Pagi tiba lebih awal di Ubud, Bali walaupun masa adalah sama seperti di Malaysia. Saya hanya bangun pada jam 6:30 pagi, 4 Oktober 2011 dan saya percaya ia dianggap “lewat” dalam konteks kehidupan di sini.
Selepas bersiap, saya turun untuk bersarapan. Kuih yang dihidangkan menyerupai kuih gulung di Malaysia yang berisi kelapa. Bagaimanapun, coconut-banana crepes itu berisi pisang.
Kemudian, saya berjalan-jalan dalam kawasan Honeymoon Guesthouse di Jalan Bisma, Ubud, Bali dan merakam foto patung-patung dan perhiasan unik yang terdapat di sini. Patung Ganesha paling banyak, diikuti patung Shiva, Buddha dan sebagainya. Ringkasnya: unik dan amat menarik.
Saya tidak tahu bilik penulis dari Rusia dan saya juga tidak melihat mereka semasa bersarapan. Maka, saya kembali ke bilik dan menaip catatan semalam dan sehingga pagi ini.
Soket elektrik di sini juga seperti di Beijing (12-21 Julai 2011) dan saya menyesal tidak membawa bersama penyesuai (adapter, pengadapsi, pencocok atau penyadur dalam Bahasa Indonesia) yang saya beli di Beijing tempoh hari. Bateri telefon bimbit yang akan saya gunakan sebagai kamera semakin lemah. Komputer riba juga perlu dicas.
Mujurlah saya dapat meminjam penyesuai dari kaunter selain mendapatkan kata laluan bagi internet. Kata laluan adalah “arjunasatya” – amat berciri agama Hindu dan mungkin tidak menyenangkan bagi pelancong daripada kumpulan tertentu.