha Raman mengandungi terlalu banyak kesalahan fakta dan data yang meragukan.

Penulis itu menyebut dalam esei bahawa dia mendapatkan data menerusi borang soal selidik yang diisi oleh 20 penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia.

Sebagai presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang mengikuti perkembangan penulis kaum India di Malaysia, saya menghubungi 27 daripada hampir 30 penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Sejumlah 25 penulis mengesahkan mereka tidak terlibat dalam soal selidik yang dilakukan. Terbukti data yang digunakan dalam esei Raja Rajeswari adalah palsu dan rekaan semata-mata. [Senarai nama penulis di sini.]

Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP
Saya segera mengirim e-mel pada 1 April 2017 kepada editor dan ketua editor Dewan Sastera, serta Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP dan Pengarah Penerbitan DBP untuk memaklumkan perkara ini. Mereka memandang serius aduan saya dan berjanji akan menyiasat perkara ini dengan segera.

Saya juga bertemu Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP dan ketua editor Dewan Sastera pada 12 April 2017 untuk menjelaskan bukti bahawa data dan fakta dalam esei tulisan Raja Rajeswari adalah palsu, serta berniat memberikan gambaran negatif mengenai penulis kaum India yang menghasilkan karya Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris.

Pada 14 April 2017, ketua editor Dewan Sastera memaklumkan menerusi e-mel bahawa Raja Rajeswari bertegas tidak mahu menyerahkan kepada DBP senarai nama 20 penulis kaum India (penulis karya Bahasa Malaysia) yang kononnya menjadi responden bagi pengumpulan data untuk penulisan esei berkenaan.

Maka, saya amat pasti bahawa Raja Rajeswari tidak mengedarkan borang soal selidik kepada 20 penulis seperti didakwa. Saya semakin pasti bahawa dia telah menulis esei berkenaan menggunakan data palsu dan fakta rekaan yang tidak menggambarkan realiti sebenar penulis kaum India di Malaysia.

Perbuatan Raja Rajeswari adalah tidak beretika dan terang-terangan berniat menipu DBP dan para pembaca Dewan Sastera dengan maklumat palsu, serta mahu mencemarkan imej para penulis kaum India di Malaysia.

Saya membuat laporan polis ini untuk meminta pihak berkuasa menyiasat kes jenayah data palsu dan penipuan ini, serta meminta Raja Rajeswari menyerahkan senarai responden yang dikatakannya sudah mengisi borang soal selidik. Laporan polis ini juga bertujuan untuk diserahkan kepada DBP bagi siasatan lanjut, serta untuk tujuan aduan rasmi kepada Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri.