Kita sering
memperkatakan mengenai budaya Malaysia yang pelbagai dan penuh warna. Segala
“warna-warni” itu juga seharusnya dan selayaknya turut terpancar menerusi
karya-karya sastera, khasnya cerpen dan novel yang dihasilkan pengarang pelbagai
kaum, agama, latar budaya dan tempat tinggal.
Antologi Sea of Rainbows: An Anthology of
Multi-Cultural Short Stories from Malaysia (2009) tampil antara lain untuk
memenuhi tuntutan itu. Apatah lagi apabila kesemua karya asli dalam Bahasa Malaysia sudah diterjemah ke Bahasa Inggeris, maka ia boleh dibawa
ke peringkat antarabangsa.
Buku ini antara terbitan Institut
Terjemahan Negara Malaysia (kini Institut Terjemahan & Buku Negara) yang
dilancarkan secara besar-besaran di Putrajaya pada 19 Mei 2009. Bagaimanapun,
antologi ini sedikit terlewat masuk ke dalam pasaran kerana beberapa isu “hak
cipta” dan “izin terbit” yang penerbit terlepas pandang dan mengambil sedikit
masa untuk selesaikan secara baik. [BACA DI SINI]
Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh
selaku penyunting antologi ini ternyata melakukan suatu kerja yang amat baik
dalam mempastikan bahawa buku ini bersifat inklusif.
Hal ini penting kerana dalam pada politikus
dan jabatan/agensi kerajaan melaungkan slogan muluk “1Malaysia”, lagu tema yang
berkumandang saban hari di stesen radio MinnalFM
(Tamil) hanya mengiktiraf tiga kaum (Melayu, Cina, India) sebagai “berpimpin
tangan” dan membentuk 1Malaysia.
Sebaliknya, Sea of Rainbows berusaha menyedarkan khalayak (termasuk politikus
dan kelompok berfikiran etnosentrik) bahawa negara ini amat unik dan terdiri
daripada pelbagai budaya, kaum, etnik, keturunan dan suku kaum. Pengarang yang dipilih
juga merentas pelbagai bidang, kepakaran, geografi dan keturunan.
Tahniah kepada ITNM/ITBM dan Muhammad Haji
Salleh kerana berjaya memecah tembok kaum/etnosentrik yang sering membayangi
penyelenggaraan dan penerbitan buku-buku karya penulis Malaysia apabila mahu
diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai “sastera Malaysia” (Malaysian literature).
Dalam pada itu, perlu dinyatakan juga
bahawa terdapat beberapa kelemahan dan kesilapan penterjemahan yang wajar
diperbetulkan sekiranya buku ini diulang cetak.
Sejumlah 17 cerpen oleh sekelompok
pengarang muda yang menang pelbagai anugerah/hadiah diterjemahkan khusus untuk
antologi ini. Pada bahagian pengenalan dinyatakan bahawa antologi ini
sesungguhnya bertujuan menyajikan kepelbagaian budaya di Malaysia kepada
khalayak umum.
Antara pengarang yang karya mereka terpilih
untuk diterjemahkan dan dimuatkan dalam antologi ini ialah Amaruszati Noor
Rahim (Melayu), Daniel Jebon Janaun (Kadazandusun), Faisal Tehrani (Melayu),
Jais Sahok (Bidayuh), Jasni Matlani (Bisaya), Jaya Ramba (Iban), Jong Chian Lai
(Cina), Mahat Anak China (Semai), Mawar Shafei (Melayu), S.M. Zakir (Arab),
Saroja Theavy Balakrishnan (India) dan Siow Siew Sing (Cina).
Walaupun disasarkan bagi khalayak luar,
antologi ini tetap merupakan koleksi yang amat sesuai untuk dimiliki oleh
sesiapa sahaja yang ingin mengenali citra kepelbagaian budaya masyarakat di Malaysia.
(Uthaya Sankar SB gemar membaca karya kreatif
antarabangsa yang diterjemah ke Bahasa Inggeris. Selain menonton filem dan
menulis, beliau juga suka tidur apabila ada masa lapang. Ulasan buku ini ditulis pada 26 Mei 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 2 Jun 2012. © Uthaya Sankar SB
2012. Sila KLIK DI SINI untuk
maklumat lanjut mengenai ruangan ulasan buku.)