25 Feb 2012

Panchayat: Bahagian 8 – Banyan

[Ada sudah terjadi pada panchayat yang sepatutnya membela orang yang tidak bersalah? Demikian Ramani sudah berani mempersoalkan.]

“Apa lagi yang tuan tunggu? Sudah sah bahawa Raja yang mencuri berhala itu. Janganlah harapkan budak pencuri itu datang ke panchayat bagi membela dirinya. Mungkin sekarang ini dia sudah pun melarikan diri ke Pulau Pinang. Atau entah-entah dia dah jual berhala emas itu dan berlepas pergi ke India!”


Setan betul Si James Arivalahan. Berani dia menuduh anna yang bukan-bukan. Aku pejamkan mata untuk mengawal perasaan marah yang semakin meluap.


Tiba-tiba sahaja kelihatan Madurai Kaala berlari kencang menuju ke arah tapak panchayat. Orang ramai bercempera sambil terpekik terlolong.


Madurai Kaala terus berlari dengan rupa yang cengil. Ditanduknya James Arivalahan pada perut tanpa belas kasihan. Terburai keluar segala isi perut lelaki itu.


Rasakan! Rasakan sendiri balasan yang diterima!


Aku membuka kelopak mata; sekali gus mematikan khayalan yang mengerikan itu. Jasad James Arivalahan masih tercacang di hadapan mata. Dia tersenyum puas.


“Nampaknya terpaksalah ketua panchayat mencari calon menantu yang baru …,” tambah Sitambaram lagi.


“Tolong jangan libatkan hal peribadi dalam perkara ini,” jawab Pak Cik Senthamarei dengan wajah yang pucat.


“Kalau macam itu, cepatlah berikan keputusan panchayat; tanpa melibatkan sentimen kekeluargaan dalam membuat keputusan yang adil dan saksama,” James mencelah.


Orang ramai diam. Memang sejak tadi pun Sitambaram dan James sahaja yang banyak bercakap. Mungkin para penduduk terlalu terkejut untuk turut serta dalam perbicaraan ini. Atau tentu sahaja kerana mereka turut yakin bahawa Raja Anna pasti tidak bersalah.


“Bagaimana pandangan anda semua?” Ketua panchayat bertanya seraya memandang ke arah orang ramai.


Tidak ada sesiapa pun yang bersuara untuk seketika. Tentu mereka tidak mudah termakan acuman Sitambaram.


“Mengapa anda semua masih teragak-agak?” Kata-kata si gedempol itu memecah kesenyapan yang wujud sebentar tadi. “Kami berempat sanggup bersumpah laknat demi Tuhan bahawa kami telah melihat Raja melarikan diri bersama berhala Kaali Devi malam tadi.”


Orang ramai masih terdiam. Hanya beberapa orang yang tercangak-cangak.


“Apa pendapat awak, Rengasamy?” Pak Cik Senthamarei bertanya kepada lelaki berkenaan.


“Apa lagi yang mahu saya katakan, sami. Keluarga Puan Janaki memang dihormati bukan sahaja di Kubur Gajah tetapi juga di kampung-kampung berdekatan.”


Kata-kata Rengasamy membawa kembali sinar harapan ke dalam hatiku. Tentu para penduduk juga sependapat dengannya. Masakan pula Haji Ramli, Father Francis, Bibi Jaswan, Awang Nan dan Nyonya Loong tidak kenal anna. Masakan mereka mudah terhasut oleh tuduhan Sitambaram dan rakan-rakannya.


“Tapi, sami,” sambung Rengasamy, “memandangkan bahawa Raja telah mencuri berhala Kaali Devi, saya rasa dia patut dikenakan hukuman yang seberat-beratnya.”


Hah?


Aku lihat seorang dua turut mengangguk. Kemudian semakin ramai pula yang mengangguk! Apa sudah gilakah mereka?


Malliga Anni kulihat sedang menangis sambil tertunduk. Revathi pula pucat wajahnya. Dia sedang membidik tepat ke mukaku seperti bertanya: “Apa yang sedang berlaku ni?”


Orang ramai sudah mula berani bersuara. Menyuarakan pendapat dan pandangan masing-masing.


“Orang yang mencuri di kuil Maha Kaali mesti dihukum!”


“Tak kira siapa orangnya. Hukum dia!”


Oh, Tuhan! Benarkah apa yang aku dengar ini?


“Bertenang, bertenang! Panchayat akan memberikan keputusannya sekarang,” jerit Maramanden, setelah diarahkan oleh Pak Cik Senthamarei.


Orang ramai masih menyuarakan pendapat masing-masing. Masing-masing meminta Raja Anna dihukum!


Sudah lupakah mereka siapa yang mereka tuduh? Lupakah mereka siapa Raja Anna? Bukankah menuduh Raja Anna sama sahaja seperti menuduh Mahatma Gandhi?


“Ehem.”


Dehaman itu mematikan suara orang ramai.


“Setelah mengambil kira keterangan para saksi serta memikirkan ketidak hadiran tertuduh di panchayat,” ketua kampung memberikan keputusan muktamad, “panchayat memutuskan tanpa sangsi dan tanpa keraguan munasabah bahawa Raja adalah orang yang telah mencuri berhala emas Kaali Devi dari kuil Maha Kaali malam tadi.”


Apa? Raja Anna didapati bersalah? Apa sudah terjadi pada keadilan? Ada sudah terjadi pada panchayat yang sepatutnya membela orang yang tidak bersalah? Apa sudah terjadi pada penduduk Kubur Gajah?


“Tapi ….”


“Tidak ada tapinya lagi, Ramani,” kata Pak Cik Senthamarei. “Keputusan panchayat adalah muktamad!”


Walaupun suaranya tegas, aku lihat wajah Pak Cik Senthamarei turut menjadi lesu; tidak bermaya. Adakah dia benar-benar percaya bahawa Raja Anna bersalah? Bahawa bakal menantunya seorang pencuri?


“Maramanden, hubungi Balai Polis Taiping untuk membuat laporan berhubung keputusan panchayat.”


“Baik, sami.”


“Ingat semua,” sambung Pak Cik Senthamarei – kali ini kepada para penduduk. “Raja adalah pesalah yang dikehendaki. Sesiapa yang tahu di mana dia berada, hendaklah segera memberitahu panchayat. Dan sesiapa yang didapati memberikan perlindungan kepada pesalah, maka akan turut dihadapkan ke panchayat.”


Persetankan panchayat! Apa gunanya sebuah majlis timbang cara yang gagal memberikan keadilan kepada seorang yang berhati mulia seperti anna?


Perlukah aku membawa sahaja kes ini ke balai polis untuk mendapatkan keadilan? Tapi keputusan panchayat Kubur Gajah adalah muktamad.


Selama ini, keputusan panchayatlah yang dilaporkan ke balai polis. Tidak pernah Ketua Polis Daerah mempertikaikan keputusan yang diambil oleh panchayat Kubur Gajah. Kalau ada pun (walaupun tidak pernah), masyarakat Kubur Gajah pasti mempertahankan keputusan panchayat.


Apa gunanya sebuah masyarakat yang gagal membezakan intan daripada arang? Apa gunanya sebuah masyarakat yang turut menyetujui keputusan panchayat yang menghukum seorang yang tidak bersalah? Apa gunanya masyarakat yang tidak bermaruah ini?


Pak Cik Senthamarei mula melangkah lesu meninggalkan tapak panchayat di bawah pohon banyan. Orang ramai mula bersurai. Mereka berdedai pulang.


Beginikah berakhirnya sebuah panchayat?


Tindakan penduduk Kubur Gajah perlu dibalas! Mereka wajar menerima balasan setimpal atas hukuman yang mereka berikan kepada Raja Anna. Dosa kering mereka mesti dibalas.


Aku bergegas meninggalkan tempat itu. Aku perlu bertindak segera. Mesti! Penduduk Kubur Gajah perlu diajar.


Biar aku tunjukkan kepada mereka apa balasan yang menanti bagi sesiapa yang berani menuduh Raja Anna sebagai pencuri. Biar mereka rasakan! – BERSAMBUNG MINGGU DEPAN


Uthaya Sankar SB 2002 & 2011. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 2 Julai 2011 sebelum didokumentasikan di blog pada 25 Februari 2012. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut. Orang ramai sudah diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk membantu “memurnikan” novel Panchayat: Edisi Khas sepanjang ia disiarkan di FMT dari 5 Jun 2011 hingga 15 Januari 2012.)